Sultan ‘Ala’uddin Suleiman Shah: Payung Kesentosaan Negeri Selangor merupakan sebuah biografi lengkap Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor ke-5. Selepas kemangkatan Sultan Sir ‘Abdul Samad ibni al-Marhum Tengku Panglima Besar ‘Abdullah sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor ke-4, maka takhta pemerintahan Negeri Selangor tersandang kepada Sultan ‘Ala’uddin Suleiman Shah yang pada ketika itu menyandang kemuliaan gelaran Raja Muda Selangor. Baginda telah dimashhurkan sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Selangor serta Jajahan Ta’luqnya dengan penuh kebesaran dan kemuliaan Adat Isti’adat Raja Sedaulat. Gelaran yang diberikan kepada batang tubuh haginda, apabila menaiki takhta singgahsana kerajaan Negeri Selangor setelah menggantikan Paduka Nenda baginda ialah D.Y.M.M. Seri Paduka Sultan ‘Ala’uddin Suleiman Shah ibni al-Marhum Raja Muda Musa.
Di bawah payung naungan baginda sebagai Sultan, Negeri Selangor semakin maju dan shi’ar Islam semakin tersebar ke seluruh pelosok Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan sokongan daripada Raja-Raja Melayu. Baginda merupakan penerus kepada gagasan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Negeri Perak, Negeri Selangor, Negeri Pahang dan Negeri Sembilan. Baginda telah meneruskan pembangunan negeri yang ditinggalkan oleh Paduka Nenda baginda dan sejak itu Negeri Selangor menjadi semakin pesat membangun dan aman sejahtera. Malah kedudukan ekonomi Negeri Selangor juga menjadi lebih kukuh.
Ini boleh dilihat seawal baginda menerajui pemerintahan negeri pada tahun 1898, hasil cukai Negeri Selangor hanya sebanyak tiga juta ringgit ($3,000,000.00). Namun pada tahun 1938, berlaku pertambahan dan kenaikan lebih kurang empat puluh lapan juta ringgit setahun ($48,000,000.00). Semasa era pemerintahan baginda juga, Negeri Selangor mula mengalami perubahan yang cukup besar apabila banyak jalan raya dan landasan kereta api dibina, begitu juga pembinaan rumah dan rumah kedai pesat dilaksanakan terutama di sekitar Kuala Lumpur dan Klang.
Baginda amat terkenal sebagai seorang Sultan yang sangat mengambil berat akan soal hal ehwal Islam dan sedia melakukan apa sahaja demi memastikan rakyat berpegang teguh dan kuat kepada agama Islam dan adat resam orang Melayu. Ketokohan dalam kepimpinan baginda telah ditunjukkan sejak menyandang kemuliaan gelaran Raja Muda Selangor, dan baginda sentiasa memberikan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan sosio-ekonomi serta agama Islam di Negeri Selangor. Hal ini telah membawa kepada kepercayaan penuh Paduka Nenda baginda untuk memberi tanggungjawab yang besar dengan menyerahkan segala urusan pemerintahan negeri kepada baginda terutamanya yang berkaitan dengan hal ehwal agama.
Sebelum menyandang gelaran Raja Muda Selangor, baginda menjalani kehidupan sebagai seorang putera raja yang sederhana dengan membuka ladang kelapa dan bersawah padi di bandar Langat. Baginda juga telah mengembangkan segala pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dalam bidang pertanian dengan mengusahakan ladang tebu sehingga membawa kejayaan yang besar dengan terbinanya sebuah perusahaan kilang gula. Kebijaksanaan baginda juga telah berjaya mewujudkan Malay Agricultural Settlement (M.A.S) atau Penempatan Pertanian Melayu yang kini kenali sebagai Kampung Baru pada tahun 1897.
Demikian juga dengan hal ehwal yang melibatkan pendidikan, baginda yang pada ketika itu berusia 25 tahun telah mengambil langkah berani dengan menubuhkan Selangor Raja School pada tahun 1890. Selangor Raja School telah ditubuhkan sebagai langkah melahirkan elit Melayu daripada kalangan putera-putera raja dan anakanak pembesar negeri, menerusi pendidikan aliran Inggeris. Namun Selangor Raja School hanya bertahan beberapa tahun sahaja, kerana pada tahun 1894, sekolah ini telah ditutup bagi tujuan pengubahsuaian dan kemudian dilahirkan semula dalam bentuk yang baharu pada tahun 1905 yang dikenali sebagai Malay Residential School (kini dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar—MCKK).
Reviews
There are no reviews yet