Falsafah dalam Karya Sastera Tradisional bermatlamat untuk membicarakan semula persoalan falsafah Melayu serumpun seperti yang tersurat dan tersirat dalam pelbagai bentuk hasil kesusasteraan yang lahir daripada sejarah dan tradisi kepengarangan alam Melayu meliputi persoalan yang berhubungan dengan nilai, kepercayaan dan kerohanian. Ketinggian pemikiran pengarang silam selaku pujangga dan cendekiawan banyak memancarkan asas falsafah bangsa yang perlu diketengahkan semula untuk penghayatan generasi masa ini dalam mengharungi peredaran zaman. Falsafah yang menzahirkan kekuatan intelek dan akal budi bangsa perlu sentiasa dipupuk dan diwacanakan secara ilmiah sebagai bahan pencerahan minda masyarakat yang kian terdedah kepada arus pemikiran global tanpa sempadan. Oleh itu, persoalan falsafah Melayu dalam buku ini bukan hanya menilai semula hasil kesusasteraan, tetapi pada masa yang sama mengetengahkan isu-isu semasa dalam pemahaman dan pengukuhan falsafah Melayu berdasarkan hasil kesusasteraan dan pemikiran sarjana tempatan kontemporari.
Alam Melayu memiliki asas-asas falsafah kehidupan yang tersendiri dan berbeza berbanding dengan masyarakat lain. Falsafah Melayu membentuk cara berfikir dan bertindak bagi masyarakat Melayu warisan leluhur, membina ciri-ciri keperibadian bangsa Melayu sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Telah sekian lama juga masyarakat Melayu berpegang kukuh pada falsafah hidup berkeluarga, bermasyarakat, beragama dan bernegara yang tahan zaman dan lestari dalam menghadapi cabaran zaman. Pada masa yang sama, dunia sentiasa berubah, dan demikian juga corak berfikir masyarakat Melayu yang tidak statik, sebaliknya bergerak mengikut alun perubahan demi perubahan atas nama kemajuan dan kemodenan hidup. Banyak daripada falsafah hidup lama masyarakat Melayu mula dipersoalkan kembali oleh orang Melayu dengan alasan demi mencari “kebenaran” tentang makna sebenar falsafah hidup Melayu itu sendiri. Adakah falsafah kesetiaan Hang Tuah pada abad ke-18 yang lalu masih relevan lagi pada abad ke-21 ini? Jawapan kepada persoalan ini memerlukan kajian-kajian yang mendalam dalam menilai semula falsafah Melayu agar membuahkan hasil dapatan yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat.
Reviews
There are no reviews yet