Paradigma Melayu menghimpunkan pelbagai tulisan berkenaan pengalaman intelektual masyarakat Melayu serumpun. Pelbagai ilmu kearifan tempatan dianalisis oleh para sarjana pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pengalaman dan kebijaksanaan masyarakat Melayu serumpun meliputi pelbagai bidang kehidupan manusianya. Dari segi sejarah kewujudan masyarakat prasejarah, kemudiannya melalui masyarakat bertamadun, moden dan pascamoden melahirkan banyak cabang ilmu yang harus dikaji dari semasa ke semasa.
Dengan munculnya buku ini akan membuka sebahagian lembar kebijaksanaan Melayu serumpun yang sejak sekian lama membentuk manusia Melayu yang menguasai pelbagai bidang ilmu kehidupan. Langkah transformasi masyarakat Melayu serumpun tetap memerlukan kebijaksanaan tempatan untuk difahami, dinilai dan dimanfaatkan daya fikir mereka bagi memacu kehidupan masa depan.
Perubahan sosiopolitik, sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat membentuk pola-pola baharu terhadap perubahan kehidupan orang-orang Melayu. Saingan dalam merebut peluang untuk hidup menjadi semakin mencabar. Malahan transformasi dalam pola tindakan dan pemikiran mereka adalah disebabkan keinginan untuk kesejahteraan serta keharmonian.
Untuk itu, tindakan yang berbentuk perubahan paradigma adalah dituntut sehinggakan ia mampu menjadi satu reaksi positif ke arah kemajuan masyarakat. Paradigma Melayu adalah sebuah buku yang menampilkan bagaimana perubahan sikap orang-orang Melayu dalam berhadapan dengan pelbagai isu termasuk isu perubahan sosial, budaya, politik, pendidikan, seni, bahasa dan ekonomi dalam menangani perubahan dimensi pola fikir selaras dengan perubahan pesat masyarakat dunia.
Reviews
There are no reviews yet