Sudah Gaharu Cendana Pula: Sakit, Tabib dan Ubat dalam Persuratan Melayu mengumpulkan cerita, peribahasa, pantun dan lagu Melayu yang berkaitan ilmu perubatan. Buku ini terinspirasi daripada perbualan antara penulis dan keluarganya ketika menceritakan tentang sisi-sisi persuratan Melayu, sama ada dalam bentuk hikayat, sejarah, syair, pantun, peribahasa dan lagu rakyat. Isteri penulis mencadangkan agar kisah tersebut dibukukan dan menjadi bahan bacaan tambahan bagi pembaca yang mengikuti kajian saya terhadap manuskrip perubatan Melayu.
Dalam perbualan santai dengan ahli keluarga itu, penulis sebutkan bahawa orang Melayu bukan sekadar merakam ilmu perubatan dalam naskhah-naskhah perubatan mereka. Mereka juga merakam kejadian wabak yang berlaku di pelbagai tempat dalam negeri Melayu, bercerita tentang asal-usul pembukaan negeri dan membuat pantun serta lagu rakyat berkenaan bahan-bahan ubatan atau keadaan penyakit yang berlaku. Ucapan, ungkapan atau idiom berbentuk persuratan yang mengandungi falsafah khasnya dalam bahasa dan budaya Melayu ini keluar daripada bijak pandai orang-orang Melayu di masa lalu, sama ada alim ulama, pemerintah dan budayawan hinggakan secara keseluruhannya apa yang disebut itu mempunyai kebenaran-kebenarannya atau bersandar kepada kebenaran-kebenaran.
Walaupun satu buku khas seperti ini belum pernah terbit, tetapi kesedaran tentang adanya nukilan-nukilan berkaitan perubatan dalam khazanah sastera Melayu pernah disentuh oleh sarjana terdahulu. Antara sarjana terawal yang mempunyai kesedaran ini ialah A. Samad Ahmad melalui bukunya Warisan Perubatan Melayu. Buku beliau ini adalah hasil perumian (transliterasi) ke atas MS482 iaitu sebuah manuskrip perubatan Melayu yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia. Ia merupakan naskhah transliterasi manuskrip perubatan Melayu yang paling awal diusahakan. Dalam pendahuluannya pada buku itu, A. Samad Ahmad membawakan sebuah kisah iaitu tentang Temenggung Seri Udani ketika peristiwa perang Melaka dengan Peringgi. Kisah ini ini diambilnya daripada Sulalat al-Salatin.
Dalam buku ini penulis nukilkan kembali kisah tersebut untuk dinikmati semua. Penulis turut masukkan beberapa syair, pantun, peribahasa dan lagu rakyat terpilih di dalam buku ini. Kebanyakannya biasa didengar, dan biasa digunakan di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, makna-makna sebenarnya kadangkala hilang. Contohnya dalam lagu Anak Itik Tok Wi, ramai orang yang apabila ditanya tidak begitu pasti apakah sebutan sebenar pada perkataan yang terakhir. Ada yang mengatakan pelam, atau limau pelam, sedangkan buah pelam tidak biasa menjadi bahan ubatan untuk sakit tulang manakala limau pelam memang tidak wujud.
Sementara itu, beberapa peribahasa yang biasa digunakan, contohnya, sudah gaharu cendana pula sudah tentu menimbulkan banyak persoalan di kepala kita. Kenapa gaharu, kenapa cendana? Kenapa sesudah gaharu, cendana pula? Sudah pasti orang Melayu tidak semberono mencipta cerita, syair, pantun, peribahasa dan lagu rakyat seperti itu. Tentu ada kisah atau fenomena nyata yang pernah berlaku hingga mengilhamkan syair, pantun, peribahasa dan lagu rakyat yang menjadi warisan kita pada masa kini.
Reviews
There are no reviews yet