Revolusi Perancis, 1789-1799 menjelaskan keadaan sebenar yang telah mendorong kepada pencetusan revolusi itu dan sejauh mana revolusi tersebut telah membawa perubahan besar kepada sifat masyarakat yang melaluinya, yakni masyarakat Eropah umumnya, dan Perancis khususnya. Dalam buku ini akan dijelaskan bagaimana masyarakat Perancis daripada pelbagai kelompok telah bangkit pada tahun 1789 untuk memperbetul kelemahan sistem politik dan sosial sedia ada, dan sejauh mana hasrat perubahan itu benar-benar telah dapat dikecapi melalui peristiwa berdarah 1789-1799. Revolusi Perancis yang tercetus di benua Eropah Barat pada hujung kurun ke-18 merupakan satu peristiwa yang amat penting dalam sejarah. Revolusi itu telah dikaitkan oleh para pengkaji dengan perkembangan sejarah manusia bukan sahaja di Eropah Barat, bahkan di seluruh dunia.
Ahli sejarah Barat umumnya menganggap revolusi tersebut sebagai satu titik tolak agung kepada perubahan masyarakat dunia dari zaman tradisional kepada moden, dari zaman pemerintahan raja “berkuasa mutlak” dan kuku besi kepada liberalisme, persamaan dan demokrasi. Mereka menjelaskan kesan atau gelodak revolusi bukan sahaja terpaksa dihadapi oleh dunia Eropah, bahkan turut dirasai oleh seluruh dunia yang menerima kesan daripada hubungannya dengan Eropah. Negara-negara bukan Eropah misalnya dikatakan mencedok ideologi-ideologi politik moden seperti demokrasi, liberalisme, sosialisme dan komunisme kesan daripada revolusi-revolusi yang tercetus di Eropah. Dalam konteks ini, kepentingan Revolusi Perancis dan kesannya terhadap perubahan itu jelas terserlah melalui fokus dan perbincangan yang begitu banyak telah dihasilkan yang menyentuh pelbagai aspek, tema dan isu.
Walaupun banyak tulisan telah dihasilkan yang membincangkan sejarah revolusi itu khususnya di Barat, namun setakat ini masih belum ada lagi tulisan dihasilkan oleh sarjana tempatan yang membincangkan secara khusus dan menyeluruh tentang sejarah Revolusi 1789, apatah lagi dalam bahasa pengantarnya bahasa Melayu. Akibat kekurangan tersebut, maka sejarah Revolusi 1789 secara umumnya masih belum diketahui oleh masyarakat umum di Malaysia. Pengaruh pemikiran Eurosentrik yang menyanjung revolusi melebihi realitinya juga begitu kuat menguasai pemikiran pengkaji tempatan. Masyarakat mengagung-agungkan sebuah revolusi Barat yang dianggap simbol perjuangan demokrasi dan kedaulatan rakyat tanpa memahami darah dan air mata yang ditumpahkan melalui korban dan penindasan meluas terhadap rakyat bawahan. Masyarakat tempatan yang kagum dengan mitosmitos revolusi itu tidak mampu melihat realiti sebenar sejarah Revolusi Perancis yang sebenarnya gagal. Tulisan ini bertujuan untuk memenuhi beberapa kelompongan yang wujud dalam pentafsiran tentang sejarah Revolusi Perancis 1789.
Dengan mengambil kira wujudnya pelbagai perspektif dan tafsiran berbeza tentang sejarah Revolusi Perancis 1789, tulisan ini cuba meneliti dan memaparkan semula sejarah revolusi itu dengan melihatnya dari pelbagai sudut dan aliran secara seimbang, daripada Ortodoks-Marxis hingga Revisionis dan pasca-Revisionis, bertujuan untuk menjelaskan sifat dan hala tuju sebenar revolusi dan bagaimana hal ini menentukan pentafsiran yang diberikan terhadapnya. Jelaslah bahawa dalam usaha memahami peristiwa revolusi yang amat kompleks itu, kita tidak boleh memahaminya hanya dari satu perspektif lebih-lebih lagi berpegang pada tafsiran sejarah Ortodoks-Marxis yang begitu berpengaruh tetapi agak rigid. Penjelasan pengkaji Ortodoks-Marxis yang hanya mengaitkan pencetusan revolusi dengan isu pertentangan antara kelas borjuis dengan bangsawan pada hari ini dianggap tidak memadai, bahkan telah dikritik hebat sejak pertengahan kurun ke-20. Namun begitu, pendekatan baharu yang dibawa oleh tafsiran sejarah dari bawah (history from below), Revisionis mahupun pasca-Revisionis juga bukanlah tidak ada titik kelemahannya. Yang lebih penting, setiap aliran itu telah memberikan sumbangan dari pelbagai sudut pandangan dan memperkaya lagi kefahaman tentang sifat-sifat kompleks dan percanggahan rumit yang terdapat dalam revolusi.
Reviews
There are no reviews yet