Anak Raja dengan Anak Papa merupakan terjemahan kepada The Prince and the Pauper oleh Pendeta Za’ba dan juga merupakan judul pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958, kira-kira dua tahun setelah badan bahasa dan sastera ini ditubuhkan. Apabila DBP ditubuhkan dalam bulan Jun 1956, tugas jabatan Pengarang Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI dan sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris—UPSI) Tanjung Malim (yang lebih terkenal namanya dalam bahasa Inggeris, ‘Sultan Idris Training College’—SITC) sebagai penyedia bahan bacaan untuk sekolah rendah Melayu diambil alih oleh badan baharu itu. Maka selepas tahun 1957, semua buku bacaan sekolah yang pernah diterbitkan dengan usaha MPSI telah diserahkan kepada DBP untuk diedarkan sebagai bahan bacaan sekolah rendah kebangsaan selepas kemerdekaan.
Barangkali, melalui proses pemindahan tugas dari MPSI ke DBP itulah manuskrip terjemahan Za’ba itu diketahui lalu diambil oleh DBP untuk diusahakan sebagai penerbitannya yang pertama. Lagipun, Za’ba pernah menjadi penterjemah atau ketua penterjemah di SITC semasa beliau melakukan penterjemahan itu secara sambilan (yakni, di luar pejabat).
Menurut catatan penterjemahnya, kerja ‘memelayukan’ karya asalnya, The Prince and the Pauper karangan Mark Twain atau nama sebenarnya Samuel Langhorne Clemens, tamat dalam tahun 1937. Dua puluh tahun kemudiannya barulah hasil terjemahan itu diterbitkan. Hal ini menyebabkan Za’ba berkata bahawa ‘jikalau terjemahan ini telah saya perbuat pada masa sekarang, bukannya dua puluh tahun dahulu, haruslah akan didapati bahasanya dan gaya terjemahnya berlainan daripada yang ada ini oleh sebab pengalaman yang telah bertambah selama itu.’
Novel ini mengisahkan tentang Edward Tudor (anak raja) dan Tom Canty (anak papa) saling bertukar identiti kerana ingin merasai corak kehidupan lain yang disangkakan lebih seronok. Anggapan mereka ternyata meleset kerana kehidupan sebenar tidak seperti yang diimpikan. Meskipun timbul kekesalan di dalam hati masing-masing setelah melalui pelbagai cabaran dalam identiti baru, mereka terpaksa menunggu agak lama sebelum dapat bertukar identiti semula.
Anonymous (store manager) –
Anonymous (store manager) –