Kompetensi Kewarganegaraan dalam Kerangka Negara Demokrasi merupakan hasil penelitian yang komprehensif terhadap ciri-ciri tingkah laku rakyat yang diperlukan oleh Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dalam politik dan pentadbiran negara. Dua konsep yang sering menjadi perdebatan dalam kalangan ahli akademik adalah ‘kenegaraan’ dan ‘kewarganegaraan’. Buku ini telah memuatkan satu bab khas membincangkan kedua-dua konsep ini agar dapat difahami elemen yang bertindih dan juga aspek yang membezakannya dan sebagai sebuah negara demokrasi yang didiami oleh rakyat pelbagai etnik, Malaysia memerlukan keunikan tersendiri dalam mengurus amalan demokrasi dalam urusan kehidupan.
Istilah kewarganegaraan boleh dikaitkan dengan kesetiaan semangat nasionalisme yang menggambarkan kepatuhan seseorang individu terhadap negaranya. Kewarganegaraan adalah gambaran pemikiran mengenai perhubungan seseorang dengan negaranya. Selain itu, kewarganegaraan merupakan adunan di antara tanggungjawab memenuhi kehendak sosial, penyelesaian politik secara berkompromi dengan mengambil kira latar sejarah atau situasi ekonomi semasa. Hal ini menunjukkan, hubungan hak individu dengan komuniti politik yang berbentuk timbal balik, telah mewujudkan proses sosial dan politik yang lebih kompleks.
Maksud pendidikan kewarganegaraan adalah bidang yang meliputi cara-cara melatih seorang warganegara supaya boleh memberi sumbangan yang positif serta membangun, kepada bangsa dan negaranya. Pendidikan Kewarganegaraan boleh didefinisikan sebagai bentuk kajian yang tersirat dan berterusan berdasarkan konsep dan nilai-nilai yang diguna pakai dalam amalan demokrasi dan sistem perundangan. Pendidikan kewarganegaraan melibatkan perkembangan kemahiran untuk membuat keputusan mengenai isu semasa dan kepentingan awam.
Justeru, Malaysia memerlukan rakyat yang berilmu pengetahuan, memiliki kemahiran sosial, memiliki sikap yang positif, proaktif, dan bijaksana dalam perundingan tuntutan serta peka kepada perubahan persekitaran global. Oleh itu, buku ini mengupas beberapa model kompetensi utama yang menjadi asas kepada pembinaan warga yang kompeten termasuk amalan di Malaysia dan juga di Eropah. Kerangka model kompetensi warganegara yang dikemukakan oleh para sarjana ini menjadi acuan kepada penelitian untuk mengenai pasti tahap kompetensi warga Malaysia. Pembinaan instrumen untuk mengukur kompetensi kewarganegaraan juga turut dikupas dalam buku ini bagi membolehkan data yang empirikal dapat dijana.
Seterusnya, peranan Pendidikan Sejarah sebagai mata pelajaran dalam kurikulum pada peringkat sekolah yang memuatkan pelbagal iimu dan kemahiran untuk peningkatan kompetensi kewarganegaan turut dibincangkan secara terperinci. Atas cakupan yang sebegini, maka buku ini amat sesuai dijadikan bacaan dan rujukan kepada seluruh warga Malaysia dan menjadi asas dalam penggubalan kurikulum mata pelajaran Sejarah dan Sivik Kementerian Pendidikan Malaysia serta juga boleh dijadikan asas rujukan kepada pembinaan modul baru untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Kompetensi Kewarganegaraan dalam Kerangka Negara Demokrasi juga sesuai digunakan di institusi pengajian tinggi dan pelbagai lapisan ahli akademik kerana membangunkan Negara Malaysia memerlukan rakyat yang memiliki ciri-ciri warga yang kompeten daripada pelbagai aspek bersesuaian dengan kerangka sebuah negara demokrasi.
Reviews
There are no reviews yet