Sejarah China Moden membincangkan sejarah pembinaan negara China Moden yang menghadapi pelbagai cabaran sejak kekalahan pada Perang Candu. Kuasa asing khususnya British meminta dan mendesak China menerima tuntutan mereka untuk membuka China bukan sahaja untuk pasaran bebas tetapi juga hubungan diplomatik dan kegiatan mubaligh Kristian. Kelemahan pemerintahan China memburukkan keadaan kerana tidak mampu menangani bukan sahaja masalah cabaran kuasa asing tetapi juga masalah dalaman. Kebangkitan Taiping merupakan ancaman terbesar bagi pemerintahan Dinasti Ch’ing. Kelemahan China ini menyedarkan pemimpin-pemimpinnya tentang perlunya pemulihan China dengan pelbagai cara. Ada pihak menggunakan usaha pembaharuan dalaman tidak kurang juga menuntut perubahan drastik seperti dilakukan oleh Dr. Sun Yat-sen. Namun demikian pemimpin-pemimpin China menghadapi cabaran besar untuk memulihkan kedaulatan dan masalah rakyat. Pemimpin China silih berganti sehinggalah membawa kepada kemunculan ideologi komunis yang berjaya sehingga ke hari ini.
China boleh dikaitkan dengan tamadun, budaya dan sejarah. Keadaan geografinya yang pelbagai dengan bahagian barat dipagari oleh banjaran gunung dan gurun, utaranya diliputi oleh kawasan bersalji Siberia, selatan pula dipenuhi dengan hutan tebal tropika dan timur dirintangi dengan lautan luas, seolah-olah memisahkan negara ini dari dunia luar. Oleh sebab itu boleh dikatakan bahawa tiga aspek tadi mewujudkan China hari ini. Dari segi tamadunnya, China telah lahir dari proses evolusi kesuburan Lembah Sungai Kuning (Hwang Ho) kira-kira 4,000 tahun yang lampau. Kemunculan negara kota di lembah sungai tersebut dibuktikan dengan penemuan bandar purba Anyang. Jumpaan bandar ini membongkar rahsia kehidupan manusia awal dalam tamadun ini. Mereka sudah pandai bercucuk tanam, membela binatang ternakan, berjual beli dan mengamalkan kepercayaan tersendiri. Dari situ muncul pula budaya masyarakat Cina yang unik.
Tulisan dan kemunculan ahli falsafah Konfucius dan Taoisme menjadi salah satu daripada cabang penting budaya masyarakat Cina ini. Kegigihan Shih Huang-ti dalam era Dinasti Ch’in menguatkan perpaduan masyarakat setempat dengan adanya usaha menyatukan bukan setakat wilayah tetapi juga budaya. Dinasti-dinasti agung selepas itu seperti Dinasti Han dan T’ang melengkapkan lagi kegemilangan masyarakat China sehingga mendalami bahawa bangsa mereka sebagai bangsa bertamadun di dunia. Negara mereka pula sebagai pusat dunia. Namun demikian sikap dan tanggapan seumpama ini tidak menutup tamadun ini dalam menjalin dengan dunia luar.
Perdagangan merupakan antara aspek penting dalam interaksi antara China dengan dunia luar. Pedagang Arab, Parsi, Asia Tenggara, Rom dan India tertarik dengan barangan China terutamanya sutera. Oleh sebab itu jalan darat diteroka yang merentasi China dengan dunia sebelah Barat dikenali sebagai Laluan Sutera (Silk Road). Selain itu jaringan laut juga dibuat dengan adanya hubungan China dengan kawasan Asia Tenggara, India dan Arab. Kesan daripada kehadiran pedagang-pedagang ini membawa kepada kemunculan bandar-bandar pelabuhan di China Menerusi perdagangan inilah China dikenali oleh dunia luar sehingga ia mengalami cabaran paling getir apabila kuasa Barat yang dipengaruhi oleh revolusi industri menolak para pelayar Eropah ke luar dari benua Eropah.
Titik-tolak yang penting yang mewujudkan sejarah baru di China ialah Perang Candu yang meletus sekitar pertengahan abad ke-19. Selepas itu China terpaksa mengawal tindak-tanduk kuasa Barat ini dengan usaha pemodenan tetapi kekalahan dengan tentera Jepun mendedahkan bahawa China bukan sahaja lemah dari aspek luaran malahan dalaman. Permasalahan rampasan kuasa, rasuah, penyelewengan, sikap konservatif yang menebal dan egoisme yang tinggi mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat yang digambarkan dengan Kebangkitan Taiping. Golongan ini bukan sahaja kecewa dengan pemerintah China tetapi menolak kepimpinan asing iaitu bangsa Manchu yang memerintah China ketika itu. Sementara itu, isu kebangkitan Islam, permasalahan di Tibet dan pegeri-negeri naungannya seperti Ryukyu, Korea, Annam, dan Burma menambahkan permasalahan China pada abad ke-19.
Selepas itu kepimpinan muda China seperti Sun Yat-sen, Chen Tu-hsiu, Mao Tse-tung, Chiang Kai-shek dan Chou En-lai, mengambil beberapa langkah penting dalam memulihkan negara mereka. Kebangkitan awal Kuomintang gagal memberi sebarang impak yang memberangsangkan untuk memulih negara China. Kerjasama Kuomintang dan Komunis selepas itu menampakkan beberapa kejayaan sehinggalah kedua-duanya berpecah. Serangan Jepun ke atas China melenyapkan impian penyatuan China di bawah Kuomintang. Mereka terpaksa akur dengan pihak komunis untuk bersatu semula bagi menentang tentera Jepun. Namun demikian perasaan curiga membawa kepada perbalahan semula antara kedua-dua pihak. Perang Saudara menjadi medan antara kedua-dua pihak untuk menguasai China, Walaupun pihak komunis berjaya dalam perang itu namun rentetan sejarah tersebut masih belum selesai sehingga ke hari ini. Isu Taiwan yang dipapar di dada akhbar tempatan dan dunia hari ini merupakan kesan daripada perbalahan antara kedua-dua pihak terbabit. Masalah ini bertambah rumit apabila kerajaan Kuomintang dikalahkan dalam pilihan raya presiden Taiwan pada tahun 2000. Namun kembalinya pemerintahan Kuomintang pada tahun 2008 telah membuka lembaran baru dalam hubungan China-Taiwan.
Secara keseluruhannya Sejarah China Moden merupakan tulisan bersifat naratif dan kronologi bagi memberi pemahaman kepada pembaca-pembaca mengenal lebih dekat sejarah China Moden. Perbincangan dalam buku ini hanya menjurus kepada rentetan sejarah moden China yang bermula pada abad ke-19,
Muhammad Zulkefli Ramlay (Verified Reader) –