Seramik Empayar Johor Abad 11-19 Masihi

ASYAARI MUHAMAD adalah Profesor Madya dan Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

JMM (Cetakan Pertama, 2012)
315 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM85.00

Only 1 left in stock

Seramik Empayar Johor Abad 11-19 Masihi membincangkan mengenai tinggalan sejarah dan arkeologi yang dijumpai di tapak Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga dari abad ke-16 hingga ke-19 Masihi. Tempoh waktu ini dipilih sebagai satu zaman peralihan dan perpindahan pusat pemerintahan kekuasaan Kesultanan Melayu Melaka ke arah selatan Tanah Melayu dan di persekitaran kepulauan Riau-Lingga. Buku ini turut memberikan tumpuan kepada perkembangan zaman pra-Empayar Johor kerana terdapat taburan artifak khususnya tembikar yang usianya lebih awal dari abad ke-16 Masihi.

Banyak maklumat dan data terbaharu yang berkaitan dengan penemuan ribuan pecahan seramik di sepanjang Sungai Johor yang diketahui melalui penulisan buku ini. Jika pengkaji sebelumnya “tidak berani” mendedahkan hasil daripada penemuan seramik di Johor lebih awal dari abad ke-15, namun buku ini telah menemukan penemuan terkini berhubung dengan kajian seramik di Johor. Penulis telah berjaya mendedahkan hasil penemuan seramik selain yang sering ditemukan di kebanyakan tapak arkeologi di Malaysia misalnya dari Khmer, Vietnam dan seramik China seawal zaman Dinasti Song abad ke-11.

Penemuan seramik seawal abad ke-11 dari China serta beberapa serpihan seramik Khmer serta Vietnam yang rata-ratanya berusia sejak abad ke-11-15 telah mendedahkan rahsia baharu berkenaan Kerajaan Empayar Johor itu. Implikasi dan interpretasi daripada penemuan seramik tersebut membuktikan telah wujud kerajaan awal sebelum kegemilangan kerajaan Empayar Johor di bawah penguasaan kerajaan awal di Nusantara, iaitu Srivijaya malah lebih awal dari itu. Selain bukti penemuan seramik, bukti bertulis daripada kitab lama, sumber Jawa, Siam, China dan Arab juga menyokong kenyataan berhubung dengan kewujudan kerajaan awal sebelum kegemilangan Kerajaan Empayar Johor dari abad ke-16 hingga ke-19. Tambahan kepada maklumat berkaitan dengan tinggalan kapal karam yang membawa kargo seramik yang tenggelam di perairan Johor-Riau-Lingga juga menjadi panduan dan bukti tentang kewujudan kerajaan sebelum kerajaan Empayar Melayu Johor.

Secara umum, buku ini ingin melihat beberapa persoalan pokok atau beberapa matlamat dalam merungkai dan membina semula latar sejarah dan peradaban Kerajaan Melayu Johor Riau-Lingga. Justeru, dalam merungkai atau membina semula latar sejarah Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga, adalah menjadi tanggungjawab pengkaji berusaha untuk mengumpul, menyelidiki, menganalisis dan menginterpretasi data arkeologi secara yang lebih komprehensif. Buku ini diharap dapat merungkai persoalan atau isu tersebut satu persatu bukti berdasarkan kajian secara terperinci yang dilakukan nanti. Diharapkan melalui kajian analisis kualitatif dan kuantitatif terhadap ribuan sampel artifak sama ada yang lengkap dan tidak lengkap nanti dapat merungkai persoalan tersebut.

Pemerhatian yang dilakukan terhadap Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga yang menggunakan pendekatan arkeologi dan seni bererti melihat segala tinggalan artifak arkeologi hasil daripada penyelidikan arkeologi terutamanya artifak tembikar. Dengan itu, diharapkan penemuan artifak yang penting seperti porselin dan tembikar tanah di sepanjang Sungai Johor dapat memberikan satu perspektif baharu tentang sejarah dan peradaban kerajaan ini. Daripada data tersebut, akan dilihat maklumat yang berkaitan dengan jenis, asal-usul tempat tembikar yang ditemui, bentuk, corak, warna hiasan, fungsi serta pentarikhan relatifnya. Daripada hasil data yang terdapat itu juga akan ditentukan di kawasan mana artifak tembikar yang paling banyak ditemui bagi mencari jawapan kepada persoalan petempatan mana yang paling lama didiami dan paling penting dan mengapa terjadinya sedemikian. Buku ini juga ingin melihat sejauh mana masyarakat pada zaman tersebut mempunyai idea yang kreatif dan berseni yang dipancarkan dari akal fikiran mereka melalui objek atau artifak yang mereka hasilkan.

Selain itu, penulisan buku ini juga bertujuan mendedahkan beberapa perkara atau isu baharu, melalui penelitian terhadap data arkeologi yang diperoleh kelak. Isu yang bakal diselidiki itu ialah sejauh manakah dominasi perhubungan perdagangan antara Alam Melayu dengan pihak asing terutamanya China pada abad ke-16 hingga ke-19 Masihi. Selain itu, kajian ini juga melihat sekiranya terdapat jalinan hubungan perdagangan selain China misalnya negara yang berjiran dengan Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga seperti Thailand, Vietnam, Khmer, Burma dan Filipina. Matlamat penyelidikan ini juga ingin merungkai persoalan sama ada benarkah sudah wujud sebuah kerajaan atau pemerintahan di Kepulauan JohorRiau-Lingga sebelum abad ke-16 lagi dengan berpandukan pada data artifak khususnya tembikar yang diperoleh nanti.

Kajian ini juga bertujuan mengenal pasti sama ada wujud kesinambungan zaman prasejarah ke zaman protosejarah dan sejarah. Ini kerana seperti yang diketahui umum bahawa kegemilangan kerajaan wujud setelah kejatuhan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, namun adakah keadaan atau tanggapan ini akan berubah melalui Seramik Empayar Johor Abad 11-19 Masihi.

Senarai Foto
Senarai Peta
Senarai Lakaran
Senarai Jadual
Senarai Carta
Senarai Singkatan Kata
Pengantar
Pemula Bicara
Prakata

BAB 1 Pengenalan

BAB 2 Latar Belakang Sejarah dan Tapak Kajian

BAB 3 Penyelidikan Arkeologi — Bahagian Hulu Sungai Johor, Kota Sayong Penang

BAB 4 Penyelidikan Arkeologi — Bahagian Tengah Sungai Johor, Kota Panchor

BAB 5 Penyelidikan Arkeologi — Bahagian Muara Sungai Johor, Kota Johor Lama

BAB 6 Penyelidikan Arkeologi — Bahagian Selatan Sungai Johor, Kota Bukit Canning, Singapura

BAB 7 Hasil Analisis Tembikar

BAB 8 Kesimpulan

Glosari
Indeks
Bibliografi

Weight0.605 kg
Dimensions22.9 × 17.5 × 1.9 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.