Mukadimah Ilmu Etimologi

JAMES T. COLLINS (b. 1946 – ) merupakan ahli linguistik terkemuka dalam bidang linguistik komparatif, leksikografi dan sosiolinguistik. Bidang pengkhususan Collins meliputi bahasa-bahasa Melayo-Polinesia dan memberi sumbangan yang amat besar kepada bidang pengajian Austronesia.

DBP (Edisi Kedua, 2018)
350 halaman termasuk Indeks

RM40.00

Only 1 left in stock

Mukadimah Ilmu Etimologi merupakan salah satu judul yang pernah diterbitkan dalam Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu pada tahun 2003. Setelah hampir 15 tahun buku ini diterbitkan, kini Mukadimah Ilmu Etimologi tampil dengan edisi baharu yang dikemas kini dan memenuhi kehendak semasa para pembaca. Etimologi Bahasa Melayu, iaitu sejarah kosa kata Melayu, memang terserlah dalam usaha yang lebih besar dan lebih mulia, yakni Pensejarahan Bahasa Melayu. Skop pensejarahan bahasa Melayu luas kerana melibatkan citra bahasa Melayu dari zaman ke zaman dalam konteks sejarah sosialnya—sejarah sosial sebagaimana kita hayati dalam karya-karya sejarah yang ditulis oleh sarjana tersohor, seperti Fernand Braudel, Jacques LeGoff dan Johan Huizinga.

Dalam hal fokus etimologi yang diperkenalkan dalam menerusi Mukadimah Ilmu Etimologi sejarah kata-kata seharusnya dikaji dalam konteks dan lingkungan sosialnya. Lingkungan yang dimaksudkannya mencakupi aspek seperti ruang penggunaannya, jumlah bahasa lain yang diketahui oleh penutur bahasa tersebut, variasi dalaman, yakni dialek sosial dan regional, serta sikap penutur terhadap bahasa tersebut. Sesungguhnya, ilmu etimologi mengkaji kata demi kata dalam sesuatu bahasa melalui penyelidikan yang mendalam tentang sejarah sosial bahasa yang dikaji. Bahasa Melayu seperti bahasa lain di dunia, menggunakan kata yang diturunkan daripada bahasa moyangnya dan juga kata yang dipinjam dan diserapkan daripada bahasa lain. Oleh sebab itu, dalam apa pun usaha penyusunan sejarah kata Melayu, wajib dipelajari dua sumber kosa kata Melayu berikut: (i) Kata-kata yang diwariskan daripada bahasa induk seluruh rumpun bahasa Nusantara, yakni bahasa Austronesia dan cabang utamanya bahasa Melayu-Polinesia; dan, (ii) Kata-kata yang diserapkan daripada berbagai-bagai bahasa lain.

Setiap usaha seharusnya bertujuan menghasilkan produk tertentu. Maka, melalui usaha etimologi Melayu, kita ingin memperoleh produk yang berupa gambaran tentang: (i) Sumber kata Melayu; (ii) Arus penyaluran kata Melayu; (iii) Perubahan makna pada kata warisan; dan (iv) Tahap masuknya kata pinjaman. Nescaya, bahasa Melayu harus dihitung sebagai salah satu bahasa dunia. Seperti bahasa global yang lain, kosa kata Melayu sangat kompleks dan sangat kaya dengan pelbagai kata. Sudah tentu bahawa penyusunan etimologi Melayu adalah usaha yang mencabar kerana usaha ini menuntut pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk (i) Rekonstruksi bahasa purba: Bahasa Melayu-Polinesia; (ii) Kemampuan membaca dan mengerti pelbagai bahasa sumber; (iii) Latihan dalam bidang semantik dan proses perubahan makna; serta (iv) Wawasan tentang periodisasi dan sejarah sosial bahasa Melayu. Namun, dalam Mukadimah Ilmu Etimologi, keperluan asas dan proses memanfaatkan semua pengetahuan itu hanya dapat dibayangkan sahaja.

Sebenarnya di alam Melayu, ilmu etimologi masih merupakan cabang ilmu linguistik yang baru hendak diterokai secara ilmiah. Misalnya, setakat ini, hanya beberapa orang Malaysia yang berkelulusan dalam bidang ini. Harus diakui bahawa sebelum ini sudah terdapat beberapa karangan dan buku yang merupakan senarai kata-kata Melayu yang dikatakan berasal daripada bahasa ini atau bahasa itu. Akan tetapi, kadang-kadang tulisan demikian hanya berasaskan dugaan, seperti yang dapat dilihat dalam karangan Chong Mun Wah. Sewajarnya, ilmu etimologi hendaklah dilaksanakan dengan menerapkan kaedah penelitian yang sudah lama dibina dan dikembangkan di Eropah untuk pengkajian bahasa manusiawi di seluruh dunia. Etimologi bukan sesuatu hobi atau semacam kerja sambilan.
Maksudnya, sudah memang ada tradisi penyelidikan etimologi yang lengkap dengan metodologi dan pedomannya, serta karya ilmiah yang dapat dicontohi dan dimanfaatkan. Namun, dalam mukadimah ini hanya terdapat sekadar ringkasan dan petunjuk tentang tradisi ini.

Edisi pertama Mukadimah Ilmu Etimologi diterbitkan kira-kira lima belas tahun lalu. Pada masa itu pun, sudah terasa perlunya tambahan maklumat secara khusus tentang salah satu sumber kata serapan yang mustahak dalam bahasa Melayu, yakni bahasa Sanskrit. Dalam edisi pertama, bahasa Sanskrit hanya disebut seimbas lalu sedangkan tamadun Sanskrit telah bersatu dan berpadu dengan tamadun Melayu pada zaman awal dalam sejarah Asia Tenggara. Melalui kosmopolis yang terbentuk melalui kesepaduan itu, banyak kata Sanskrit diserapkan dalam bahasa Melayu. Lima belas tahun lalu diperkirakan bahawa buku Gonda serta de Casparis sudah memadai sebagai mandala akademik yang membahas kata-kata Sanskrit dan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, setelah mempersiapkan tulisan Bahasa Sanskerta dan Bahasa Melayu (Collins, 2009), disedari bahawa jaringan bahasa Melayu dengan tamadun India masih belum diselidiki dengan tuntas. Umpamanya, fenomena penyerapan kata Sanskrit dalam dialek Melayu belum dikaji dengan baik.

Oleh sebab itu, artikel informal, “Etimologi bahasa Melayu: MIKA,” yang pernah terbit dalam majalah Dewan Bahasa, diolah kembali dengan tambahan teks, peta dan aparatus lain yang wajar untuk karangan akademik. Tulisan yang dipinda dan diberikan tajuk baharu “Sumber serapan bukan Eropah: Dialek Melayu dan bahasa Sanskrit” itu dimasukkan dalam edisi kedua ini sebagai Bab 4. Diharapkan bab baharu ini dapat memperlihatkan teknik meneliti sepatah kata yang sekarang hanya digunakan dalam dialek-dialek tertentu, sekaligus menunjukkan pentingnya bahasa Sanskrit dalam pensejarahan bahasa Melayu. Setelah dikesani dalam beberapa tulisan lama dan dijejaki dalam berbagai-bagai dialek Melayu & Semenanjung Tanah Melayu serta daerah Selat Melaka, ternyata kata /mika/ bukan sesuatu kelainan dialek Perak Tengah, tetapi merupakan kata yang luas digunakan di wilayah bekal kerajaan Melaka. Hanya melalui siasatan berbagai-bagai dokumen dan tulisan ilmiah sejarah kata /mika/ dapat disoroti.

Kata Pengantar Edisi Kedua
Kata Pengantar Edisi Pertama
Prakata Edisi Kedua
Prakata Edisi Pertama
Penghargaan

1. Sejarah Bahasa Melayu, Sejarah Kata Melayu
2. Sumber Warisan Austronesia: Sejarah Kata “Perempuan”
3. Sumber Serapan Bukan Eropah: Bahasa Melayu dan Asia
4. Sumber Serapan Bukan Eropah: Dialek Melayu dan Bahasa Sanskrit
5. Sumber Serapan Eropah: Tuntutan Pascakolonial
6. Bahasa Melayu dan Bahasa Belanda: Menolak Mitologi
7. Bahasa Melayu Ambon: Menolak Eksotisme
8. Etimologi: Membina Ilmu

Fahrasat Kata Melayu
Bibliografi
Indeks

Weight0.440 kg
Dimensions21.6 × 14 × 1.7 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.