Komrad Asi (Rejimen 10) dalam Denyut Nihilisme Sejarah mengisahkan tentang sosok Asi, seorang kanak-kanak berketurunan India dari sebuah estet milik penjajah yang pernah terlibat sebagai penghantar surat rahsia antara aktivis bawah tanah PKM semasa darurat antara 1948-1950. Pada usia 10 tahun, dia dikehendaki oleh pihak penjajah kerana kegiatannya yang dianggap subversif. Pada suatu petang, rumahnya telah dikepung dan digeledah. Ayahnya ditangkap dan diseksa. Kemudian, dia dikehendaki menyerah diri. Menyedari dia dikehendaki oleh askar British, dia telah melarikan diri. Sejak petang itu, dia meninggalkan rumah dan tidak lagi ke sekolah. Asi menjadi antara individu yang diburu dan berada di hutan sebagai gerila selama 39 tahun.
Komrad Asi bukanlah seorang wira daripada kelas bangsawan istana atau pandeta yang layak dimuliakan dalam naratif sejarah rasmi. Beliau ialah watak tunggal daripada kelas buruh kerahan atau kuli-kuli estet yang tidak dapat diklon dalam sejarah. Beliau telah bergerila di hutan melawan kolonial di saat usia yang paling muda berbanding semua perajurit PKM. Tentang perjuangannya, beliau tidak pernah mendapat restu keluarga atau masyarakat sebangsanya untuk terjun menjadi gerila.
Dari sebuah ladang getah di Sungai Siput, dia menyeberang ke hutan, kemudian telah menyertai Pasukan India pimpinan Kaatu Perumal di kawasan Sungai Siput. Oleh kerana pergolakan yang terjadi dalam pasukan serta kesulitan mendapat makanan semasa Rancangan Briggs pasukan ini telah dilumpuhkan oleh askar-askar Gurkha. Ramai anggotanya ditangkap dan dibunuh dalam satu serang hendap. Pasukan ini telah dibubar pada tahun 1957. Asi yang terselamat daripada sasaran peluru askar Gurkha itu kemudiannya berpindah ke sempadan dan menyertai Regimen Ke-10 pimpinan Abdullah C.D. hinggalah Perjanjian Damai Hatyai 1989.
Kejayaan pihak kolonial British menghancurkan Pasukan India dan aktivis-aktivis trade union selepas Darurat pada 18 Jun 1948 telah memberi kejayaan besar kepada kolonial British memulihkan industri getah yang menjadi punca ekonomi Great Britain selepas tewas dalam Perang Dunia Ke-2. Selepas gagalnya Rundingan Baling 1955 dan Malaya merdeka pada tahun 1957, Asi terus berada di hutan sebagai gerila meneruskan keyakinannya melawan neokolonialisme yang dikawal secara sistematik oleh British Military Administration telah menempuh pertempuran demi pertempuran sebagai komunis Tamil terakhir Malaya.
Reviews
There are no reviews yet