Pendidikan Sejarah: Pemikiran, Pemahaman dan Empati merupakan suatu usaha untuk mengetengahkan unsur penting yang perlu dikuasai pendidik dan warga pendidikan sejarah. Penguasaan terhadap ketiga-tiga unsur ini bertujuan untuk membantu meningkatkan minat dan membetulkan persepsi atau tanggapan salah masyarakat terhadap sejarah. Majoriti masyarakat mengetahui sejarah hanyalah tentang himpunan peristiwa yang telah berlaku dan orang yang telah meninggal dunia. Manakala pengajarannya hanya bergantung pada sebuah buku teks, dan pembelajarannya pula cukup dengan hanya menghafal tarikh, nama tokoh, dan tempat sesuatu kejadian. Falasi tersebut membuatkan masyarakat jauh dan menjauhkan diri daripada mempelajari sejarah.
Justeru, buku ini menjelaskan hakikat bahawa sejarah yang bersifat abstrak itu sebenarnya adalah dinamik lagi futuristik. Hal ini kerana mempelajari sejarah sebenarnya memerlukan ketiga-tiga domain kognitif, afektif dan psikomotor, supaya sesuatu peristiwa atau tindakan boleh diketahui dengan lebih lanjut, difahami dengan lebih mendalam, dan difikirkan sebab-musababnya. Dengan itu, seseorang dapat menghayati dan berempati dengan tokoh yang terlibat.
Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hakikat bahawa mempelajari ilmu sejarah memerlukan kecenderungan dan kemahiran untuk menyiasat, menyoal, menaakul serta mentafsir sesuatu peristiwa atau tindakan seseorang tokoh. Kesemua keperluan yang dinyatakan bertujuan untuk membolehkan seseorang memahami sejarah dengan lebih berhemah, mengambil pengajaran dan iktibar daripada pengalaman lampau. Bagi mencapai matlamat ini, penulis menggarap ketiga-tiga unsur sejarah yang diketengahkan oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa, sebagai pengisian kepada Pendidikan Abad ke-21 yang memerlukan kearifan berfikir.
Reviews
There are no reviews yet