Pembinaan Berasaskan Kayu mendedahkan tentang konsep dan proses pembinaan rumah berasaskan kayu dari awal pembinaan hinggalah ke proses pembinaan rumah kayu. Proses pembinaan berasaskan kayu untuk rumah memerlukan kepakaran untuk memilih kayu-kayu yang berkualiti dan tahan agar pemilik berasa selesa untuk mendiami rumah. Sehubungan dengan itu, buku ini berjaya mengetengahkan idea dan pengalaman penulis sebagai arkitek untuk memilih kayu sebagai alternatif dalam membina rumah kayu. Buku ini mempunyai dua bahagian yang penting. Bahagian satu, teori mengenai kayu dan asas-asas mengenali kayu-kayu di Malaysia. Bahagian dua yang paling penting ialah mengenai pembinaan berasaskan kayu yang diadaptasikan dari rumah-rumah tradisional Melayu dan rumah-rumah kayu di Malaysia mengikut jenis dan teknik pembinaannya.
Sejak dahulu lagi kayu merupakan bahan binaan yang digunakan oleh tukang kayu untuk membina rumah orang Melayu. Kayu merupakan bahan utama yang seratus peratus digunakan untuk pembinaan rumah kayu. Kayu digunakan sebagai struktur bangunan seperti tiang, rasuk dan gelegar serta struktur kerangka bumbung. Dengan banyaknya jenis kayu di hutan hujan khatulistiwa Malaysia. Kayu-kayu yang mudah didapati seperti kayu cengal, meranti, kulim, kembang semangkuk, merbau, balau, mengkulang, kempas, keruing dan pelbagai jenis kayu. Terdapat rumah-rumah yang menggunakan batang pokok sebagai tiang rumah dan lantai.
Penggunaan kayu secara kekal seperti rasuk, tiang, bingkai bangunan, jubin bumbung kayu, papan lantai, bingkai pintu, tingkap, dinding dan kerangka bumbung. Bagi penggunaan secara sementara atau tidak kekal, kayu kerap digunakan untuk perancah bangunan, acuan konkrit, pagar dan pintu pagar. Kayu juga digunakan untuk membuat dek-dek kapal pengangkut, membuat kapal-kapal kecil, jeti dan lain-lain. Industri kayu seperti papan lapis, panel kayu dan banyak lagi industri berasaskan kayu yang boleh dihasilkan hasil dari inovasi pengkaji dan pereka bentuk. Dalam pembinaan bangunan kayu, kayu kerap digunakan untuk membuat tiang, rasuk dinding, pintu, tingkap dan bumbung.
Terdapat beberapa jenis rumah kayu di Malaysia yang boleh digambarkan seperti Rumah Kayu Tradisional Melayu, Rumah Kayu Konvensional, Rumah Kayu Kolonial dan Rumah Kayu Moden. Pembinaan rumah-rumah dari jenis yang berbeza ini disebabkan pembinaan oleh tukang kayu dari zaman yang berbeza dan boleh ditentukan perbezaan dengan cara pembinaannya. Masyarakat Melayu amat mementingkan pemilihan tukang kayu bagi menentukan reka bentuk rumah, seni ukiran dan kerawang, susun atur ruang dan pemilihan kayu yang sesuai untuk sesebuah rumah yang akan dibina. Pemilik rumah akan memberitahu tukang rumah kehendak dan keperluan untuk rumahnya, tukang kayu pula akan menentukan reka bentuk, susun atur ruang serta jenis ukiran yang akan digunakan untuk rumah tersebut. Kedua-dua, pemilik rumah dan tukang kayu memainkan peranan yang amat penting untuk membina rumah tradisional Melayu yang dikehendaki dan memenuhi cita rasa pemilik rumah serta mempunyai nilai seni bina yang tinggi dan unik.
Kreativiti tukang kayu dalam mereka bentuk rumah dengan ruang dan susun aturnya serta kerawang dan ukiran awan larat adalah berdasarkan pemilihan dan kesesuaian rumah Melayu itu sendiri. Selalunya dalam hal ini tukang kayu sudah mempunyai idea dan kemahiran. Persekitaran dijadikan sandaran untuk menzahirkan idea reka bentuk ukiran dan sebagainya. Flora dan fauna adalah pengamatan paling hampir yang dijadikan ilham oleh tukang kayu dalam reka bentuk ukiran pada rumah Melayu.
Reviews
There are no reviews yet