Rukunegara – Selayang Pandang / A Brief Introduction tidak bermaksud untuk menjadi suatu sejarah atau tafsiran mengenai Rukunegara yang berwibawa. Ia adalah rangkaian renungan di samping menganyam naratif peristiwa dan musyawarah yang terjadi dalam pembentukan Rukunegara, sebaris prinsip kebangsaan kita. Ditulis oleh Eddin Khoo, dan kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Melayu dan diterbitkan dalam format dwibahasa, buku kecil ini semacam sebuah catatan ringkas yang mahu mengingatkan kita kembali, kepada asas pembentukan ranah ini, berdiri pada tiang ‘kepelbagaian’.
Selepas 13 Mei, salah satu usaha yang dilakukan oleh Tun Razak adalah dengan menubuhkan Jabatan Perpaduan Nasional. Dengan terbangunnya jabatan ini maka lahirlah dua badan lain iaitu Majlis Perundingan Negara dan Majlis Muhibah Negara. Tidak lama kemudian, kedua-dua badan ini disatukan menjadi Majlis Perpaduan Negara.
Asal wujud usaha pembangunan ini adalah kerana adanya kesedaran bahawa bangsa ini masih belum memiliki ideologi kebangsaan yang terkandung idea norma kesusilaan serta terselit nilai-nilai dan kod etika yang dapat dikongsi bersama. Menyedari hakikat ini—sekali lagi melalui perundingan dan kesepakatan—maka Majlis Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara diberi tanggungjawab untuk menyusun Prinsip-Prinsip Kebangsaan yang dikenali sebagai Rukunegara.
Rukunegara yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada tanggal 31 Ogos 1970 mengandungi dua bahagian. Yang pertama adalah mukadimahnya yang merangkumi cita-cita bangsa, dan yang kedua adalah lima prinsip untuk memimpin ke arah tercapainya cita-cita tersebut. Meskipun Rukunegara terus mendiami tempat utama dan khas dalam kehidupan bangsa ini, ianya tidak memiliki status perlembagaan atau perundangan. Sebaliknya, Rukunegara mengangkat bangsa ini ke ranah bawah sedar dan niskala.
Setelah diisytiharkan pada tahun 1970, melalui satu siri ucapan dan tulisan, salah seorang perancang utama Rukunegara iaitu Ghazali Shafie sendiri cuba untuk menerangkan dengan lebih lanjut sifat dan penerapan praktis Rukunegara. “Ciri-ciri utama Rukunegara,” tulisnya dalam karangan berjudul Rakyat Malaysia Baru, “adalah munculnya suatu sikap baru berdasarkan pemikiran sedar yang menekankan struktur hukum dan ketertiban yang tetap rasional, sekalipun niskala.” Dalam ucapan lain beliau melanjutkan bahawa, “Istilah Rukunegara mungkin lebih difahami dan dihargai oleh mereka yang fasih berbahasa Malaysia. Istilah ini kadangkala diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai National Ideology, namun sudah tentunya terjemahan ini tidak begitu tepat. Rukunegara perlu dianggap sebagai Tiang Seri Bangsa. Bangsa ini perlu dibangunkan teguh di atas tiang seri Rukunegara dan ianya wajib ditegakkan dan dipertahankan oleh semua. Tiang-tiang seri ini tidak boleh dicabul, kesemuanya adalah tunjang kepada keseimbangan dan struktur bangsa.”
Ghazali sedar bahawa walaupun cita-cita dan prinsip-prinsip Rukunegara adalah tinggi dan tidak tergoyahkan, penerapan praktisnya masih lagi kabur dan sukar difahami. Dalam pidato demi pidato, beliau cuba untuk memperkirakan kepentingan ‘semangat’ prinsip-prinsip kebangsaan ini kepada bentuk penyusunan semula lain yang lebih praktikal dan berbentuk pentadbiran.
Namun, sebagai selonggok cita-cita dan prinsip, pengaruhnya diharapkan dapat lebih bersifat memujuk dan bukannya perlu dilaksanakan. Walaupun masih lagi dijunjung sebagai Tiang Seri Bangsa, Rukunegara nampaknya berhadapan dengan nasib menjadi sebuah sistem kepercayaan bersama yang mengabdikan diri kepada ingatan, bukannya renungan.
Reviews
There are no reviews yet