Sejarah Malaysia: Pentafsiran dan Penulisan dipersembahkan sebagai Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 22 Januari 1991 di Bilik Majlis, Universiti Kebangsaan Malaysia. Syarahan ini ditumpukan kepada pentafsiran dan penulisan Sejarah dalam bahasa Melayu. Hingga 1960-an, buku-buku sejarah Malaysia seperti Sejarah Melayu, Misa Melayu, dan Tuhfat al-Nafis dianggap oleh kebanyakan sarjana-sarjana Barat sebagai tidak ilmiah. J.C. Bottoms misalnya mengatakan bahawa orang Melayu, hinggalah ke abad 20, menganggap Sejarah sebagai hiburan. Mereka tidak dapat membezakan antara kebenaran dan khayalan. Tetapi pendapat-pendapat seperti ini telah dibetulkan oleh sejarawan-sejarawan Malaysia juga seorang Barat hingga keutuhan sumber sejarah dalam bahasa Melayu diterima sebagai ilmiah.
Oleh itu adalah menghairankan apabila seorang sejarawan Malaysia di tahun 1980-an berpendapat seperti Bottoms dan menganggap rendah terhadap Sejarah Melayu. Juga timbul semula tafsiran yang mengatakan bahawa faham kebangsaan Melayu adalah cetusan pentadbiran British yang telah menggabungkan Tanah Melayu. Kita juga tersua dengan seorang penulis yang menganggap dirinya sebagai perintis dalam pentafsiran ‘daulat dan derhaka’ dalam sejarah Malaysia.
Ketiga-tiga perkara ini, kalau tidak dibetulkan, akan memberi gambaran yang salah tentang pentafsiran dan penulisan sejarah Malaysia.
Mentafsir peristiwa sejarah bukanlah senang. Kemuktamadan sukar dicapai. Kita cuba menghampiri kebenaran sedekat mungkin. Bagi sejarah Malaysia, soal kekurangan sumber, jurang masa, penguasaan bahasa, perbezaan kebudayaan dan soal psikologi menjadi masalah tambahan.
Masih banyak lagi bahan sejarah Malaysia di luar negeri yang belum diperolehi. Penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Malaysia menyukarkan pentafsiran yang menyeluruh dan tepat kerana kebanyakan ahli Sejarah Malaysia menguasai bahasa Melayu dan Inggeris sahaja. Untuk mengetahui peranan mitos dan legenda dalam pensejarahan Melayu, penulis perlu faham kebudayaan Melayu. Dari segi psikologi pula, adalah amat sukar untuk mengetahui dengan tepat pemikiran seseorang itu pada sesuatu ketika.
Dalam menilai karya-karya sejarah Melayu, menuduh Sejarah Melayu sebagai “bukan untuk mencari realiti atau kesahihan fakta dan bukan pula untuk menerapkan peristiwa sejarah yang benar-benar terjadi” adalah keterlaluan. Menganggap Sejarah Melayu sebagai satu usaha “untuk mencipta atau memberikan suatu bentuk kekudusan kepada kalangan kerabat dan raja-raja awal Melaka” dengan menggunakan “unsur mitos, peristiwa ajaib dan ketokohan luar biasa” menunjukkan pengkajian yang kurang teliti dan pentafsiran yang tidak sealir dengan kebudayaan Melayu.
Keutuhan Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah yang sangat mustahak bagi mengkaji Kesultanan Melayu Melaka dapat dibuktikan dengan membandingkan kandungannya dengan sumber-sumber lain seperti Portugis, Siam dan China. Beberapa kenyataan yang agak sama terdapat hasil dari perbandingan ini. Sebaliknya, wujud pula maklumat yang menunjukkan bahawa Sejarah Melayu tidak menganggap semua raja-raja dan kerabat diraja sebagai kudus.
Reviews
There are no reviews yet