Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, 1922-2000: Sumbangan dan Kejayaan memaparkan sejarah Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dan peranannya dalam pembentukan keperibadian masyarakat Melayu Islam setempat. Penubuhan madrasah ini mengikut sistem pengajian agama di Makkah. Kalau dibandingkan dengan sistem pendidikan pondok, sistem pendidikan madrasah yang diamalkan jauh lebih sistematik khususnya dari segi organisasi dan pentadbirannya. Sistem madrasah mempunyai ciri-ciri persamaan dengan sistem vernakular atau sistem sekolah Inggeris. Malah waktu itu sistem pendidikan di Madrasah Idrisiah sudah memiliki sukatan pelajaran yang menyeluruh dalam semua bidang dan ianya mengandungi ilmu yang dikupas secara mendalam.
Malah buku ini juga cuba membuktikan peranan para umarak atau sultan-sultan dalam proses perkembangan ilmu Islam dalam masyarakat Melayu Islam. Dengan restu dan komitmen mereka, madrasah ini terbina dan terlaksana dengan jayanya. Justeru itu Madrasah Idrisiah dapat berperanan dengan baik kerana faktor sokongan, sumber kewangan dan restu penaung agama negeri perak yang perihatin terhadap perkembangan semasa tentang Islam. Lebih-lebih lagi pembinaan dan perkembangan madrasah ini adalah dalam zaman penjajahan British. Dengan komitmen yang tinggi yang ditunjukkan oleh sultan yang memerintah negeri Perak maka beberapa ulama besar telah dijemput untuk menerajui institusi agama ini dan memacunya ke arah kecemerlangan.
Peranan dan sumbangan Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak tidak dapat dilupakan sama sekali. Kini madrasah ini sudah berusia 87 tahun dan berfungsi dengan baik. Lantaran itu buku ini amat baik untuk tatapan para pengkaji sejarah tentang perkembangan pendidikan Islam di Malaysia. Juga baik untuk bacaan para guru, para siswazah dan juga para pelajar demi untuk menambah ilmu pengetahuan tentang perkembangan Islam di Malaysia.
Dalam konteks negeri lain di Tanah Melayu, madrasah yang terawal ditubuhkan ialah Madrasah Al Masyhur Islamiah, di Pulau Pinang didirikan pada tahun 1915. Di Madrasah Idrisiah sistem moden dijalankan sepert penempatan para pelajarnya di asrama. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pendidikan agama dan mengembangkan syiar Islam kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya bagi rakyat di negeri Perak. Madrasah ini turut menerima penuntut dari serata tempat seperti dari Sabah melalui Yayasan Sabah. Kemasukan pelajar dari luar negeri Perak membuktikan bahawa sistem yang dilaksanakan di Madrasah Idrisiah adalah sistematik das mudah diterima. Lantaran itu, sistem pengajiannya yang, berbeza dari segi perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran jika dibandingkan dengan sistem pengajian yang diamalkan dalam sistem pendidikan pondok pada masa itu.
Institusi yang dibina ini diharapkan akan dapat mempertahankan Islas yang pastinya akan menjadi pesaing kepada sekolah-sekolah yang dibina oleh Inggeris. Di sini jugalah diadakan pertemuan-pertemuan golongan ulama bagi membincangkan perancangan dan perencanaan perkembangan pendidikan Islam yang terdapat di negeri Perak.
Reviews
There are no reviews yet