Asas Teologi dan Falsafah Politik Muslim

MAKMOR TUMIN adalah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Pentadbiran Dan Politik, Fakulti Ekonomi & Pentadbiran Universiti Malaya.

Penerbit UM (Cetakan Pertama 2019)
194 halaman termasuk Indeks dan Bibliografi

RM52.00

In stock

Asas Teologi dan Falsafah Politik Muslim ditulis bagi maksud memperkukuhkan pengetahuan pengarang dan pembaca berkaitan buah fikiran ahli falsafah politik Muslim. Pemikir Muslim yang dicakupi dalam buku ini terdiri daripada individu yang mempunyai latar belakang ilmu falsafah yang tinggi seperti al-Farabi, lbnu Sina, al-Ghazali dan lbnu Rusyd, serta ilmu fekah yang dalam seperti al-Mawardi, lbnu Taymiyyah, lbnu Khaldun dan Shah Waliullah.

Selain daripada itu, ilmuwan lain seperti al-Tusi, al-Majlisi, al-Tunisi dan al-Fathani yang terkenal dalam bidang masing-masing juga dihurai dalam tulisan ini. Perlu dinyatakan di sini bahawa al-Tusi dan al-Majlisi adalah ilmuwan daripada kelompok Syiah manakala majoriti yang lainnya, kecuali al-Farabi (yang tidak begitu jelas identiti pegangannya) adalah daripada kumpulan Ahli Sunnah.

Sasaran pembaca tulisan dalam buku ini lebih ditumpukan kepada mereka yang telah terdedah dengan idea-idea Barat dalam bidang Sains Sosial, baik Politik, Ekonomi, Sosiologi, Sejarah mahupun bidang ilmu kemasyarakatan yang lain. Oleh sebab itu, istilah-istilah yang lebih biasa digunakan dalam karya-karya di Barat berkaitan Islam akan lebih banyak digunakan daripada istilah-istilah yang datang dari Timur Tengah dan dunia Islam sendiri.

Sebagai contoh, istilah ‘teologř’ yang membawa maksud akidah ataupun tauhid akan digunakan dalam buku ini secara lebih meluas atau digunakan secara berselang-seli untuk memberikan pemahaman tentang falsafah politik yang lebih mudah dan baik terhadap pembaca.

Pengarang sendiri lebih terdidik dalam bidang ilmu sosial kerangka Barat. Oleh itu, penggunaan istilah-istilah seperti akidah, tauhid atau usuluddin amat berat untuk digalas oleh pengarang. Begitulah juga dengan istilah fekah, ihsan dan tasawuf.

Dalam Asas Teologi dan Falsafah Politik Muslim ini, selain mengetengahkan bagaimana idea politik Muslim berkembang, perbincangan tentang idea politik Barat dimasukkan bagi menunjukkan bahawa ilmu politik itu tidak tumbuh di satu kawasan sahaja. Oleh yang demikian, tiada monopoli ilmu yang sepatutnya berlaku dalam dunia kesarjanaan.

Pengarang tidaklah merujuk kepada semua karya asal pemikir-pemikir dalam buku ini. Sebahagian besar yang mampu dilakukan hanyalah memberikan gambaran atau ulasan berkaitan idea-idea pemikir berkenaan berdasarkan perdebatan dan perbincangan yang ada, baik dalam media cetak seperti buku dan jurnal mahupun media elektronik seperti YouTube.

Oleh itu, buku ini lebih merupakan suatu tinjauan awal dengan metode analisis wacana (discourse analysis). Dengan kata lain, tiada analisis konkrit atau sintesis yang hendak dibangunkan dalam buku ini melainkan hanya memberikan gambaran tentang idea-idea pemikir berkenaan.

Weight0.338 kg
Dimensions23 × 15.2 × 1 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author