Siti Zainon Ismail

Siti Zainon Ismail dilahirkan di Kuala Lumpur pada 18 Disember 1949. Beliau mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Semenjak kecil beliau memang gemar mengembara. Melalui hobi bermain pasir, daun-daun dan biji-bijian beliau tumbuh dengan rasa mendalam mencintai alam. Ayahnya merupakan seorang guru al-Quran dan bilal di kampung. Tetapi beliau lebih terpikat untuk menjadi pelukis. Beliau menuntut ilmu di ASRI (Indonesia) pada tahun 1970 dan mulai mengenal kehidupan seniman di Yogyakarta. Bakat sasteranya terserlah dan beliau mulai menulis puisi yang berkembang menjadi cerpen dan berhasil menyiapkan novel (Pulau Renek Ungu, DBP, 1995).

Sebagai penyair beliau telah berkeliling membacakan puisi di Indonesia, India, Thailand, London, Berlin, Australia dan Korea Selatan. Antara antologi puisi beliau ialah Nyanyian Malam (DBP, 1975), Puisi Putih Sang Kekasih (UKM, 1984), Daun-daun Muda (Media, 1986), Perkasihan Subuh (Bulan Bintang, 1986), Akuarium Kota (Cindai Cinta, 1988), Kau Nyalakan Lilin (UKM, 1990), Bunga-bunga Bulan (Creative Enterprise, 1992), The Moon Is A Candle (terjemahan Hafiz Arif, DBP, 1992) dan Taman-taman Kejadian (Galeri Melora, 1996). Buku cerpennya ialah Seri Padma (DBP, 1986), Dongeng Si Siti Kecil (Teks Publishing, 1988), Attar di Lembah Mawar (Marwilis, 1988), Bunga Putik Putih (DBP, 1990), Jurai Palma (DBP, 2001), Piazza di Spagna (Galeri Melora 2005), Rindu Pala Muda (DBP, 2005, 2006), serta novel Pulau Renek Ungu (DBP, 1995), dan Rembang Flamboyan (Fajar Bakti, 1995).

Sebagai sarjana beliau terus membuat penyelidikan kesenian dan menulis buku seperti Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisional (DBP, 1986), Percikan Seni (DBP, 1988), Lambang Sari, Gamelan Terengganu (DBP, 1994), Tekstil Tenunan Melayu (DBP, 1996), Busana Melayu Johor (Yayasan Warisan Johor, 1997), dan Pakaian Cara Melayu (UKM, 2006).

Beliau juga telah mendapat Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi 1974, 1980/1981, 1984/1985, 1986/1987, 1988/1989, Anugerah Cerpen (DBP-Maybank, 1997/1998), SEA Write Award (Bangkok, 1989), Gelar Tengku Nyak Fakinah (MUI Aceh, 1990) Anugerah Wanita Cemerlang Tan Sri Fatimah (1993) dan Budayanita Selangor (2006). Pada Oktober 1996, beliau dilantik sebagai Guru Besar (Profesor) luar biasa di Universitas Jabal Ghafur, atas jasa-jasanya mengembangkan ilmu pengetahuan dan kebudayaan di Aceh.