Membaca Mitos dan Legenda Kadazandusun menonjolkan persepsi masa silam orang Kadazandusun, bahawa nenek moyang mereka tidak lain dan tidak bukan ialah manusia asal di bumi Sabah. Daripada perspektif naratif lisan (mitos dan legenda) orang Kadazandusun bukan berasal dari tempat lain, sebagaimana yang dinyatakan oleh saintis sosial dan sejarawan. Kinoringan dan isterinya telah mencipta alam semesta di Sabah dengan tanda-tanda alam seperti Gunung Kinabalu sebagai pusat bumi, dan Pulau Mantanani untuk mengimbangi bumi yang tidak cukup berat. Pasangan tuhan mereka telah mencipta manusia pertama di bumi Sabah dan bukannya di tempat lain. Semua legenda penghijrahan Kadazandusun didapati turut menonjolkan persepsi nenek moyang Kadazandusun, bahawa semua suku dan subsuku Kadazandusun yang ada di Sabah pada masa kini, sama ada berasal dari tempat yang dikenali sebagai Nunuk Ragang, Kampung Inai, Tuaran atau dari Kuala Penyu (Dusun Tatana).
Terdapat dua teori besar yang dicapai oleh sejarawan dan saintis sosial berkenaan asal usul orang Kadazandusun. Pertama, teori penghijrahan rumpun Indo-Malayan dari Selatan China ke negara-negara di Asia Tenggara. Dalam kajian mereka, saintis sosial dan ahli sejarah mengambil kira aspek fizikal, bahasa pertuturan, kumpulan darah dan bahan hasil kesenian yang dicipta oleh orang Kadazandusun. Para pengkaji hanya memberikan perbezaan dari segi jurang tahun yang amat besar berkenaan penghijrahan Indo-Malayan, iaitu dari tahun 1,000 S.M. hinggalah tahun 20,000 S.M. Kedua, asal usul orang Kadazandusun dikaitkan dengan penghijrahan orang Mongol, orang Cina, atau orang Kachin dan orang Annam dari Myanmar.
Membaca Mitos dan Legenda Kadazandusun juga mendapati bahawa sistem kepercayaan orang Kadazandusun pada masa silam bukan bercirikan paganisme atau animisme tetapi politeisme. Sebelum ini, pengkaji sistem kepercayaan Kadazandusun melabelkan nenek moyang Kadazandusun sebagai pagan atau animis.
Berdasarkan interpretasi daripada teks mitos didapati orang Kadazandusun masa silam telah mempercayai tentang dewa-dewi yang berhierarki. Dengan kata lain, nenek moyang orang Kadazandusun bukannya tidak beragama (pagan), atau hanya percaya pada semangat (animis) semata-mata. Sistem kepercayaan politeisme Kadazandusun seperti ini mempunyai ciri-ciri yang mirip kepada sistem kepercayaan politeisme bangsa bertamadun lain seperti orang Yunani, Cina dan Hindu.
Dengan itu, boleh dikatakan orang Kadazandusun juga merupakan satu rumpun bertamadun, yang mempunyai sistem kepercayaan politeisme yang tersendiri.
Reviews
There are no reviews yet