Persoalan Dendam dalam Sastera Melayu membahaskan dua ungkapan kunci iaitu perasaan “dendam” dan hubungan perasaan dendam dalam sastera Melayu. Dendam ialah satu bentuk emosi yang dialami seseorang apabila dia “dicederakan”, sama ada kecederaan itu pada anggota tubuh badannya, atau/dan pada dirinya yang mujarad iaitu maruahnya. Kecederaan ini nyata sekali berlaku dalam peristiwa tertentu, membabitkan sekurang-kurangnya dua orang individu pada tahap pembabitan mikro, dan membabitkan dua puak atau kelompok manusia pada tahap pembabitan makro.
Akibat “kecederaan” ini manusia terbabit berasa marah, malu, terhina dan dihina, teraniaya, lantas dia akan cuba mendapatkan keadilan yang bersifat peribadi berlandaskan pertimbangannya sendiri terhadap orang yang telah men”cedera”kannya itu. Tindakan untuk mendapat keadilan secara peribadi inilah yang dikategorikan sebagai dendam atau dengan ungkapan-ungkapan lain tetapi sinonim maksudnya Seperti “membalas dendam”, “membalas bela”, atau dikenali juga dengan “menuntut bela”.
Perasaan dendam yang dilaksanakan dendamnya ini dalam bentuk tindakan tertentu tidak wujud secara sendirian. Perasaan dendam yang menguasai fikiran dan tindak-tanduk seseorang itu berhubung kait dengan emosi lain seperti amarah, iri hati, dengki, terhina, dan malu. Emosi amarah, iri hati, dengki, terhina, dan malu ini muncul lebih awal atau terdahulu daripada munculnya emosi dendam itu. Perasaan yang awal ini tercetus daripada situasi tertentu.
Manusia tidak akan berdendam jika dia tidak teraniaya aja, dia tidak diaibkan, atau air mukanya atau maruahnya tidal dijatuhkan oleh orang lain. Lantaran dijatuhkan air mukanya sebagai misalan, maka seseorang itu berasa malu dan terhina lalu dia merancang untuk bertindak sendiri, untuk kepuasan dirinya sendiri, bagi mendapat keadilan menebus perasaan malu dan terhina yang dialaminya itu. Lazimnya tindakan yang terhasil daripada perasaan dendam ini bertujuan untuk men”cedera”kan orang yang memalukannya itu dalam bentuk kecederaan yang sama, atau mungkin bentuk kecederaan ini lebih berat daripada bentuk kecederaan yang dialaminya dahulu.
Perasaan dendam ini akan dilihat kekesanannya dalam sastera Melayu. Ruang lingkup sastera Melayu yang bakal diangkat untuk diaplikasi dalam kajian ini akan hanya terbatas kepada kesusasteraan Melayu tradisional. Istilah kesusasteraan Melayu tradisional dalam kajian ini meliputi sastera rakyat, sastera hikayat, sastera panji, sastera epik, sastera sejarah, cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam, dan hikayat-hikayat lain.
Dalam genre sastera rakyat bahan kajian diangkat daripada sastera berbentuk cerita, mengkhusus kepada cerita lipur lara; sastera berbentuk bukan cerita dalam genre ini tidak termasuk dalam kajian. Dalam kategori sastera hikayat bahan kajian diangkat daripada tiga golongan hikayat: (i) sastera hikayat berunsur Hindu; (ii) sastera hikayat berunsur Hindu-Islam; dan (iii)sastera hikayat berunsur Islam.
Dalam genre sastera hikayat berunsur Islam terangkum cerita berbingkai yang mengandung satu cerita utama dengan beberapa cerita sisipan. Dalam genre sastera epik, cerita yang akan dijadikan kajian ialah cerita-cerita pahlawan dalam bentuk hikayat yang telah diangkat sebagai epik bagi masyarakat Melayu. Cerita tentang sahabat Nabi dan para ulama dan solihin terangkum dalam genre cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam.
Untuk kajian ini tidak semua hikayat termasuk dalam penelitian, tetapi setiap genre kesusasteraan Melayu tradisional diberi perincian sewajarnya yang bersabit dengan kajian. Malah persoalan dendam ini diteliti juga dalam hikayat-hikayat yang datangnya dari rumpun Melayu termasuk hikayat dari Aceh dan Minangkabau, dan hikayat dari Jawa, untuk melihat kekesanan perasaan dendam dalam hikayat-hikayat berkenaan. Hikayat-hikayat ini digolongkan pada kategori hikayat-hikayat lain.
Dengan yang demikian kajian ini meneliti emosi dendam dalam genre yang berikut: (i) sastera rakyat; (ii) sastera hikayat; (iii) sastera panji; (iv) sastera epik; (v) sastera sejarah; (vi) cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam; dan (vii) hikayat-hikayat lain. Bagi setiap genre diambil sekurang-kurangnya satu wakil hikayat yang mengandung perasaan dendam dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Kajian ini akan cuba melihat dan mengupas perasaan dendam berkenaan secara filosofis iaitu perasaan dendam itu dihuraikan pengertiannya secara dialektik.
Reviews
There are no reviews yet