Out of stock

Gelagat Perkahwinan Melayu Islam Menerusi Filem P. Ramlee

SUHANIM ABDULLAH adalah pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah, Universiti Utara Malaysia.

ROSNAAINI HAMID adalah pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Universiti Utara Malaysia.

Penerbit UUM (Cetakan Kedua, 2019)
123 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM40.00

Out of stock

Gelagat Perkahwinan Melayu Islam Menerusi Filem P. Ramlee membincangkan beberapa permasalahan yang sering berlaku dalam sesebuah perkahwinan seperti yang dipaparkan dalam filem Madu Tiga dan Keluarga 69. Kedua-dua buah filem ini dikategorikan sebagai filem komedi di samping menyelitkan kritikan halus. Tanpa disedari penonton bukan sahaja terhibur dan leka dengan lakonan serta dialog yang nampak bersahaja, namun mereka turut terkesan melalui mesej yang secara halus menuntut agar masyarakat terus berfikir.

Filem Madu Tiga menceritakan tentang seorang menantu kesayangan bernama Jamil telah mendapat restu bapa mertuanya untuk berpoligami. Gelagat Jamil yang beristeri tiga dianalisis dari sudut hukum syarak berdasarkan plot yang dipaparkan kepada penonton seperti faktor pendorong untuk menambahkan isteri, pelaksanaan keadilan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, tatacara menjatuhkan talak serta hukum perceraian yang dituntut oleh agama.

Menerusi filem Keluarga 69 pula peristiwa penting yang berlaku ialah jalinan perkahwinan yang lintang pukang antara dua buah keluarga sehingga lahir pula tiga buah keluarga yang baharu. Hubungan yang kusut menyebabkan timbul kecelaruan kedudukan pangkat dan panggilan dalam sesebuah keluarga. Penonton akan tertanya-tanya apakah perkahwinan seumpama itu sah di sisi agama?

Oleh itu, Gelagat Perkahwinan Melayu Islam Menerusi Filem P. Ramlee telah mengupas gelagat dan isu yang terkandung dalam kedua-dua buah filem tersebut berdasarkan hukum syarak bertujuan memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul. Di samping itu, masyarakat dapat menambahkan pengetahuan dan pemahaman agama secara santai dan bukan berhibur semata-mata. Kehadiran buku ini dapat memberi jawapan yang tepat berkaitan hukum agama secara khusus tentang permasalahan perkahwinan dan pentadbiran rumah tangga yang harmoni.

Persoalan tentang perkahwinan menjadi isu yang sering diketengahkan melalui pelbagai cara termasuklah dalam bentuk cerpen, novel, drama dan filem. P. Ramlee menerusi filem Madu Tiga dan Keluarga 69 memerihalkan tentang persoalan perkahwinan dalam masyarakat Melayu pada zamannya. Walaupun filem beliau sudah dimamah usia, namun filem tersebut tetap mempunyai pengaruh yang besar kepada pemikiran masyarakat Malaysia sehingga kini. Gaya persembahan watak dan adegan dalam filem tersebut diketengahkan dalam pelbagai bentuk seperti lawak, serius dan bersahaja di samping memuatkan unsur-unsur agama.

Persoalan perkahwinan yang dipaparkan menerusi dua buah filem Melayu arahan Tan Sri P. Ramlee ini bersifat subjektif. Tidak dinafikan kemungkinan sesebuah filem atau novel hanya memaparkan perkara-perkara yang boleh membantu menjadi menarik, lucu dan mempunyai jalan cerita yang sukar dijangka oleh penonton atau pembaca. Perkara yang mencacatkan jalan cerita atau plot yang tidak menarik acap kali akan ditinggalkan sehingga wujud satu fallacy dalam sesebuah filem atau novel tersebut. Persoalan yang dianggap kurang penting juga jarang diketengahkan untuk melindungi kelemahan sesebuah filem.

Perkahwinan dalam Islam dianggap sebagai ibadah lantaran perkahwinan membawa kepada pengampunan dosa, peningkatan darjat, kemantapan iman dan keluhuran sikap. Kelebihan perkahwinan turut memberi sumbangan yang cukup besar dari aspek kemasyarakatan, kesihatan dan politik. Kejayaan sesebuah ikatan perkahwinan juga kuat bergantung kepada ketepatan memilih calon isteri seperti yang ditetapkan oleh Islam di samping mematuhi dan melaksanakan peranan masing-masing setelah termeterai ijab dan kabul.

Weight0.214 kg
Dimensions22.8 × 15.1 × 0.7 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.