Out of stock

Ensera Ayor: Epik Rakyat Iban

NORIAH TASLIM mula bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia pada tahun I982. Pada tahun 1993, beliau memperoleh ijazah doktor falsafah daripada Monash University, Australia. Kini, beliau bertugas di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau adalah sastera tradisional, terutama dalam aspek teori dan kritikan; kajian filologi dan suntingan naskhah; kajian budaya (pascakolonial. gender. sosiologi sastera); dan kajian interdisiplin dalam kesusasteraan. Penyelidikannya memfokus kepada bidang konvensi, puitika dan sastera Melayu; kelisanan dan keaksaraan (teks dan budaya); kajian folklor; dan wanita dalam sastera Melayu tradisional. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Sastera Negara, Anugerah Sastera Perdana, Anugerah Tinta Kencana dan Anugerah Sanggar Sanjung USM.

CHEMALINE OSUP pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pakan, Bintangor, Sarawak pada tahun 1988 hingga 1996. Beliau kemudiannya berpindah ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Kampus Rajang, Sarawak pada tahun 2091 hingga pertengahan 2010 dan seterusnya berkhidmat di Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pensyarah Bahasa Iban serta Penyelaras Program Bahasa Iban. Beliau telah menghasilkan 11 buah buku akademik untuk program bahasa Iban pada peringkat universiti dan IPGM. Antara karya yang dihasilkannya adalah seperti Litaricha Iban, Sistem Jaku Iban, Pengelandik Jaku Iban, Komunikasi Kontekstual, Waris Daya Idup Iban Jilid I dan II, Sintaksis Jaku Iban, Morfologi Jaku Iban, Fonologi Jaku Iban, Wacana Enggau Semantik dalam Jaku Iban dan Psikolinguistik Enggau Sosiolinguistik dalam Jaku Iban.

Penerbit USM (Cetakan pertama, 2013)
275 halaman, termasuk Indeks dan Bibliografi

RM53.00

Out of stock

Ensera Ayor: Epik Rakyat Iban mendokumentasi, menterjemah (dengan anotasi) sebuah teks ensera Iban di Sarawak. Ensera ialah sebuah epik rakyat yang disampaikan dalam bentuk puisi lisan Iban yang disebut sebagai leka main. Ensera merupakan puisi kewiraan yang amat panjang dan genre ini mungkin hanya ditemui dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak. Untuk beberapa lama, ia merupakan tradisi hidup yang amat terkait dengan aktiviti harian masyarakat Iban. Kini ia hanya wujud dalam ingatan beberapa orang pembawa tradisi yang juga kian kecil jumlahnya. Usaha untuk merakam dan mendokumentasikan epik ini dan kemudiannya menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu baku dilihat sebagai percubaan untuk melestarikan epik ini dalam bentuk yang lebih kekal, lebih mudah dicapai oleh pengkaji-pengkaji budaya etnik.

Di samping kerja dokumentasi dan terjemahan teks, Ensera Ayor: Epik Rakyat Iban juga memberi latar belakang dan konteks ensera ini, termasuk latar genre dan budaya yang menyelenggarakan; kepentingan, pelestarian dan fungsinya kepada masyarakat Iban di Sarawak. Latar konteks ini penting untuk meletakkan teks ini dalam situasi kewujudannya dan penghayatannya.

Suku Iban ialah penduduk peribumi yang terbesar di Sarawak (dikenali juga sebagai Bumi Kenyalang). Secara keseluruhannya, penduduk Sarawak terdiri daripada 23 kumpulan etnik utama dan berpuluh lagi suku etnik yang kecil. Mereka menganut pelbagai kepercayaan, adat resam dan budaya serta menuturkan bahasa dan dialek yang berbeza-beza mengikut daerah kediaman masing-masing. Orang Iban tradisional ialah penduduk peribumi yang paling dominan di Sarawak, diikuti Bidayuh, Melayu-Melanau dan kumpulan etnik lain yang lebih dikenali sebagai Orang Ulu. Orang Iban tradisional dikenali sebagai Dayak Laut dan mereka berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi berpindah ke Sarawak pada masa yang hampir sama dengan kedatangan orang Eropah ke Asia Tenggara. Mereka memasuki Sarawak melalui Batang Air Kapuas, jalan masuk paling mudah bagi melintasi sempadan Sarawak-Kalimantan.

Dalam latar belakang yang demikian, sastera lisan suku Iban tampil, berkembang dan semarak, mengisi, memeriah dan memperkaya budaya masyarakat ini. Sastera tersebut, sama ada dalam bentuk prosa naratif atau puisi dilestarikan melalui pelbagai acara adat istiadat dan upacara keagamaan kaum Iban. Dalam keadaan demikian, sastera lisan Iban adalah seni hidup, berkembang bersama kehidupan harian khalayaknya, hatta tidak akan pupus selagi ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kaum ini.

Walau bagaimanapun, masyarakat Iban sama seperti kaum lain, terasak juga oleh pemodenan dan segala pembaharuan yang dibawanya. Hal ini sedikit sebanyak menjejaskan sistem hidup ekonomi, sosial, politik dan amalan budaya tradisional mereka. Dalam keadaan demikian, yang pertama akan terkesan oleh pembaharuan ini ialah sastera lisan. Demikian itu, walaupun sastera lisan Iban masih digemari dan dilestari di desa-desa pedalaman, namun kebanyakannya tidak lagi menjadi sebahagian daripada acara dan upacara kehidupan masyarakat Iban. Kesannya, semasa penyelidikan ini dilangsungkan, teks yang dirakam tidak lagi berlangsung dalam situasi persembahan yang sebenarnya, khalayak yang hadir amat corot, malah untuk mendapat informan yang masih boleh menutur cerita secara lengkap dan mantap juga amat susah. Tradisi bercerita ini nampaknya bukan sahaja kehilangan khalayak, tetapi juga sudah kepupusan pelapis. Tragedi yang menimpa sastera lisan di seluruh dunia juga berlaku kepada masyarakat Iban.

Ensera Ayor: Epik Rakyat Iban dengan demikian akan memberi fokus kepada satu bentuk sastera lisan Iban yang amat popular dalam kalangan masyarakat Iban suatu ketika, iaitu ensera atau puisi epik rakyat. Sejauh yang diketahui, ensem merupakan satu-satunya epik rakyat yang masih hidup (bergagah hidup) dan dituturkan di kawasan ini. Ensera merupakan satu jenis puisi lisan Iban yang disebut sebagai leka main.

Seperti suku kaum lain di dunia, orang Iban juga mempunyai satu khazanah sastera lisan yang besar dan pelbagai. Sastera tersebut tampil dalam bentuk bentuk prosa (separa prosa) dan puisi (bahasa berirama). Suku Iban memang mahir bermain dengan kata-kata dan sebenarnya mereka akan berasa amat bangga jika digelar landik bejaku (pandai berkata-kata) atau bepantun (berpuisi), Khazanah tersebut terdiri daripada pelbagai jenis sastera lisan seperti sampi (mantera), pelandai dan sanggai (puisi cinta), jaku entelah (teka-teki), ensumbar (puisi puji-pujian), sempama (perumpamaan), jaku dalam (kiasan), jaku karang (simpulan bahasa) dan seumpamanya. Namun, sastera lisan yang paling terkenal dalam masyarakat Iban ialah jerita tuai (cerita orang tua-tua), ensera (epik atau saga yang dipuisikan) dan legenda kepahlawanan Iban.

Satu tinjauan tentang situasi semasa tradisi lisan kaum Iban mendapati bahawa sejumlah 46 buah teks lisan dalam bentuk prosa dan puisi telah dirakam dan ditulis dalam bahasa Iban. Daripada jumlah bilangan teks lisan yang telah dikumpul dan didokumentasikan itu, 33 buah daripadanya adalah teks puisi. Sastera lisan bentuk puisi lebih popular dan berkembang berbanding prosa.

Puisi lisan Iban di Sarawak disebut sebagai leka main. Leka, selain bermaksud ‘benih’, juga membawa maksud ‘perkataan’, iaitu sesuaw kata yang dicipta untuk lirik lagu, puisi dan ujaran. Istilah leka dalam bahasa Iban bukanlah membawa maksud lalai, lengah atau asyik, manakala istilah main dalam bahasa Iban pula bukan membawa konotasi ‘bermain-main’ atau ‘tidak serius’ kerana ada jenis-jenis leka main yang bersifat serius, malah sakral; dilafazkan untuk mengiringi ritual semasa gawai, sebagai invokasi kepada dewa bagi tujuan memohon keberkatan dan penyembuhan. Ada juga jenis-jenis lain yang diujarkan secara lebih bersahaja dan sekular, contohnya untuk melafazkan rasa cinta kepada seseorang atau pujian kepada tokoh-tokoh tertentu dalam majlis-majlis keraian. Dalam konteks budaya/bahasa Iban leka main secara longgarnya boleh ditakrifkan sebagai ‘main dengan perkataan’ (membawa konotasi kreatif dan ciptaan, sama contohnya dengan istilah ‘main selut’ yang digunakan untuk menamakan seni kraf tembikar di Perak) atau juga secara lebih khusus bermaksud ‘menggubah, menyusun perkataan’.

Leka main merujuk kepada genre puisi rakyat Iban yang terdiri daripada pelbagai jenis dengan pelbagai nama. Sebagai salah satu bentuk sastera lisan, ia diwarisi dan disebar secara pertuturan dan persembahan. Dengan demikian, ia juga berupa suatu bentuk seni sosial, bersifat kolektif dan terpaut kepada aktiviti masyarakat; justeru leka main adalah bentuk sastera yang amat fungsional. Secara kasarnya, ia memenuhi tiga fungsi besar pertama, sebagai puisi magis yang diucapkan dalam sesuatu ritual kepercayaan/pembomohan, kedua, sebagai puisi adat yang diucapkan dalam sesuatu istiadat dan keacaraan, dan ketiga, sebagai puisi hiburan yang dilagukan sewaktu bekerja, belayar, memburu dan lain-lain.

Leka main kaum Iban merupakan satu bentuk sastera yang lahir pada awal peradaban masyarakat Iban dan mungkin yang terawal dicipta (dalam budaya lisan semua ujaran harus berbentuk puisi bahasa berpola dan bersukat; untuk memudahkan hafalan dan ingat balik). Dalam laluan hayatnya yang panjang, leka main terus-menerus diperelok dan diperhalus, ditokok tambah dan diubah suai mengikut keperluan zaman, pengalaman dan persekitaran yang sentiasa berubah. Namun sebagai seni sosial, segala perubahan tetap berlaku dalam konteks kreativiti yang terbatas, dikawal konvensi yang tegar. Kekangan ke atas kreativiti ini memelihara bentuknya daripada penyimpangan yang terlalu besar.

Seperti genre sastera lisan yang lain, leka main dibentuk oleh keadaan persekitaran dan pengalaman kehidupan masyarakat Iban. Justeru, ia mencerminkan hampir keseluruhan aspek kehidupan (termasuk kematian) masyarakat Iban sejarah. sistem sosial, ekonomi, kepercayaan dan pandang alam, terutama yang penting ia merakamkan semua aspek kebudayaannya.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.472 kg
Dimensions 24 × 16.5 × 1.6 cm
Edition

Format

ISBN

9789838616041

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Ensera Ayor: Epik Rakyat Iban”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.