Akal Budi Melayu dalam Bahasa dan Sastera Moden menghimpunkan makalah meliputi pelbagai disiplin ilmu dalam wacana kearifan tempatan khususnya kepada penggemar ilmu pelayaran; pejuang bahasa dan negara bangsa; juga pencinta seni budaya. Makalah yang dihasilkan adalah berdasarkan kajian teks dan kajian lapangan yang meliputi ruang kehidupan masyarakat Melayu yang luas. Buku ini sesuai dimiliki dalam memahami dan menjiwai akal budi bangsa Melayu pada masa lalu dan masa kini, demi menghadapi tentangan hidup yang lebih bermakna pada masa-masa yang mendatang.
Judulnya, Akal Budi Melayu dalam Bahasa dan Sastera Moden sinonim dengan garapan ilmiah para penyumbang esei yang mencakupi spektrum bahasa dan karya kesusasteraan Melayu moden, termasuk juga bidang kartun, drama dan filem. Perbincangan tidak hanya bertitik tolak kepada cungkilan dan maksud tersirat yang sarat dengan konsep, petua dan ilmu yang terkandung dalam kearifan tempatan sahaja, tetapi turut meresap ke dalam alam bahasa, falsafah dan juga makna yang dikandung olehnya. Penulisan kali ini jelas mempamerkan ketelusan, ketelitian, kepekaan dan kehebatan para penyumbang makalah tentang alam Nusantara yang dikupas dan dikemukakan kepada khalayak pembaca agar dapat dimanfaatkan dalam penelitian, rujukan dan diskusi selanjutnya. Malah diharapkan juga penulisan ini boleh menjadi petunjuk dan pencetus idea yang menyemarakkan lagi dunia kearifan tempatan di alam Nusantara ini.
Meskipun buku ini menumpukan perbincangan terhadap bidang bahasa dan sastera sahaja, namun hujahannya sarat dengan ilmu pengetahuan, panduan hidup dan falsafah ilmu milik warga peribumi Nusantara yang boleh dikembangluaskan lagi dan diaplikasikan demi melestarikan ilmu pengetahuan lama yang bernilai tinggi supaya tidak ditelan masa, seperti kata pepatah Melayu, “tidak lekang dek panas, dan tidak lapuk dek hujan.”
Kesembilan makalah yang terangkum di dalam buku ini adalah hasil daripada analisis dan dapatan kajian dalam bidang kesusasteraan Melayu moden, bahasa, komik, lakon layar filem dan teks drama yang menonjolkan kehebatan dan kearifan ilmu yang dimiliki oleh masyarakat peribumi atau tempatan. Kepandaian tersebut telah disisipkan ke dalam bentuk karya sastera dan visual agar menjadi panduan dan ilmu untuk generasi yang akan datang. Adalah menjadi harapan agar tulisan-tulisan yang sarat dengan ilmu kearifan tempatan ini menjadi bahan bacaan, renungan dan perbincangan agar sentiasa mekar di persada ilmu pengetahuan pada peringkat kebangsaan, serantau mahupun antarabangsa.
Reviews
There are no reviews yet