Mencari Makna Diri Melayu: Renungan Untuk Bangsaku merupakan sebuah bingkisan Awang Sariyan yang dalam sorotannya, sejumlah anggota bangsa Melayu telah mula alpa, lupa dan keliru dalam memahami makna dirinya. Akibat langsung daripada kelemahan itu ialah kekacauan dalam cara berfikir, dalam penentuan keputusan dan dalam pelaksanaan sesuatu, sehingga keadaan menjadi haru-biru, kelam-kabut dan kusut. Istilah makna diri yang penulis gunakan dalam buku ini seperti dengan istilah jati diri yang biasa digunakan sebagai padanan kata identity. Istilah tersebut berkali-kali penulis dengar dalam kuliah Syed Muhammad Naquib al-Attas sejak beliau menjadi mahasiswa Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973, dan tampaknya menimbulkan erti yang mendalam.
Meskipun kandungan buku kecil ini jauh daripada lengkap dalam pembahasan tentang makna diri Melayu dan isu-isu yang berkaitan dengannya, penulis harapkan bahawa sekelumit isu yang beliau kemukakan dapat jua menjadi bahan renungan. Sebahagian besar kandungan dalam buku ini telah penulis bicarakan dalam beberapa wacana (seminar, majalah dan laman web) dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, dan kini dalam menghadapi kemelut “Melayu”, penulis himpunkan bahan-bahan itu dalam satu tema yang khusus, iaitu mencari makna diri Melayu.
Buku ini terdiri daripada tujuh bab yang mengupas makna diri atau jati diri Melayu dari sudut sejarah, dasar negara yang berteraskan Melayu, kontrak sosial yang berteraskan Melayu, isu kehidupan beragama dan isu hak serta kebebasan bersuara, cabaran kepada bahasa Melayu sebagai tunjang tamadun, kesan buruk program dwibahasa dalam sistem pendidikan negara dan catatan untuk renungan bangsa Melayu. Semoga buku ini dapat menjadi bahan fikiran untuk generasi mudanya, khususnya, memahami sejarah dan asas pembinaan negara kita.
Reviews
There are no reviews yet