Hikayat Sarawak

MUHAMAD RAKAWI YUSOF (b. 1890 — d. 1936) adalah bekas Pegawai Kastam yang juga guru kebudayaan tradisi Melayu, termasuk ilmu silat, yang popular dengan gelaran “Master Rakawi”. Beliau juga adalah antara orang yang bertanggungjawab menerbitkan Fajar Sarawak dalam tahun 1930, iaitu akhbar Melayu pertama di Sarawak. Sumbangan terunggul beliau ialah mengasaskan penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) bersama Johari Anang dan Abdul Rahman Kassim. Beliau turut menghasilkan sebuah novel berjudul Melati Sarawak.

NORDI ACHIE adalah adalah pensyarah di Universiti Malaysia Sabah. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya.

Penerbit UM (Cetakan pertama, 2009)
212 halaman, termasuk Indeks, Bibliografi, Glosari dan Teks Jawi Asal

RM50.00

In stock

Hikayat Sarawak adalah sebuah karya sejarah tradisional paling awal diterbitkan di Sarawak. Merupakan persejarahan negeri yang punya keistimewaan tersendiri dalam konteks persejarahan Malaysia. Pengkaryanya, Muhammad Rakawi Yusuf adalah seorang nasionalis dan novelis Melayu berjiwa kritis dan mendukung gagasan pembaharuan Kaum Muda. Rakawi menyifatkan imperialis Barat persis seekor ular yang melingkari Borneo. Rakawi menyaksikan sendiri negerinya diperintah rejim Brooke dan birokrat kulit putih yang sombong bangga dengan kebudayaan mereka. Rakawi resah gelisah melihat nasib anak watan yang miskin serba-serbi; sedang pada waktu sama, kekayaan tanah airnya disedut bangsa asing yang mengecapi kemajuan ekonomi dan pendidikan, berbanding nasib putera bumi Sarawak yang dibelenggu kemiskinan dan kemunduran ilmu.

Malahan, dokumen dan karya sejarah yang ditulis dari sudut pandang kolonial, termasuk penulis upahan Brooke; menghina budaya putera bumi manakala pejuang antikolonial pula dicap sebagai lanun dan pemberontak. Beranikah Rakawi mencabar dogma ini sekali gus menyanggah kejalangan ilmiah penulis upahan rejim Brooke? Tegasnya, persoalan tersebut hanya terjawab secara tuntas jika perbandingan dibuat antara pemikiran kesejarahan Rakawi dalam Hikayat Sarawak dengan A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908 (1909), karya S. Baring-Gould dan C.A. Bampfylde.

Hikayat Sarawak berusia 76 tahun pada tahun 2008. Karya sejarah Sarawak berbahasa Melayu yang pertama seumpamanya ini, tidak banyak mencuit perhatian para sarjana. Justeru, tidak banyak juga yang dapat kita ketahui mengenai hikayat klasik ini terutamanya mesej-mesej kesejarahan yang terselit di sebalik pemikiran pengarangnya Muhammad Rakawi Yusuf. Lantaran menyedari bahawa Hikayat Sarawak mempunyai nilai dan kepentingannya tersendiri khasnya dalam ranah persejarahan Sarawak, penerbit berasa sudah tiba masanya untuk menampilkan semula hikayat ini ke persada kesarjanaan, kesejarahan dan keintelektualan tanah air.

Walau bagaimanapun, memandangkan sebahagian generasi terpelajar hari ini semakin buta Jawi, penyelenggara berpendapat prakarsa sedemikian harus bermula dengan merumikan Hikayat Sarawak supaya khalayak pembacanya semakin meluas. Kita juga insaf bahawa peranan tulisan jawi yang berjasa terhadap kemajuan bahasa Melayu jelas semakin terhakis kepentingannya. Inikah harga kemerdekaan yang terpaksa kita bayar? Apakah nasib tulisan jawi, terutamanya selepas 100 tahun mendatang?

Betapapun sukarnya pencinta korpus keilmuan Melayu dan khazanah Islam di rantau ini dalam prakarsa mempertahankan sisa-sisa pusaka, terutamanya dalam mendepani cabaran zaman pascamodenisme, kita harus mengharunginya juga. Justeru, antara langkah awal untuk memugar keberadaan Hikayat Sarawak, dan terlebih penting lagi, dalam rangka meletakkannya di tengah-tengah arus kemodenan zaman ini, tidak dapat dinafikan akan peri pentingnya usaha ini mesti dilestarikan.

Perlu dinyatakan, sesetengah pihak tidak begitu menggalakkan kita meneruskan usaha mentransliterasikan Hikayat Sarawak kerana kononnya Muhammad Rakawi dikatakan sengaja “memburuk-burukkan” keperibadian dan kebudayaan sesetengah suku pribumi rumpun Melayu di Sarawak. Lantas, dibimbangi penerbitan semula Hikayat Sarawak mungkin menyebabkan tercetusnya kontroversi kesukuan dan isu politik di Sarawak. Benarkah begitu, atau ini hanya pandangan yang lahir akibat cengkaman kejahilan pemikiran tentang kepentingan persejarahan dan nilai sejarah Hikayat Sarawak itu sendiri? Sejauh manakah kekhuatiran tersebut berasas?

Sesungguhnya, kebenaran tetaplah kebenaran juga. Jika kita membaca karya sejarah tradisional ini persis membaca buku resepi masakan atau majalah hiburan sensasi, mungkin dakwaan tersebut menjadi “benar”. Akan tetapi, sekiranya kita menekuni inti pati Hikayat Sarawak dalam hubungannya dengan hakikat zaman kemaharajalelaan imperialis Barat (termasuklah rejim dinasti Brooke di Sarawak), di samping menggali akar umbi dan menelusuri pemikiran antikolonial yang terselit di sebalik karya ini; malahan apabila dibandingkan Hikayat Sarawak dengan karya sejarah propaganda Brooke, A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908, ditulis oleh dua penulis upahan Brooke iaitu S. Baring-Gould dan C.A. Bampfylde, kita pasti terlihat pancaran pemikiran kesejarahan Muhammad Rakawi yang sangat berharga. Inilah antara legasi yang ditinggalkannya.

Apabila menekuni teks Hikayat Sarawak, bukanlah aspek fakta yang ditekankan. Sebagai karya sejarah tradisional (ditulis oleh intelektual Melayu yang tidak mendapat latihan khas dalam disiplin sejarah ilmiah), aspek ini jelas ketinggalan. Sedangkan, kajian-kajian ilmiah mengenai sejarah Sarawak khasnya, terus diusahakan dan diterbitkan. Justeru, apakah aspek terpenting dan teristimewa yang seharusnya menjadi fokus dalam meneliti teks hikayat ini?

Jawapannya ialah mesej pemikiran dan nilai kesejarahan yang tersirat menerusi Hikayat Sarawak. Aspek ini akan disentuh menerusi pengenalan buku ini.

Sehubungan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan usaha kerdil kita untuk mentransliterasikan hikayat ini merupakan prakarsa perintis. Kita berharap pembaca dapat menilai hasil usaha Muhammad Rakawi lantaran kegigihannya menulis sejarah tanah airnya sendiri, yang terpancar menerusi perspektif dan pemikirannya sebagai anak jati tempatan bukannya melihat sejarah Sarawak dari perspektif kolonial dan corong pemikiran penulis upahan seperti S. Baring-Gould dan C.A. Bampfylde.

Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa mandala dan inti sari pemikiran Muhammad Rakawi dalam Hikayat Sarawak wajar dibezakan dengan A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839-1908 (1909), sebuah hasil karya penulis kolonial Barat.

Weight 0.34 kg
Dimensions 228 × 15.2 × 1.3 cm
Edition

Format

ISBN

9789831004685

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Hikayat Sarawak”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.