Tari Minangkabau: Dari Pancak dan Pamenan ke Tari Persembahan menyajikan hal-hal yang yang menarik sebagai hasil kajian yang mendalam tentang kewujudan tari Minangkabau yang bermula dari kegiatan pancak sebagai ilmu bela diri orang Minangkabau sehingga menjadi asas kepada pergerakan tari yang memanifestasikan budaya Minangkabau. Uniknya, kegiatan pancak secara tradisionalnya merupakan aktiviti kaum lelaki Minangkabau. Tetapi kemudian menjadi Tari Minangkabau malah dikuasai pula oleh kaum perempuan sehingga masa kini.
Selama lebih kurang empat dekad terakhir, tari Minangkabau banyak dibicarakan pada pelbagai forum akademik dan festival tari di dunia. Ia telah menjadi wacana tersendiri berkaitan performativiti budaya Minangkabau yang diekspresikan melalui pergerakan tarinya.
Hoerijah Adam (1936-1971), koreografer yang pertama kali mencipta tari Minangkabau berdasarkan usaha hibriditi unsur-unsur pergerakan pancak (pencak silat Minangkabau) yang diambil daripada pergerakan pamenan (permainan yang berasaskan pergerakan pancak) dengan unsur-unsur tari di luar pancak dan pamenan. Pada masa yang sama, Syofyani Yusaf (lahir 14 Disember 1935), koreografer satu angkatan dengan Hoerijah Adam, pun melakukan penciptaan tari baru berdasarkan usaha hibriditi pergerakan pancak dengan unsur-unsur tari Melayu. Pada dekad selanjutnya, Gusmiati Suid (1942-2001), muncul sebagai koreografer yang memperkasakan kewujudan seni tari Minangkabau di pentas tari dunia berdasarkan eksplorasi pergerakan pancak.
Sehingga kini, usaha hibriditi yang dilakukan oleh ketiga-tiga koreografer wanita tersebut telah dilanjutkan oleh koreografer Minangkabau generasi penerus. Para koreografer pelapis yang umumnya terdiri daripada kaum perempuan itu melakukan penciptaan tari baru Minangkabau melalui usaha penyelidikan dan mengolah pergerakan pancak ke akar sumber perbendaharaannya di kampung-kampung. Pelbagai penyelidikan terhadap pancak dan pamenan terus dilakukan kepada para pemain pancak yang umumnya sudah sepuh. Tersirat kebimbangan, seandainya tindakan pewarisan tidak dilakukan, dan para sepuh tersebut sudah tidak ada lagi, maka produk budaya yang mengandungi nilai luhur suku bangsa Minangkabau akan hilang dari muka bumi.
Penciptaan tari Minangkabau yang dilakukan berdasarkan usaha hibriditi unsur-unsur pergerakan pancak dengan unsur-unsur tari di luar pancak telah melahirkan wilayah alternatif yang membuka peluang kepada kaum perempuan Minangkabau menyertai aktiviti seni persembahan di ruang awam. Wilayah alternatif itu bernama Seni Tari Minangkabau untuk pementasan. Sebelumnya, aturan adat Minangkabau melarang kaum perempuan menyertai aktiviti persembahan di hadapan orang ramai sehingga menyebabkan terjadinya pengasingan terhadap kaum perempuan dalam dunia persembahan.
Ruang gerak kaum perempuan dalam dunia persembahan di Sumatera Barat mulai terbuka selari adanya kegiatan kesenian Melayu di sekolah-sekolah yang dipengaruhi pementasan kelompok-kelompok sandiwara keliling yang datang dari Sumatera Utara dan Malaysia sejak awal abad ke-20. Kemunculan pementasan sandiwara keliling tersebut cukup kuat mempengaruhi sistem pengetahuan, gagasan dan idea kaum terpelajar di Sumatera Barat sehingga menjadi inspirasi kepada mereka untuk membina kegiatan kesenian Melayu di sekolah-sekolah.
Melalui kegiatan kesenian Melayu di sekolah-sekolah itu pula, kaum perempuan pun berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti tari persembahan yang ditonton oleh orang ramai meskipun pada awalnya hanya terbatas pada lingkungan sekolah sahaja.
Kegiatan kesenian di sekolah tersebut menjadi inspirasi kepada Hoerijah Adam, Syofyani Yusaf dan Gusmiati Suid untuk melakukan penciptaan tari baru berasaskan pergerakan pancak yang secara tradisionalnya pergerakan pancak telah pula digunakan di dalam permainan masyarakat tradisi (bahasa Minangkabau: pamenan) manakala pada masyarakat akademik ia disebut Tari Tradisional Minangkabau. Hasil ciptaan tari baru oleh ketiga-tiga koreografer wanita ini seterusnya melahirkan tari Minangkabau seperti yang dikenali kini. Kenyataan oleh Marwan M. Kraidy disebut sebagai proses hibriditi yang terjadi kerana adanya arus budaya globalisasi yang mensyaratkan adanya jejak budaya lain di dalam kebudayaan masyarakat lokal sebagai hal yang bermanfaat.
Dalam perkembangannya, kewujudan tari Minangkabau sebagai penghasilan usaha hibriditi unsur-unsur pergerakan pancak yang diambil daripada pergerakan pamenan dengan unsur-unsur tari di luar pancak dan pamenan, bukan saja dapat memperkasakan persembahan tari Minangkabau secara visual yang sifatnya arts di atas pentas, tetapi juga dapat memenuhi kepuasan masyarakat Minangkabau secara umum kerana kewujudan tari Minangkabau tersebut dapat memunculkan identiti ke-Minangkabau-an melalui persembahan tari.
Bagi masyarakat Minangkabau, proses hibriditi di dalam bidang tari persembahan dianggap sebagai hal yang baik kerana dapat membuka peluang baru kepada peminatnya untuk mencapai prestasi di bidang tari persembahan. Oleh itu, masyarakat Minangkabau dapat menerimanya seperti mereka menerima sebuah perubahan. Dalam konteks ini, orang Minangkabau memahaminya sebagai hal yang lazim terjadi seperti pepatahnya “sakali aie gadang, sakali tapian barubah” (sekali datang air besar di sungai, maka pada saat itu tepian tempat mandi pun berubah).
Termasuk dalam hal ini adalah perubahan dari pandangan matrilineal konservatif yang membatasi ruang gerak kaum perempuan di dunia persembahan, khususnya dalam melakukan pergerakan pancak, kepada pandangan pascakolonial moden yang membebaskan kaum perempuan menyertai aktiviti tari persembahan yang berasaskan pergerakan pancak di ruang awam.
Reviews
There are no reviews yet