SITC dalam Perjuangan Kemerdekaan: Pencetus Kebangkitan Rakyat menghimpunkan biografi 25 orang tokoh pejuang kemerdekaan dan pujangga Melayu yang lahir daripada sebuah gedung ilmu di bumi Tanjong Malim, Perak. Sultan Idris Training College (SITC) merupakan gedung ilmu yang amat penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia. Ia juga dikenali dengan jolokan Universiti Melayu. Kewujudan SITC bukan sahaja dapat menampung keperluan tenaga guru tetapi turut mencetuskan semangat yang luar biasa dalam kalangan guru pelatih SITC untuk lebih gigih menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik demi mendidik dan memajukan anak bangsa demi masa depan Tanah Melayu. Lulusan SITC berusaha untuk memberikan kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat tentang peri pentingnya kemerdekaan negara. Mereka berjuang melalui pelbagai jalur antaranya melalui politik dan menggunakan jalur bahasa dan kesusasteraan Melayu. Mereka terkenal sebagai pejuang kemerdekaan yang mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat demi sebuah kemerdekaan.
Kolej latihan guru-guru Melayu ini dibina atas lontaran idea oleh Sir Richard Olaf Winstedt ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Sekolah-sekolah Melayu era kolonial British di Tanah Melayu. Pembukaan SITC dirasmikan oleh Sir George Maxwell iaitu Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 29 November 1922. Sir George Maxwell berazam dengan penubuhan SITC dapat membentuk pemuda-pemuda Melayu yang berkelayakan lulus darjah V Sekolah Melayu untuk menjadi guru-guru Melayu bagi menampung keperluan guru yang semakin mendesak. Kewujudan SITC memberi peluang kepada anak-anak muda Melayu menjadi guru. Malah ia juga berpotensi untuk membuka minda anak-anak muda Melayu untuk turut serta dalam perkembangan kemajuan negara.
Melihat akan kemunduran bangsa Melayu ketika itu dan sering keciciran dalam pelbagai aspek kehidupan terutama pelajaran, ekonomi, moral, adat resam dalam tradisi yang membantutkan kemajuan, pengaruh hiburan, dan sikap semberono. Maka dengan kewujudan SITC dapat membantu memangkinkan peranan guru-guru Melayu untuk turut serta membantu pihak British agar usaha untuk mengeluarkan bangsa Melayu dari kepompong kemunduran ini dapat dilakukan. Ternyata kemunculan SITC bukan sahaja dapat menampung keperluan tenaga guru tetapi turut mencetuskan suatu semangat yang luar biasa dalam kalangan guru pelatih SITC untuk lebih gigih menggalas tanggungjawab sebagai seorang pendidik demi mendidik dan memajukan anak bangsa bagi masa hadapan bangsa Tanah Melayu. Oleh hal yang demikian ini, nyatalah bahawa SITC merupakan sebuah gerbang permulaan yang terbuka kepada golongan individu yang sememangnya berjiwa keguruan untuk mengasah bakat mereka dan seterusnya bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
Reviews
There are no reviews yet