Jawi Peranakan di Pulau Pinang: Ekspresi Sebuah Identiti memaparkan 12 bab tentang sejarah dan sumbangsih masyarakat Jawi Peranakan Pulau Pinang dari dahulu hingga sekarang. Apa yang menarik tentang tulisan dalam buku ini adalah percampuran tulisan bercorak akademik dan separa akademik. Tujuan percampuran ini sebenarnya memberi ruang kepada para penulis untuk menjangkau seberapa banyak kumpulan pembaca yang boleh, di samping memberi variasi kepada ruang lingkup penulisan itu sendiri. Dalam erti kata lain, buku ini amat berguna bukan sahaja kepada ahli akademik tetapi juga kepada semua golongan yang berminat untuk lebih mengetahui tentang masyarakat Jawi Peranakan Pulau Pinang.
Walaupun Jawi Peranakan di Pulau Pinang: Ekspresi Sebuah Identiti boleh dikatakan separa akademik, kualiti penulisan masih dipantau bagi memastikan kesahihan data dan keberkesanan penulisan dan penceritaan. Buku ini bermula dengan perkembangan masyarakat Jawi Peranakan dan diikuti dengan sumbangan mereka dalam pembangunan orang Melayu Pulau Pinang khasnya dan Malaysia.
Jawi Peranakan adalah sebuah masyarakat yang sudah sekian lama terbentuk di Pulau Pinang, iaitu pada sekitar tahun 1700. Di Nusantara, masyarakat ini telah terbentuk semenjak abad ke-7, khususnya pada zaman kerajaan Srivijaya. Lebih awal lagi, semenjak Kedah menjadi pelabuhan panting bagi laluan perdagangan antara India dan China, iaitu semenjak abad ke-3 lagi. Sehubungan itu, andaian boleh dibuat bahawa di sinilah tapak awal kewujudan Jawi Paranakan di Tanah Melayu. Pembentukan masyarakat ini berpunca daripada adanya perkahwinan campur antara lelaki Arab, Tamil, Punjabi, Gujerat dan Afghan dengan wanita Melayu tempatan. Jawi Peranakan telah memainkan peranan yang cukup positif dalam perkembangan sejarah tempatan selama lebih dua ratus, dengan mendominasi pelbagai bidang bukan sahaja dari segi keagamaan, kesusasteraan, perniagaan, perdagangan, perkapalan, pendidikan malahan perundangan dan politik.
Jawi Peranakan di Pulau Pinang: Ekspresi Sebuah Identiti sangat menarik untuk dibaca oleh semua lapisan masyarakat kerana ia bukan sahaja membicarakan tentang asal usul pembentukan Jawi Peranakan. tetapi juga membicarakan tentang sumbangan Jawi Peranakan dalam pembangunan masyarakat Melayu Pulau Pinang. Tajuk-tajuk yang dibicarakan bukan sahaja menjadi petunjuk tentang variasi sumbangan Jawi Peranakan di Pulau Pinang, malah ia dapat memberikan kesedaran betapa pentingnya sumbangan tersebut dalam pembentukan jati diri masyarakat Pulau Pinang yang unik dari masyarakat lain di Malaysia hingga ke hari ini.
Kesedaran ini amat panting dalam pembentukan jati diri masyarakat Melayu Pulau Pinang khususnya dan Melayu Malaysia amnya. Jati diri ini amat perlu ditanam dalam diri kita untuk menghadapi dan mengharungi arus glokalisasi dan globalisasi. Hanya melalui nilai jati diri dan semangat cintakan diri dan asal usul kita sahaja yang akan dapat menjadikan kita masyarakat yang lebih kebal dari ancaman anasir-anasir budaya kuning atau budaya luar yang bertentangan dengan pegangan agama dan adat susila masyarakat kita.
Reviews
There are no reviews yet