Rumpun Melayu Australia Barat

Penulisan bersama WAN HASHIM WAN TEH dan ABDUL HALIM ALI

Penerbit UKM (Cetakan Pertama, 1999)
111 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

 


PENAFIAN: Judul ini menepati keadaan NOS, atau “naskhah baru stok lama”. Justeru, sesetengah naskhah berkemungkinan mempunyai kesan cacat seumpama halaman bernoda, sumbing, melengkung, lusuh, dan sebagainya. Pelanggan dinasihatkan agar meneliti gambar tambahan yang disediakan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keadaan naskhah sebelum membuat pembelian.

RM30.00

In stock

Rumpun Melayu Australia Barat adalah hasil penelitian rumpun Melayu yang berasal dari Pulau Cocos yang kini menetap di Perth, Katanning, Geraldton dan South Hedland serta sekelompok bekas penyelam mutiara yang kini tinggal menetap di Perth dan South Hedland. Selain latar belakang penghijrahan mereka ke Pulau Cocos dan Australia Barat, akan dibincangkan juga tradisi kehidupan ekonomi dan sosio budaya mereka semasa di Pulau Cocos; sejarah penghijrahan awal nenek-moyang mereka dari kepulauan Melayu-Indonesia ke Pulau Cocos, serta kehidupan ekonomi dan sosiobudaya di penempatan baru tanah besar Australia sebagai kelompok minoriti dalam sekitaran sosiobudaya masyarakat dominan kulit putih Australia. Sudah tentunya penghijrahan sesuatu kelompok migran ke kawasan baru akan melalui proses adaptasi atau penyesuaian dari pelbagai sudut. Perkara ini juga akan diteliti bagi tujuan mengenalpasti unsur-unsur konflik dan kompromi di antara kelompok migran ini dengan sekitaran ekonomi, sosial dan budaya yang baru.

Matlamat utama buku ini ialah sekadar mendokumentasikan kehidupan ekonomi, sosial, dan budaya serta latar sejarah sekelompok rumpun Melayu yang kini berada di luar kawasan Dunia Melayu dengan status mereka sebagai golongan minoriti. Apa yang cuba dicari kepastian ialah identiti budaya mereka sebagai kelompok atau rumpun Melayu serta bagaimana identiti ini dikekalkan, dan dalam keadaan tertentu ditonjolkan. Atau apakah ciri-ciri Melayu yang asal ini sedang mengalami penghakisan?

Dalam mencari jawapan kepada persoalan di atas, masyarakat Melayu induk di Malaysia dijadikan sebagai model rujukan. Pada akhirnya, secara tersurat atau tersirat akan dibuat perbandingan di antara rumpun Melayu yang dikaji dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Rumpun Melayu yang kini bermastautin di beberapa daerah di Australia Barat berhijrah dari Pulau Cocos dan Pulau Krismas serta juga dari Malaysia dan Singapura. Bagi mereka yang berpindah dari Pulau Cocos, nenek moyang mereka adalah kelompok yang telah bermigrasi dari pulau Borneo, Tanah Melayu, Singapura, Jawa dan kepulauan lain di Indonesia, serta dari Papua-New Guinea dan Afrika Selatan, dibawa ke Pulau Cocos pada 1827 oleh seorang peladang dan juga peniaga British dari Scotland untuk mencari kehidupan yang lebih baik di luar tempat asal mereka. Penghijrahan mereka ke Australia Barat mulai tahun 1975 adalah kerana wujudnya faktor penolak di Pulau Cocos, iaitu masalah kepadatan penduduk dan tidak adanya jaminan hidup untuk generasi akan datang.

Bagi mereka dari Pulau Krismas, perpindahan mereka ke Australia Barat berpunca dari penutupan industri fosfat yang menjadi punca pencarian utama bagi pekerja dari Malaysia, Singapura serta Pulau Cocos. Dua kelompok Melayu lain yang terdapat di Australia Barat ialah kumpulan penyelam kepah mutiara, dan kumpulan Melayu dari Malaysia dan Singapura yang berhijrah sejak beberapa tahun yang lalu untuk membuka perniagaan atau bekerja tetap. Kumpulan keempat ini tidak dapat dibincangkan kerana tidak sempat. Gabungan di antara faktor ekonomi dan politik telah membuka peluang untuk penduduk Pulau Cocos dan Pulau Krismas berhijrah ke benua Australia yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik walaupun perasaan ketidaktentuan dan ketidakpastian sentiasa menyelubungi bakal-bakal migran pada waktu itu. Untuk menyelesaikan masalah ketidaktentuan dan ketidakpastian masa depan mereka, pada 1974-75 sekelompok kecil penduduk Pulau Cocos dan Krismas yang diketuai oleh pemimpin mereka, Dubney bin Bohin telah membuat lawatan ke beberapa kota besar dan kecil seperti Perth, Katanning dan Geraldton bagi mencari kepastian tentang kesesuaian kawasan-kawasan yang bakal dihuni oleh migran ‘orang pulu’ (sebutan mengikut dialek Cocos) ini.

Setelah diyakini bahawa kawasan-kawasan ini mampu memenuhi keperluan asas untuk mencari rezeki dan peluang pekerjaan, maka perkiraan-perkiraan lain yang agak sekunder dirasakan tidak perlu diambil kira. Pada tahun 1975, bermulalah satu exodus ratusan keluarga dari Pulau Cocos ke penempatan baru di beberapa tempat seperti Perth, Katanning, Geraldton, South Hedland dan beberapa penempatan yang lebih kecil. Sekelompok lagi migran yang kini diklasifikasikan sebagai pemastautin tetap atau warganegara di Australia Barat ialah mereka yang dari Pulau Krismas. Sebahagian kecil penduduk Pulau Krismas asalnya dari Pulau Cocos manakala majoritinya berasal dari Malaysia dan Singapura. Australia Barat juga terkenal di seluruh dunia sebagai kawasan yang mampu menghasilkan mutiara yang tinggi nilainya. Industri pengeluaran mutiara berpusat di Broome, sebuah bandar di utara Australia Barat yang kini sedang dimajukan sebagai kawasan tarikan pelancongan. Sebahagian penyelam mutiara di Broome terdiri daripada orang Melayu yang berasal dari Malaysia dan Singapura.

Senarai peta dan gambar
Prakata

1. Pendahuluan
2. Latar Belakang Orang Melayu Pulau Cocos
3. Kegiatan Ekonomi
4. Kepercayaan dan Agama
5. Adat Resam, Kesenian dan Kegiatan Masa Senggang
6. Migrasi dan Penyesuaian di Katanning
7. Penyelam Mutiara
8. Kesimpulan

Rujukan
Indeks

Weight0.287 kg
Dimensions25.4 × 17.8 × 0.8 cm
Author(s)

,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.