Hikayat Ayub dan Syair Nabi Ayub Alaihissalam

Disusun oleh FATHENWAN WAN MOHD NOR

DBP (Cetakan Pertama, 2022)
85 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM20.00

Only 1 left in stock

Hikayat Ayub dan Syair Nabi Ayub Alaihissalam merupakan sebuah teks kajian bandingan antara dua buah manuskrip karya kesusasteraan tradisional yang dapat dikelompokkan dalam genre hikayat berunsur Islam, dengan al-Quran. Tujuannya bagi membolehkan pembaca menilai bahan bacaan supaya tidak bercanggah dengan nilai keislaman. Kisah dan teladan yang terkandung dalam hikayat ini boleh dijadikan pengajaran agar manusia terus bersyukur kepada Allah

Naskhah “Hikayat Ayub” bernombor MS 29 merupakan koleksi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Naskhah ini berukuran 25 X 17.5 sentimeter, ditulis dalam sebuah buku kecil dan mengandungi 20 helai halaman bercetak. Jumlah baris pada setiap halaman adalah sekata, iaitu purata antara 16 baris pada setiap halaman dengan 12 perkataan pada setiap baris. Dari segi penggunaan kertas, naskhah ini ditulis pada kertas yang agak tebal dan berwarna kekuningan serta mempunyai tera air dengan tulisan “INGRES FABRIANO”.

Menerusi “Hikayat Ayub”, Nabi Ayub. digambarkan sebagai seorang yang baik budi dan mempunyai harta yang sangat banyak. Kemudian, beliau diuji dengan ujian yang amat dahsyat, iaitu kehilangan harta benda seperti binatang ternakan, ladang, anak dan isteri. Tidak cukup dengan itu, beliau ditimpa musibah yang amat berat, iaitu dihinggapi penyakit kulit yang menjijikkan. Pengarang juga cuba menggambarkan cara sahabat-sahabat Nabi Ayub, dan bagaimana Nabi Ayub sendiri berusaha mentafsirkan kecelakaan dan nasib malang yang berlaku dalam hidupnya. Para sahabat Nabi Ayub menyatakan bahawa penderitaan yang dialaminya merupakan balasan atau hukuman atas dosa yang telah dilakukan oleh Nabi Ayub. Nabi Ayub menyanggah pendapat para sahabatnya. Nabi Ayub bermonolog dan bertegas dengan pendiriannya bahawa hidupnya tidak pernah berdosa kepada Allah SWT.

Kemudian, para sahabat Nabi Ayub menyarankan supaya beliau pasrah dengan ujian yang diberikan oleh Allah. Akan tetapi, Nabi Ayub mula mempersoalkan nasib dirinya yang mendapat hukuman yang amat berat sedangkan dia seorang yang taat, baik dan sangat jujur. Akhirnya, Nabi Ayub bertanya langsung kepada Allah untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan hatinya. Nabi Ayub tidak hilang kepercayaan kepada Allah, tetapi beliau bersungguh-sungguh mahu mengetahui sebab dirinya dihukum sedemikian dan mahu mendapatkan kembali kehormatan dirinya sebagai seorang umat yang baik. Allah tidak menjawab pertanyaan Nabi Ayub, tetapi Allah memberikan jawapan kepada persoalan yang ditanyakan oleh Nabi Ayub berdasarkan contoh-contoh melalui kekuasaan dan hikmat-Nya. Pada bahagian terakhir, Nabi Ayub merendahkan diri dan menyesali akan tanggapannya terhadap Allah serta mengakui kebesaran dan hikmat Allah. Nabi Ayub bersyukur dan bertekad untuk tetap setia kepada Allah. Setelah itu, Nabi Ayub diberikan kembali segala nikmat yang telah ditarik daripadanya dan diberikan kekayaan lebih daripada keadaan sebelumnya.

Syair Nabi Ayub Allaihissalam merupakan sebuah buku terbitan Singapore Press yang ditulis oleh Umar bin Muhammad Khan pada tahun 1937. Buku nadir tersebut merupakan koleksi simpanan yang terdapat di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan mempunyai 30 halaman bercetak. Naskhah ini bertulisan Jawi dan belum pernah dialih aksara ke dalam tulisan Rumi. Syair Nabi Ayub Alaihissalam mengandungi sebanyak 313 rangkap. Syair Nabi Ayub Alaihissalam dimulakan dengar penceritaan susur-galur keturunan Nabi Ayub, iaitu berasal daripada keturunan Nabi Ishak dan Nabi Ibrahim. Beliau diutuskan oleh Allah kepada masyarakat bangsa Rom. Allah SWT telah mengurniai Nabi Ayub dengan kemewahan, harta yang melimpah-ruah, binatang ternakan yang banyak, isteri dan anak yang ramai. Beliau suka bersedekah dan berbuat baik kepada penduduk kampungnya. Nabi Ayub dikenali sebagai seorang yang sangat sabar, Mukmin yang baik, ahli ibadah yang tekun dan melakukan amal soleh sesuai dengan perintah Allah.

Syaitan sangat cemburu melihat ketaatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Ayub. Lalu, syaitan dengan penuh rasa iri hati bertemu dengan Allah dan meminta izin untuk menghancurkan Nabi Ayub. Syaitan terus menggoda tanpa henti supaya tercapai hajatnya untuk memesongkan akidah Nabi Ayub. Namun demikian, Nabi Ayub tetap berpegang teguh dengan keimanannya. Pada peringkat awal, syaitan memusnahkan semua kekayaan yang dimiliki oleh Nabi Ayub. Kesemua binatang ternakan Nabi Ayub mati bergelimpangan satu per satu dibakar oleh syaitan. Dalam waktu yang singkat, Nabi Ayub menjadi seorang yang papa kedana, tetapi hatinya masih penuh dengan ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Syaitan berasa kecewa kerana rancangannya masih tidak berhasil. Akan tetapi, syaitan tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan Nabi Ayub.

Kemudian, syaitan merancang untuk menghancurkan keluarga Nabi Ayub dengan merobohkan rumahnya. Anak-anak dan isteri Nabi Ayub mati akibat ditimpa runtuhan rumahnya kecuali seorang sahaja yang terselamat, iaitu isterinya, Siti Rahmat. Syaitan mula menghasut Nabi Ayub dengan mengatakan bahawa Allah tidak menerima ibadatnya, namun tidak sedikit pun goyah iman di dadanya dengan menjawab kepada syaitan bahawa semuanya ialah pinjaman Allah semata-mata. Dendam syaitan tiada berpenghujung apabila Nabi Ayub terus diduga dengan penyakit kulit yang sangat dahsyat yang menular ke seluruh tubuhnya. Kudis memenuhi seluruh tubuhnya sehingga gugur dagingnya. Nabi Ayub dihalau dari kampung dan orang sekelilingnya menjauhkan diri daripadanya kerana beranggapan penyakit tersebut boleh berjangkit. Isterinya, Siti Rahmat tetap setia menjaga dan merawat Nabi Ayub dengan penuh kesabaran dan rasa kasih sayang, melayani segala keperluan Nabi Ayub tanpa mengeluh. Begitu juga dengan Nabi Ayub, beliau tidak mengeluh, tidak berputus asa dan sentiasa berzikir serta bermunajat kepada Allah.

Syaitan berasa kesal dan jengkel melihat ketabahan hati Nabi Ayub menanggung derita dan kesabarannya dalam menempuhi pelbagai musibah dan ujian. Seterusnya, syaitan menghasut hati Siti Rahmat supaya berputus asa menghadapi ketentuan Allah. Syaitan berjaya mempengaruhi Siti Rahmat apabila dia mula mengeluh dan mempersoalkan penderitaan yang dialaminya. Nabi Ayub berasa kecewa apabila isterinya berjaya dipengaruhi oleh syaitan. Lalu, Nabi Ayub mengusir Siti Rahmat dan berjanji akan merotannya sebanyak 100 kali sekiranya dia kembali sihat. Kemudian, Nabi Ayub bermunajat kepada Allah dengan sepenuh hati memohon rahmat dan diberikan kesembuhan. Dengan izin Allah, Nabi Ayub diberikan kesembuhan daripada penyakitnya setelah mengikut segala petunjuk Allah (menghentakkan kaki ke tanah, makan buah delima, minum dan mandi menggunakan air yang keluar dari bawah tanah). Kudis-kudis yang terdapat pada tubuhnya menjadi kering. Nabi Ayub berubah menjadi seorang lelaki yang lebih tampan dan sihat.

Pada ketika itu, Siti Rahmat kembali mencari dan menyeru nama suaminya. Pada awalnya, Siti Rahmat hampir tidak mengenali Nabi Ayub kerana sewaktu keluar dari rumahnya, Nabi Ayub masih menderita menanggung penyakitnya. Kemudian, Siti Rahmat mengucap syukur kepada Allah yang telah memberikan limpah rahmati dan kurnia-Nya mengembalikan kesihatan suaminya. Nabi Ayub segera teringat akan sumpah yang dibuatny8 untuk merotan isterinya apabila beliau kembali sihat. Beliau berasa serba salah dan kasihan untuk menghukum Siti Rahmat yang telah bersusah payah menjaganya selama beliau sakit. Akhirnya, Allah memberikan jalan supaya Nabi Ayub merotan isterinya menggunakan seratus batang gandum yang diikat menjadi satu ikatan dan dipukul sekali sahaja. Atas kesabaran, ketabahan dan keteguhan iman Nabi Ayub, Allah mengembalikan segala kekayaannya dengan berlipat kali ganda. Bukan itu sahaja, keluarga Nabi Ayub juga dikembalikan seperti sediakala.

Kata Pengantar
Prakata
Pendahuluan
Lambang

Transliterasi Teks “Hikayat Ayub” MS 29

Transliterasi Teks Syair Nabi Ayub Alaihissalam

Glosari
Bibliografi
Indeks

Weight0.185 kg
Dimensions21.5 × 14 × 0.8 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.