Agama dan Sains Moden menghimpunkan tulisan penulis besar yang memberi tumpuan kepada falsafah sains sama ada dari sudut pandangan Islam, agama atau tradisi. Hanya dengan gambaran yang ringkas dan padat begini para pembaca akan terus bertanya, berbincang dan meminati alternatif yang ingin dikemukakan. Kumpulan penulis ini adalah usaha awal yang memerlukan susulan dan perincian dari semasa ke semasa. Segala prinsip asas yang dikemukakan oleh setiap penulis perlu ditafsirkan dengan lebih luas dan usaha ini tidak dapat dilakukan di dalam satu penerbitan sahaja. Dengan harapan alternatif falsafah sains yang ‘baru’ tetapi sediakala ini akan memberi jalan ke arah kecerahan psikologi, sekurang-kurangnya, apabila menilai sains moden dan dengan itu membuka jalan ke arah pemikiran yang lebih kreatif terhadap sains moden itu sendiri.
Di dalam penyusunan buku ini, pembaca akan didedahkan kepada beberapa penulisan yang berkait rapat dengan perspektif Islam terhadap sains. Kritik terhadap sains moden dan hubungan di antara sains moden di dalam bidang fizik teoretikal dan kenyataan agama. Tulisan Huston Smith dan Maurice Bucaille menunjukkan bahawa fakta sains moden telah pun dikemukakan oleh falsafah serta ajaran agama sejak zaman dahulu. Huston Smith memilih fizik teoretikal, satu teori moden dan masih dalam perbincangan. Tulisan Maurice Bucaille mengaitkan teori evolusi dan kosmologi, iaitu teori-teori yang tidak diterima sepenuhnya dalam bidang sains kini sebagai benar-benar saintifik. Bagaimanapun ia banyak dibicarakan oleh para pemikir falsafah sains Islam kini. Tulisan Frithjof Schuon menyatakan had batasan sains moden dan kekeliruannya. Ia merupakan satu pandangan yang sangat mencabar sains moden. Pandangan Osman Bakar mengemukakan kaedah ideal dalam falsafah sains Islam iaitu satu kaedah yang membawa tujuan serta matlamat pengkajian sains dalam pengertian yang sebenarnya. Tulisan Lord Northbourne dan tulisan penyusun sendiri mengkritik had perspektif sains moden dan mengemukakan pandangan tentang sifat komprehensif sains tradisional. Frithjof Schuon melihat sains moden daripada perspektif tradisional dan secara prinsip meletakkan sains moden pada tempatnya. Beliau mengkritik sains tersebut kerana mendakwa bahawa hakikat ilmu adalah sains moden itu sendiri. Tulisan Seyyed Hossein Nasr mendefinisikan sains sebagai ilmu di dalam sains Islam serta menjawab permasalahan sains moden kini.
Umumnya penyusun menganggap bahawa, kebanyakan rencana yang disiarkan di sini dapat difahami oleh pembaca. Oleh yang demikian penyusun tidak akan memperincikan setiap satunya. Apa yang lebih penting bagi penyusun ialah pemilihan rencana yang saling berkaitan atau tergolong di dalam satu kumpulan yang benar-benar menolak hakikat sains moden dan sebaliknya menyatakan bahawa sains tersebut adalah tidak lebih daripada salah satu “sains” seperti bidang ilmu yang lain juga. Selain daripada Huston Smith dan Maurice Bucaille penulis lain boleh dikatakan berada di dalam golongan yang telah kami nyatakan itu. Huston Smith menyatakan sains fizik moden, iaitu aspek teoretikal sains tersebut dan ciri atau sifat sains metafizikal mempunyai banyak persamaan.
Dengan itu beliau ingin menyatakan bahawa, realiti yang telah dijumpai dahulu, kini ditemui semula dalam fizik teoretikal. Daripada satu segi ini menunjukkan bahawa, alat bagi mencapai ilmu itu bukannya satu atau seragam di antara satu tamadun dengan tamadun yang lain. Beliau menyatakan bahawa, manusia tradisional mengetahui hakikat ini dan mengalami daerah ilmu yang berkaitan dengan fakta yang mereka temui itu. Sains moden menemui hal yang sama tetapi dalam teorinya. Mereka mengetahui realiti alam itu tetapi tidak mengalaminya sendiri.
MUHAMMAD AMIN NASRIN A. (Verified Reader) –