Out of stock

Terokai Hantu: Misteri dan Budaya (Exploring Ghosts: Mystery and Culture)

Katalog Arkib dwi-bahasa bersempena Pameran Terokai Hantu: Misteri dan Budaya

Jabatan Muzium Malaysia (Cetakan Pertama, 2003)
161 halaman termasuk Bibliografi

RM70.00

Out of stock

Terokai Hantu: Misteri dan Budaya (Exploring Ghosts: Mystery and Culture) mengetengahkan fenomena kuno dan sejagat yang tertanam di dalam jiwa manusia berhubung dengan hantu. Pameran ini menampilkan kajian bersifat sejarah dan kontemporari tentang amalan budaya rakyat yang berhubung dengan hantu, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pada peringkat serantau, malahan ke peringkat antarabangsa. Semua pengetahuan perlu dicatatkan dengan saksama untuk masa kini dan juga masa hadapan terutama mengingatkan kaitannya dengan perubahan ekonomi dan sosio-budaya yang semakin bertambah pesat.

Pameran ini memudahkan akses kajian ilmiah tambahan disediakan dalam konteks artifak dalam bidang etnologi, agama, sejarah, bahasa, geografi dan budaya popular. Cabaran terbesar mengadakan pameran sebegini adalah, memperlihatkan sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Oleh yang demikian, bagi memudahkan pemahaman, berbagai-bagai bahan kebudayaan yang luar biasa dikumpul dan disusun dalam tema yang khas.

Tema yang dikemukakan ialah tentang penilaian konsep silang budaya yang berkaitan dengan hantu termasuk cerita hantu, sejarah dan hubungannya dengan kepercayaan keagamaan di Malaysia. Hantu-hantu yang direkodkan disusun mengikut kategori: hantu terunggul, hantu penghisap darah, hantu kubur, hantu lapar, dan hantu suruhan, sama ada yang bebas mahupun yang dikawal. Tumpuan juga diberikan kepada pola tingkah laku hantu, diikuti analisis langkah-langkah menghalau dan menghindari hantu. Hubungan di antara manusia dan hantu diteroka dengan lebih jauh melalui kajian hubungan antara kedua-duanya serta bagaimana manusia menjadi hantu.

Istilah hantu difahami secara meluas bermaksud semangat orang yang telah mati yang memperlihatkan diri kepada orang yang hidup. Kamus Dewan memberi makna hantu sebagai roh jahat yang dikatakan terdapat pada tempat-tempat tertentu. The New Encyclopaedia Britannica mencatatkan “a ghost as soul or spectre of a dead person, usually believed to inhabit the netherworld and to be capable of returning in some form to the world of the living. According to descriptions or depictions provided by believers, a ghost may appear as a living being or as a nebulous likeness of the deceased and, occasionally in other forms.” Dalam hal itu hantu dapatlah diertikan sebagai makhluk tanpa jasad yang diketahui kewujudannya ataupun dapat dilihat hanya melalui fenomenanya.

Ahli psikologi Barat umumnya menggunakan istilah apparition (lembaga) dan bukannya ghost (hantu). Hampir semua kebudayaan dalam sejarahnya mempercayai hantu akan kembali ke dunia orang yang hidup. Kehadirannya menjadi petanda sama ada membawa kebaikan atau keburukan.

Dalam bahasa Melayu, hantu adalah istilah umum yang merangkumi pelbagai jenis hantu, roh, jin dan syaitan. Ini termasuk hantu daripada pelbagai jenis asal usul seperti hantu daripada manusia, hantu daripada binatang, hantu daripada roh orang yang telah mati dan hantu daripada alam semula jadi. Dalam tradisi lisan, hantu yang tertua adalah hantu yang terjadi daripada semangat alam. Kepercayaan kuno tentang hantu adalah contoh kekayaan warisan kebudayaan Kepulauan Melayu-Indonesia yang tidak ternilai.

Kejayaan dalam pertanian, menangkap ikan atau memungut hasil hutan mengikut pandangan dunia masyarakat kuno bergantung kepada rangka kaedah tertentu yang mencakupi cara berunding dengan hantu yang dipercayai mempengaruhi kegiatan manusia, kaedah tradisional inilah yang kemudiannya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang berikutnya. Jika terjadi malapetaka, wabak menyerang penduduk, tanaman tidak menjadi, tangkapan ikan tidak lumayan, semua musibah ini umumnya dikaitkan dengan hantu dan kuasa ghaib.

Pandangan dunia yang sedemikian mewujudkan sekelompok pengamal perubatan yang dikenali sebagai bomoh, pawang ataupun dukun. Mereka berperanan sebagai pengantara yang mempunyai kemahiran untuk memujuk melalui penyemahan atau mengusir. Dalam sistem kepercayaan tradisional, pengulapan mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Formula ritual “Aku tahu asal usulmu” menjadi sebahagian daripada jampi serapah menghalau hantu. Kedatangan Hindu membawa masuk dewa-dewanya yang untuk sekian lama menjadi kuasa yang kuat dalam jampi serapah para dukun dan pawang. Kedatangan Islam kemudiannya membawa masuk kuasa-kuasa baru seperti jin yang digabung-jalinkan dengan hantu tempatan, manakala jampi serapah juga turut menerima pengaruh agama baru itu misalnya pada setiap hujung jampi serapah itu disebutkan “Dengan berkat kata La Ilaha illallah Muhammadur Rasulullah”.

Nama-nama hantu biasanya merujuk kepada tempat tinggal ataupun perlakuannya. Antara contohnya ialah hantu dapur, hantu hutan, hantu kubur, hantu busut, hantu sawan dan pelbagai hantu penyakit lain yang merasuk manusia. Perlakuan hantu terhadap manusia berbeza-beza. Sebahagian hantu suka mengusik dengan pelbagai cara sementara ada pula hantu yang suka menakut-nakutkan dengan pelbagai perlakuannya seperti hantu kubur yang suka berjalan melompat-lompat. Selain daripada mengusik dan menakut-nakutkan manusia, terdapat juga hantu yang suka merampas semangat mangsanya.

Keseragaman nama, perlakuan, tempat tinggal serta upacara tertentu bagi menghalau hantu menunjukkan bahawa hantu dan semangat masyarakat Kepulauan Melayu-Indonesia mesti dihadapi dengan menggunakan pendekatan fenomena sosio-budaya dan sejarah, tidak sebagai paranormal atau manifestasi psikologi.

Persoalan lain yang turut diterokai ialah hubungan di antara hantu dan habitat semula jadi termasuk antara dunia hantu, dunia haiwan dan dunia tumbuh-tumbuhan. Akhirnya tidak ketinggalan dikemukakan juga tempat-tempat berhantu dan penggunaan bahasa khusus tentang hantu dan hubungan kedua-duanya, hal yang sering diperkatakan orang.

Pameran Terokai Hantu: Misteri dan Budaya membawa mereka yang berminat dalam bidang ini mengenali perbendaharaan tradisi lisan, adat kuno, Kepercayaan agama dan budaya popular yang unik. Adalah diharapkan Pameran Terokai Hantu: Misteri dan Budaya akan merangsang kajian yang lebih lanjut dalam bidang ini yang melalui lipatan masa menjadi semakin sukar difahami. Usaha ini juga diharap berjaya membawa kesedaran yang mendalam tentang persoalan pertukaran kebudayaan dan amalannya yang terdapat di Malaysia dan negara-negara maju yang lain.

Weight0.639 kg
Dimensions25.9 × 21.2 × 1 cm
Format

Class

Language

,

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.