Pulo Ka Satu: Warisan Sejarah Awal Persuratan Melayu Pulau Pinang terhasil daripada renungan bertahun-tahun terhadap pelbagai sumber persuratan Melayu di Pulau Pinang yang amat wajar diketengahkan semula kepada masyarakat, masyarakat Pulau Pinang khususnya, terhadap peristiwa-peristiwa lalu yang semakin rapuh dalam ingatan dan lipatan sejarah. Hasil persuratan silam adalah juga dokumen sosio-budaya masyarakat yang berperanan sebagai sumber sejarah tempatan (local history) bagi masyarakat di Pulau Pinang termasuk juga yang bersumber daripada rakaman sejarah lisan (oral history). Ada legenda yang menuntut pengertian, ada suara pengarang yang melaungkan, ada juga sisip-sisipan syair, pantun dan seloka yang mengeratkan perhubungan. Ada nostalgia yang mengimbau, ada kebenaran yang menajam, begitu jua, ada makna sejarah yang memperkasakan identiti dan mengukuhkan jiwa bangsa.
Penulisan buku ini mengambil sebuah cerita lisan masyarakat lampau Pulau Pinang tentang “Pulo Ka Satu” sebagai judulnya bagi mengingati semula suatu nama yang dipercayai paling awal pemah diberikan oleh masyarakat Melayu kepada Pulau Pinang. Nama “Pulau Pinang” hanya muncul kemudiannya yang banyak dirakam oleh pengembara-pengembara Eropah dengan panggilan “Pulo Pinoam”, “Pulo Pinaor”, “Pulo Panying” atau “Pulo Pinang”. Selepas kedatangan Francis Light, pulau ini dikenal dengan berbagai-bagai variasi ejaannya seperti “Poolo Peenang”, “Poelo Peenang”, “Pulo Penang”, atau pun sebagai “Betel-Nut Island” atau “Pinang” atau akhirnya sebagai “Penang” sahaja. Namun “Pulo Ka Satu” (dengan maksud Pulau Ke Satu atau Pulau Yang Sebuah) adalah sebuah nama yang unik dan ada sejarahnya yang tersendiri.
Berkapitan dengan judul “Pulo Ka Satu” itu, buku ini menjurus kepada sat perencanaan untuk membincangkan “Warisan Sejarah Awal Persuratan Melayu Pulau Pinang”, yang bermula seawal kemunculan Legenda Nakhoda Ragam sehinggalah permulaan budaya penulisan manuskrip dan berkembang ke zaman percetakan dan penerbitan sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dalam konteks ini, maksud sejarah awal persuratan bukanlah suatu bentangan kronologi tahun dan peristiwa sebaliknya lebih memperlihatkan perkembangan hasil penulisan dan pemikiran-pemikiran yang pemah muncul daripada pengarang-pengarang Pulau Pinang yang awal.
Dengan kata-kata lain, segala hasil persuratan akan dijadikan sebagai sumber penting dalam menelusuri sejarah awal Pulau Pinang dan perkembangan sosio-budaya masyarakatnya. Segala hasil persuratan adalah harta intelek negara dan sewajarnyalah dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat dan negara.
Memeriksa semula cerita dan peristiwa silam bukan bermaksud untuk membangkitkan nostalgia yang telah berabad-abad berlalu. Penerokaan sumber dan penilaian terhadapnya adalah proses yang sentiasa berterusan dari masa ke semasa agar kebenaran akan sentiasa berada pada tempat yang sepatutnya. Dalam perjalanan sejarahnya, masyarakat Pulau Pinang telah meninggalkan banyak maklumat berkaitan dengan tradisi intelektual, persuratan, kearifan, malah juga membuka ruang perbincangan terhadap isu-isu perpaduan, transformasi sosial, ketahanan budaya dan sebagainya. Semuanya menuntut kekuatan pemahaman dan keterbukaan minda dalam menanganinya, agar sebuah warisan sejarah persuratan bukan hanya tentang sejarah dan persuratan, tetapi juga menyangkut soal-soal pengukuhan nilai, akhlak dan morai bangsa serta perancangan sosio-budaya masyarakat Pulau Pinang pada masa hadapan.
Reviews
There are no reviews yet