Out of stock

Batu Uban, Tanjong dan Bagan: Pengkisahan Lisan

Senarai penulis:
SHAIKH ABDUL AZIZ SHAIKH MOHAMED AL-KHAIYATH
AHMAD MURAD MERICAN
MOHD YUSOFF LATIF
DAHALAN FAZIL
SYED OMAR SYED MOHAMAD AL SAGGAF
MOHD NASSER MALIM
RIZOL MD. ARIFF
OMAR FAROUK BAJUNID
MOHD. HANAFI IBRAHIM

Penerbit USM (Cetakan Pertama, 2020)
115 halaman termasuk Indeks

RM25.00

Out of stock

Batu Uban, Tanjong dan Bagan: Pengkisahan Lisan memuatkan kisah dan kehidupan di Tanjong, Air Itam, Batu Uban, Bagan dan Balik Pulau serta kepentingan salasilah dan keturunan, seperti keluarga keturunan dari kesultanan Brunei yang bermastautin di Pulau Pinang. Cerita tentang masyarakat Melayu Pulau Pinang telah sekian lama terpinggir dan lenyap daripada ingatan umum. Justeru, pengalaman dan perihal kehidupan ‘Orang Tanjong’ serta kawasan persekitaran sama ada di pulau atau seberang perlu diceritakan dan diterbitkan sebagai khazanah ilmu generasi masa hadapan.

Dengan itu, buku ini memuatkan naratif masyarakat Melayu Pulau Pinang di bawah projek Syarahan CenPRIS-Dato’ Jenaton yang dimulakan pada bulan November 2016. Kisah-kisah yang telah mengukir sejarah dan membentuk masyarakat ini disampaikan oleh individu jemputan sebagai sumber sejarah dan penceramah dari pelbagai latar belakang dan bidang untuk bercerita, mentafsir, dan menggalakkan perbincangan sejarah dan warisan Melayu serta pertembungan Melayu-Islam dengan budaya dan etnisiti lain di dalam dan luar rantau kepulauan Melayu.

Batu Uban, Tanjong dan Bagan: Pengkisahan Lisan terdiri daripada sepuluh bab yang meliputi kisah pembinaan petempatan dan masyarakat di Batu Uban, Balik Pulau, Air Itam, Tanjong dan Bagan, serta di Pulau Pinang secara keseluruhannya sejak awal abad ke-18. Di dalamnya tertonjol peranan tokoh-tokoh utama seperti Nakhoda Nan Intan, Nakhoda Bayan, Nakhoda Kechil, Dato’ Jenaton dan Sheikh Akhil Khan Muhammad. Tokoh-tokoh ini secara umumnya tidak didendangkan atau dalam erti kata lain tidak tersurat di dalam dokumen-dokumen rasmi negeri/negara, kebanyakan buku sejarah, apatah lagi buku-buku teks sekolah, walhal usaha dan jasa mereka membina perkampungan, masjid, bagan atau pengkalan dan prasarana sosioekonomi yang lain amatlah besar. Dalam konteks ini usaha editor buku ini bersama lapan orang nara sumber yang disebutkan amatlah membantu dalam mengisi kelompongan sejarah awal mengenai negeri dan masyarakat Pulau Pinang. Mereka berjaya menonjolkan profil tokoh-tokoh tersebut, bersama keperihalan masyarakat semasa, termasuk kelompok Melayu dari Minangkabau, Acheh, Kedah, Patani dan Brunei serta komuniti Arab dan India Muslim.

Sebenamya, sejarah pembukaan Pulau Pinang sudah lama dipesongkan. Banyak sumber bertulis dengan mudah dan megah mengungkapkan bahawa pembinaan negeri ini hanya bermula pada 11 Ogos 1786, iaitu dengan kedatangan Kapten Francis Light, pegawai British yang membuat perjanjian pemerolehan pulau tersebut dengan pihak istana Kedah. Kewujudan awal pelbagai kelompok masyarakat Melayu dan peranan tokoh-tokoh seperti Nakhoda Nan Intan, Nakhoda Bayan, Nakhoda Kechil dan Dato’ Jenaton tidak dicatat, atau sengaja digelapkan. Perkara ini dapat dilihat antaranya dalam tulisan rasmi bertajuk “Latar Belakang Pulau Pinang” oleh pihak Biro Penerangan Negeri yang dimuat naik ke laman sesawang Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2015. Kini, pada tahun 2019 dapat dibaca pula di Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebuah rencana tentang sejarah negeri tersebut dengan judul “Bukan Inggeris Buka Pulau Pinang”.

Pada tahap ini, elok ditegaskan lagi bahawa pembukaan Pulau Pinang memang sama sekali tidak melibatkan Francis Light. Hal ini kerana beliau hanya muncul di negeri yang suatu ketika dahulu banyak ditumbuhi pohon pinang ini pada tahun 1786. Sebaliknya, ia melibatkan tokoh-tokoh dari Kepulauan Melayu sendiri. Yang pertama ialah Haji Muhammad Salleh @ Raja Nan Intan Ibn Almarhum Tengku Pateh Sebatang, yang berasal dari Kampung Buadi/Bodi, Payakumbuh, Minangkabau, Sumatera Barat. Tokoh ini, yang juga dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan, telah belayar dari Batu Bara ke Pulau Pinang dan meneroka kawasan pantai yang berdekatan dengan kampus USM sekarang. Penerokaan ini berlaku sekitar tahun 1730 setelah beliau secara rasmi mendapat perkenan Sultan Kedah ketika itu, DYMM Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mu’adzam Shah II. Nakhoda Nan Intan membina petempatan Melayu yang hingga kini dirujuk sebagai Batu Uban. Yang turut dibangunkan di situ ialah bagan atau pangkalan untuk urusan perdagangan. Seterusnya, pada tahun 1734 dibangunkannya pula masjid yang pertama di Pulau Pinang, yang masih kekal hingga sekarang, dan kini terkenal dengan nama Masjid Jamek Batu Uban. Di perkarangan masjid tersebut telah digali sebuah perigi yang airnya hingga kini, sesudah hampil tiga abad, tidak pernah kering.

Sayugia ditambah bahawa pada tahun-tahun yang sama, dua orang saudara Nakhoda Nan Intan, iaitu Nakhoda Bayan dan Nakhoda Kechil juga telah merantau ke Pulau Pinang. Nakhoda Bayan membuka petempatan kawasan yang kini dikenali sebagai Bayan Lepas. Sementara itu, Nakhoda Kechil meneroka petempatan di sepanjang pantai timur dari Batu Uban hingga petempatan yang dinamakan Tanjong Penaga, iaitu kawasan sekitar Fort Cornwallis dan pelabuhan Pulau Pinang sekarang.

Weight0.258 kg
Dimensions24 × 16.5 × 1.2 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

  1. Noor Hisham (verified owner)

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.