Perintah Segala Raja-Raja (Majlis Aceh) adalah transliterasi daripada manuskrip Majlis Aceh yang asal bertajuk Ma Bayyana al-Salatin yang bermaksud Perintah Segala Raja-Raja. Manuskrip ini telah disalin secara sempurna oleh Isma’il bapa Ahmad sekitar tahun 1231 H/1815 M. Manuskrip Perintah Segala Raja-Raja merupakan satu catatan penting yang membincangkan etika raja dan pengawai, salasiah raja-raja dan senarai pegawai kerajaan dalam pemerintahan kerajaan Aceh Darussalam. Selain itu, manuskrip ini turut merangkumi adat istiadat dan undang-undang perdagangan yang dilaksanakan oleh kerajaan Aceh. Segala adat istiadat diraja dan peraturan pemerintahan yang dijalankan memperlihat wujudnya percampuran adat dan Islam.
Manuskrip ini juga menunjukkan betapa pengaruh Islam amat menyerlah termasuklah dalam sistem perdagangan. Apa yang pasti Perintah Segala Raja-Raja satu gambaran penting proses perkembangan dan pembangunan pemerintahan serta ketamadunan masyarakat Melayu Islam di Asia Tenggara khususnya kerajaan Melayu Aceh Darussalam. Buku ini sesuai digunakan sebagai rujukan dan bahan bacaan oleh pelajar dan pensyarah serta pembaca umum yang ingin mengetahui dan mendalami proses perkembangan pemerintahan dan ketamadunan masyarakat dalam kerajaan Melayu Islam di Asia Tenggara.
Manuskrip ini dinamakan sebagai Majellis Ache (Majlis Aceh) oleh Cf. T. Braddell (1850: 26) ketika beliau menterjemahkan sebahagian daripada manuskrip ini. Drewes, G.W.J. dan Voorhoeve, P. (1958: 14) pula menamakan manuskrip ini sebagai Adat Aceh. Namun penulis asal manuskrip, iaitu Isma’il bapa Ahmad, menamakan manuskrip ini dengan tajuk Perintah Segala Raja-raja.
Kemungkinan besar manuskrip ini ditulis dari tahun 601 H (1204 M) secara beransur-ansur hingga ke tahun 1231H (1815 M) dan sedikit kemasan selepas tahun tersebut. Salinan manuskrip ini telah difakskan atas permintaan pihak London dari Pejabat Perpustakaan di India pada 21 Mac 1919. Urusan penghantaran menyebabkan manuskrip berbentuk lebih kecil daripada asal, iaitu dua halaman asal menjadi satu halaman. Satu salinan diberikan kepada perpustakaan Universiti Edinburgh (Ricklefs, M.C. dan Voorhoeve, P. 1977: 121). Terdapat juga tiga salinan asal manuskrip ini di Universiti Leiden, Netherlands.
Manuskrip ini secara umumnya merupakan peraturan kerajaan Aceh yang ditulis secara bersungguh-sungguh atas arahan sultan Aceh. Manuskrip ini dibahagikan kepada lima bahagian utama, iaitu: (i) Menghuraikan secara ringkas sejarah nabi Muhammad sebelum membicarakan secara lengkap kod etika atau peraturan memerintah dan bidang tugas raja dan pegawai pemerintah; (ii) Perbincangan salasilah raja-raja Aceh dan sejarah lengkap pemerintah yang pernah memerintah Aceh Dar al-Salam secara urutan, bermula sejak tahun 601 H (1204 M) ketika raja pertama, Sultan Johan Shah mengislamkan orang Aceh sehingga tahun 1231 H (1815 M) ketika Sultan Sharif Sayf al-‘Alam turun daripada takhtanya; (iii) Istiadat dan atur cara raja termasuklah prosedur dan arahan dalam majlis upacara raja-raja dan perayaan; (iv) Senarai pegawai dalam kerajaan Aceh; dan (v) Hal ehwal undang-undang perdagangan dan pelabuhan Aceh Dar al-Salam termasuk cukai dan bayaran yang dikenakan.
Manuskrip ini ditulis dengan tangan dalam tulisan Jawi dan mengandungi 176 halaman. Secara umumnya, manuskrip ini terdiri daripada dua lajur. Setiap lajur mengandungi maksimum 11 baris dengan sembilan sentimeter bagi setiap baris. Pengkaji mendapati beberapa maklumat yang penting lagi bermanfaat yang boleh dilihat dalam dua aspek. Aspek pertama ialah ejaan dan kehilangan huruf atau titik dan aspek kedua ialah penggunaan frasa dan nombor Arab. Terdapat huruf yang tidak mempunyai titik, tidak mempunyai sebahagian titik, tertukar huruf dan tertambah huruf dalam perkataan dalam manuskrip.
Reviews
There are no reviews yet