Kartun dan Kartunis di Malaysia menghimpunkan 10 buah esei yang mengupas pelbagai sudut seni lukis kartun di Malaysia dengan mengambil kira aspek-aspek sejarah, gaya seni, isu, dan pendekatan kartunis. Antara topik yang dibincangkan ialah persoalan identiti dan ketulenan kartun Malaysia, isu-isu yang membatasi dunia kartun dan pengaruh kartun dalam aspek sosiopolitik dan peranannya sebagai media dakwah.
Di samping memfokuskan kepada beberapa orang kartunis penting negara seperti Lat, Rejabhad, Raja Hamzah, dan Zunar, penulis turut menghuraikan pengalamannya mengkaji dan menulis mengenai seni kartun di negara ini. Penulisan-penulisan ini umumnya telah diterbitkan dalam jurnal serta majalah tempatan dan antarabangsa seperti International Journal of Comic Art (IJOCA), Pemikir, Dewan Budaya, dan Gila-Gila. Bagi tujuan penerbitan buku ini, esei-esei ini telah dikemas kini dan diiringi dengan lebih banyak ilustrasi berkaitan.
Penulisan-penulisan ini merupakan hasil penelitian penulis terhadap dunia kartun tempatan yang kini semakin mendapat perhatian khalayak, bukan sahaja daripada aspek jenaka malahan dari segi peranannya sebagai senjata politik dan budaya. Alaf baharu telah menyaksikan kewujudan gaya dan media baharu yang telah memperluaskan peranan kartun dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap perkembangan sosiobudaya secara umumnya.
Di samping itu, kecenderungan terhadap cabang seni ini juga semakin berkembang dengan penghasilan penyelidikan pada peringkat sarjana dan kedoktoran di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan. Apabila membaca Kartun dan Kartunis di Malaysia, kita akan dapat memahami yang dunia kartun ini sebenarnya memberi impak tersendiri dalam aliran sejarah dan ketamadunan sejagat. Kartun bukan hanya setakat untuk berlelucon tanpa arah, tetapi kartun juga mampu mengubah landskap sosiobudaya dan sosiopolitik serantau. Malah, kartun juga turut menjadi medium dakwah yang berkesan yang disampaikan kepada khalayak.
Reviews
There are no reviews yet