Pengantar Kaunseling mengutarakan kaunseling dari segi teorinya, dan juga membantu para pembaca dan pengguna tentang proses dan aplikasinya sekali. Memandangkan perkembangan perkhidmatan kaunseling begitu pesat di negara kita, maka kami berusaha menampung kekosongan maklumat dan ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut. Kebetulan, tidak banyak bahasa bacaan dalam bidang ini terdapat dalam bahasa Melayu. Di Malaysia, langkah positif pihak kerajaan memperkenalkan perkhidmatan ini di sekolah menengah, bermula dengan terbitnya Pekeliling 3/37 pada tahun 1967 yang meminta semua sekolah menengah melantik “Guru Kerjaya”. Guru-guru tersebut diberikan kelonggaran waktu mengajar hanya 25 waktu seminggu dan dilepaskan pula daripada tanggungjawab tentang sebarang kegiatan luar dan kokurikulum di sekolahnya.
Kementerian Pelajaran dengan serba kekurangannya itu hanya mampu melaksanakan aktiviti dalam “Perkhidmatan Bimbingan”, walaupun dalam beberapa hal aspek-aspek kaunseling dilibatkan sama. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling lebih menitikberatkan kepada bimbingan kerjaya dan pelajaran sematamata. Untuk melaksanakan perkhidmatan bimbingan kerjaya di sekolah, kursus pendedahan selama seminggu diberikan kepada guru yang ditugaskan menjalankan perkhidmatan ini di sekolah masing-masing.
Matlamat bimbingan dan kaunseling adalah untuk membimbing orang yang mendapat perkhidmatan bimbingan dan kaunseling itu ke arah kegiatan yang lebih produktif dan mendapat kepuasan dalam dirinya yang lebih besar. Jika dilihat bimbingan itu sendiri bermaksud bantuan yang diberikan kepada seseorang untuk membuat pilihan yang sesuai atau untuk membuat penyesuaian dalam kehidupannya. Kebolehan ini tidak boleh diwarisi tetapi boleh diperkembangkan. Jadi, matlamat asas bimbingan adalah untuk mengembangkan diri setiap individu hingga ke satu tahap kebolehan dan kemahiran untuk mengatasi masalah sendiri dan membuat penyesuaian pada dirinya sendiri.
Bimbingan merupakan bantuan yang diberikan kepada individu yang bertujuan untuk mengembangkan pemahaman terhadap diri sendiri dan juga terhadap sesuatu di persekitarannya. Bimbingan ini bolehlah dianggap sebagai satu proses ikhtisas yang tersusun dan sistematik untuk membantu individu melalui cara pendidikan dan pentafsiran. Bimbingan juga bertujuan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih baik tentang watak-watak dan bakat individu itu supaya dapat disesuaikan dengan keperluan masyarakat dengan lebih berkesan dan bersesuaian pula dengan nilai dan moral.
Sementara kaunseling pula membawa maksud sebagai satu perhubungan interpersonal yang digunakan oleh kaunselor membantu individu secara keseluruhan untuk menyesuaikan diri dengan lebih berkesan terhadap dirinya sendiri dan juga terhadap persekitarannya. Kaunseling bukan sahaja menolong kliennya sama ada untuk menyesuaikan dirinya dengan masyarakat semata-mata, malah kaunseling sebenarnya merupakan proses menolong klien untuk memahami dirinya dan juga dunia sekitarnya. Dengan ini, klien dapatlah menggunakan potensi yang ada pada dirinya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Kaunseling juga dianggap sebagai satu perhubungan bersemuka antara seorang dengan seorang yang lain, apabila seorang klien meminta bantuan, mengadakan hubungan yang berkesan bersama-sama dengan kaunselornya. Hubungan mereka ini bercirikan saling hormat-menghormati, penerimaan terhadap klien yang menyeluruh dan tulen serta ditumpukan kepada keperluan, masalah dan perasaan klien. Hubungan ini menggalakkan kebebasan dan melahirkan perasaan kliennya. Hal ini menggalakkan perkembangan dan perubahan dalam diri klien sehingga dia berfungsi dengan lebih bebas dan sempurna. Perkhidmatan kaunseling merupakan perkhidmatan profesional dan memerlukan kaunselor yang memiliki kemahiran dan sikap yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Anonymous (store manager) –