Dasar Pandang ke Timur: Perubahan Struktur dan Budaya mengenal pasti keupayaan perlaksanaan dasar ini dalam mencapai objektif dan matlamat yang telah ditetapkan. Ia turut mengupas corak perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur dalam era empat pemimpin bermula dengan Tun Mahathir hingga Najib Razak. Penilaian yang teliti dan komprehensif menggunakan Teori Kitaran Dasar memaparkan kerelevanan perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur sejajar dengan keperluan arus globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi. Gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur mengambil langkah memperkukuh dan memperkasa perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur yang sedia ada dengan mengutamakan keuntungan bersama di antara Malaysia-Jepun dan mahu memperkenalkan ‘spill over‘ kebaikan bekerjasama di peringkat rantau. Walaupun Dasar Pandang ke Timur sebuah dasar hasil aspirasi pemimpin, ia sedikit sebanyak telah mengubah budaya dan etika kerja rakyat sesuai dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Implementasi Dasar Pandang ke Timur di Malaysia bersifat ‘open-ended‘ dan ia berterusan sejak tahun 1982 sehingga kini. Penilaian ke atas Dasar Pandang ke Timur selama 37 tahun perlaksanaannya adalah penilaian yang wajar dilakukan kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada epistemologi dari sudut Analisis Dasar Awam, tetapi turut bermanfaat kepada aktor pembuat dasar untuk dijadikan panduan bagi menilai sejauh mana keberkesanan dan keberjayaan pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur ini. Objektif utama perlaksanaan Dasar Pandang ke Timur ialah mengubah budaya dan paradigma masyarakat Malaysia mengikut acuan budaya dan etika kerja masyarakat Jepun.
Penulisan mengenai Dasar Pandang ke Timur adalah suatu usaha untuk menilai keberjayaan dasar ini. Dasar Pandang ke Timur mula dilaksanakan pada tahun 1982 dan diperkenalkan oleh Mahathir Mohamad dengan dua objektif utama, iaitu untuk menerapkan etika dan budaya kerja orang Jepun ke dalam diri masyarakat Malaysia serta membangunkan sebuah negara perindustrian yang maju. Dasar ini merupakan dasar yang bersifat top-down kerana ia merupakan hasrat kerajaan untuk mengubah masyarakat dengan melaksanakan perubahan struktur dan budaya. Sejak dasar ini dilaksanakan, iaitu selama 37 tahun perlaksanaannya, dasar ini belum pernah dinilai secara komprehensif. Buku ini menilai tahap pencapaian dasar dengan menggunakan teori kitaran dasar dalam aspek penilaian dasar. Indikator penilaian seperti perkara asas pembuatan dasar, objektif dan model faktor luaran diketengahkan di dalam penilaian dasar ini selain melihat kepada faktor dalaman. Informan yang telah berkongsi pengalaman, emosi dan suara hati mereka menjadikan garapan hasil penuh buku ini sangat kaya dengan pandangan kritis informan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan variasi pengalaman.
Jelasnya, dasar ini hanya menumpukan kepada bidang kejuruteraan dan Sains dan Teknologi sehingga mengabaikan bidang Sains Sosial yang seharusnya diberi keutamaan dalam memahami tingkah laku dan budaya masyarakat Jepun yang sarat dengan regimentasi budaya dan disiplin. Matlamat Dasar Pandang ke Timur adalah untuk membudayakan etika kerja masyarakat Jepun dalam amalan seharian masyarakat Malaysia pada peringkat organisasi, institusi dan komuniti. Amalan budaya dan etika kerja Jepun hanya berlaku di tempat kerja dan contoh amalan hiburan karaoke diamalkan dalam konteks budaya tempatan. Oleh itu, hubungan bilateral Malaysia-Jepun telah memberi kelebihan di dalam memperkasakan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur. Gelombang kedua ini memfokuskan kepada faedah timbal balik yang saling menguntungkan Jepun-Malaysia. Sementelah Dasar Pandang ke Timur juga harus luwes melihat ke Timur dengan membuka ruang kepada Chin sebagai gergasi kuasa ekonomi dunia yang sebenarnya sudah sebati dengan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Reviews
There are no reviews yet