Dialek Negeri Sembilan: Sikap, Kefahaman, dan Jati Diri mengutarakan pandangan bahawa dialek Negeri Sembilan adalah wadah terbaik yang memancarkan jati diri penutur dan masyarakat bahasanya, sekali gus jati diri negeri itu sendiri. Dalam konteks ini, jati diri dibentuk oleh kombinasi ciri unik dialek ini serta diperkukuh dengan sikap positif penutur terhadap dialek mereka dan ketinggian darjah kefahaman mereka terhadap kosa kata unik dialek ini. Dialek ini adalah aset yang tidak ternilai harganya yang wajar dan terus dibanggai dan dikuasai oleh penuturnya serta digilap potensinya oleh pihak yang berwajib.
Negeri Sembilan bukan sahaja unik dari segi budaya malah dari segi bahasanya. Keunikan masyarakat bahasa atau penutur dialek Negeri Sembilan adalah kerana masyarakatnya yang bukan sahaja dinamik, malah mempunyai jati diri (identity) yang kukuh. Dinamika masyarakat bahasa Negeri Sembilan terserlah daripada evolusi yang diharung dan dihadapinya. Bermula dengan pertembungan dengan budaya luar dari Minangkabau, Sumatera, serta pengaruh multibudaya dan multibahasa yang lain, pemodenan, globalisasi, dan teknologi maklumat, masyarakat ini gah berdiri dan berdaya tahan dengan jati diri tersendiri. Jati diri Negeri Sembilan yang nyata, tidak lain ialah bahasanya yang dikenali dialek Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan mempunyai beberapa variasi bahasa Melayu, iaitu bahasa Temuan, Negeri Sembilan, Minangkabau, dan Melayu standard. Dialek Temuan adalah bahasa asal. Dialek ini dituturkan oleh orang peribumi yang banyak mendiami beberapa kawasan di Negeri Sembilan.
Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas dialek Negeri Sembilan berbeza dengan dialek Minangkabau. Penghijrahan beramai-ramai orang Minangkabau ke Negeri Sembilan sejak sekian lama, tentunya telah mewujudkan asimilasi budaya dan sosial. Tidak dapat disangkal juga bahawa dialek Negeri Sembilan akan meminjam dialek Minangkabau kerana sistem adat perpatihnya yang dominan diamalkan. Tetapi hal ini tidak bermakna dialek Negeri Sembilan sama dengan dialek Minangkabau.
Dialek Minangkabau mempunyai ciri fonologi yang berbeza dengan dialek Negeri Sembilan. Misalnya, ada penyelidik pernah membuat perbandingan antara kedua-dua dialek ini, dengan menjadikan Rembau sebagai kawasan kajian. Perkataan perut misalnya telah menghasilkan dua bentuk bunyi yang berbeza, iaitu porot dan paruiq. Ternyata bunyi (u) pada suku kata akhir menghasilkan (o) dalam dialek Negeri Sembilan, dan (ui) dalam dialek Minangkabau. Hal ini memperlihatkan perbezaan antara dialek Negeri Sembilan dengan dialek Melayu di Semenanjung. Ciri yang unik inilah yang selalu mengaitkan dialek Negeri Sembilan dengan dialek Minangkabau.
Asmah Haji Omar telah membahagikan kawasan dialek kepada dua subkawasan, iaitu: (i) Subkawasan utara yang meliputi Jelebu dan Lenggeng. (ii) Subkawasan selatan yang meliputi Kuala Pilah, Seremban, Rembau, Port Dickson dan Tampin.
Berdasarkan pembahagian ini, Asmah menyimpulkan bahawa subdialek selatan yang berpusat Kuala Pilah adalah subdialek asas yang boleh mewakili dialek Negeri Sembilan. Sebabnya, Kuala Pilah merupakan pusat budaya penutur Negeri Sembilan, dan memiliki kawasan yang paling luas berbanding daerah yang lain.
Reviews
There are no reviews yet