Bugis Sabah menelusuri sejarah awal perhijrahan mereka ke Sabah serta huraian mengenai organisasi sosial, adat istiadat, gambaran sosioekonomi dan sosiobudaya serta falsafah hidup masyarakat Bugis Sabah, selain cabaran, hala tuju dan isu-isu berkaitan-masyarakat ini. Di Kepulauan Borneo khususnya di Sabah, kehadiran orang Bugis dilihat daripada dua sudut yang berbeza. Orang Bugis yang terawal telah menempati daerah Tawau seawal tahun 1800 lagi. Orang Bugis yang diketuai Pua Ado telah membantu orang Inggeris membuka ladang di daerah tersebut. Kehadiran orang Bugis di Sabah khususnya di daerah Tawau pada ketika itu pula dilihat sebagai senario bermusim kerana kebanyakan daripada mereka datang dan kembali semula ke tanah asal di Indonesia.
Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan mereka yang terus menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Pada tahun 1950-an hingga 1960-an, kehadiran orang Bugis di Sabah lebih banyak menempati di ladang-ladang kelapa dan menjadi buruh kasar di syarikat pembalakan. Golongan ini bermastautin di Sabah dan menjadi penduduk tetap dan akhirnya menjadi warganegara Malaysia.
Majoriti orang Bugis menempati daerah-daerah di Pantai Timur Sabah seperti daerah Tawau, Sandakan, Semporna, Kunak dan Lahad Datu. Kini mereka juga menduduki bandar Kota Kinabalu, Keningau dan Kundasang,bergantung kepada kegiatan ekonomi yang dijalankan mereka. Kehadiran orang Bugis di Sabah menambahkan kepelbagaian etnik di negeri tersebut. Kesannya telah menyumbang kepada pertambahan dan kepelbagatan daripada aspek budaya dan warisan masyarakat setempat.
Sebagaimana kedudukan etnik Bugis di negara asal. nenek moyang mereka, etnik Bugis yang ada di Sabah juga terdiri daripada pelbagai subetnik. Dalam kalangan sub-etnik tersebut, mereka menggelari diri mereka sebagai Bugis Bonne, Bugis Enrekang, Mandar, Pinrang, Bugis Toraja dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kesemua orang Bugis yang terpecah-pecah mengikut wilayah asal nenek moyang dan perbezaan loghat bahasa, memperkenalkan diri mereka sebagai To Ugi atau orang Bugis sebagai satu kesatuan bangsa di Sabah.
Orang Bugis di Sabah amat digeruni masyarakat lain kerana keistimewaan yang dimiliki mereka. Kadangkala mereka diberi julukan sebagai Cina Hitam. Gelaran tersebut diberikan memandangkan orang Bugis dianggap ‘pendatang’ yang kuat bekerja dan gigih. Kecekalan, dan daya usaha mereka dan konsep siri’ yang dipegang kuat oleh orang Bugis menyebabkan mereka menjadi bangsa yang berjaya. Orang Bugis di Sabah telah menguasai bidang ekonomi seperti perniagaan berskala besar dan runcit, pengusaha bas, pendidikan dan terlibat dalam ekonomi pertanian sama ada kebun kecil atau perladangan.
Sungguhpun orang Bugis Sabah masih dianggap ‘pendatang’ di Sabah, mereka tidak pernah merasakan bahawa mereka orang asing di negeri ini. Orang Bugis yang telah lama bermastautin atau dilahirkan di Sabah bekerjasama memajukan Sabah sebagai tanah air sendiri memandangkan mereka mengamalkan semangat ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Kegiatan orang Bugis dalam bidang ekonomi, politik, dan pendidikan menjadi bukti bahawa orang Bugis yang menjadi warganegara Malaysia memiliki rasa cinta akar tanah air ini.
Berdasarkan kepada senario tersebut, adalah penting untuk mengetahui sejarah dan perkembangan orang Bugis yang bermula di Sulawesi Selatan. Agama, budaya dan pegangan hidup serta konsep siri’ yang dijadikan landasan hidup membentuk jati diri orang Bugis sebagai bangsa yang teguh.
Reviews
There are no reviews yet