Out of stock

Syair-Syair Melayu Riau

ABU HASSAN SHAM adalah Profesor Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya.

Perpustakaan Negara Malaysia (Cetakan Pertama, 1995)
373 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM25.00

Out of stock

Syair-Syair Melayu Riau menyingkap perkembangan syair-syair Pulau Penyengat dan Pulau-pulau Riau pada era Kesultanan Melayu Riau. Bermula dengan menyorot kegiatan awal penulisan dan kepengarangan syair Melayu Riau; sumbangan pemerintah dalam kegiatan kesusasteraan di Riau; perkembangan pendidikan serta perkembangan tarekat, karya ini membuat pengkajian yang mendalam terhadap syair-syair agama di Riau khususnya Kitab al-Nikah. Kupasan yang mendalam terhadap isi kitab ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami tafsiran masyarakat Melayu abad lalu dalam hal-hal nikah kahwin termasuk soal rukun nikah, kufu, maskahwin, walimah, qismah dan nusyuz, talak, iddah dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan, karya ini turut menyorot bakat besar pengarang Raja Ali Haji.

Pada zaman Kesultanan Melayu Riau, Penyengat telah melahirkan beberapa orang tokoh pengarang dan sebahagian besar karya mereka adalah dalam bentuk syair. Syair itu pula dapat digolongkan ke dalam tiga kategori utama iaitu agama, sejarah dan fiksyen. Akan tetapi tumpuan khusus diberikan kepada syair-syair agama karya Raja Ali Haji khasnya Syair Kitāb al-Nikāh.

Syair-syair agama di Riau memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat. Hal ini disebabkan pembesarnya terutama sekali Yang Dipertuan Mudanya semuanya patuh beragama. Keadaan ini jelas dilihat kepada tiga orang Yang Dipertuan Muda Riau terakhir iaitu Raja Ali, Raja Abdullah, dan Raja Muhammad Yusuf. Akan tetapi ketiga-tiganya tidak melahirkan puisi-puisi agama untuk mencerminkan rasa hati mereka. Hanya penasihat mereka yang melahirkan karya-karya yang berbentuk demikian. Apa yang paling menonjol ialah Raja Ali Haji yang pernah menjadi Penasihat kepada Raja Ali dan Raja Abdullah. Jadi dalam kerangka inilah syair-syair Riau ini ditinjau iaitu berdasarkan syair-syair agama Raja Ali Haji dengan menumpukan perhatian khusus kepada Syair Kitāb al-Nikāh dengan membandingkan dengan lain-lain syair agama Raja Ali Haji dan syair-syair lain di Riau jika dirasakan perlu.

Dengan mengkaji Syair Kitāb al-Nikāh kita dapat melihat bukan sahaja dari sudut isi dan perubahan sesuatu teks pada zaman-zaman yang berbeza. Kita juga dapat melihat corak penyampaian syair tersebut kepada pembaca. Dari segi isi kita dapat melihat bahawa syair ini tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam mengikut Mazhab Syafie. Beberapa ayat Quran dan hadith dikemukakan untuk menyokong hujah ini. Rujukan utama yang penulis gunakan ialah karya Peunoh Daly, Perkahwinan Islam, Mahmud Junus, Hukum Perkahwinan Dalam Islam, al-Ustaz H. Idris Ahmad, S.H., Fiqh Syafi’i, Jilid II dan lain-lain karya fikah berbahasa Melayu/Indonesia.

Selain dari itu beberapa kitab Jawi karangan ulama silam seperti Mir’ at al-Tullāb dan karya-karya Syeikh Daud seperti Idāh al-Bāb, al-Jawāhir al-Saniyyah dan lain-lain juga digunakan. Dari segi perbandingan teks kita dapat melihat perubahan yang berlaku pada teks Syair Kitāb al-Nikāh ini dalam penerbitan yang berbeza zaman. Bertambah muda usia teks ini maka bertambah banyak tambahan rangkap yang dibuat.

Corak penyampaian Raja Ali Haji baik dilihat dari segi prosodi, rima, diksi mahupun gaya bahasa memperlihatkan keahlian beliau memanipulasikan bahasa untuk memberi kesan yang optimum kepada pembaca.

Matlamat lain ialah untuk meninjau kedudukan teks Syair Kitāb al-Nikāh di kalangan karya-karya Raja Ali Haji yang lain. Tinjauan sepintas lalu terhadap kesemua syair-syair di Riau terdapat dalam Bab I iaitu disamping meninjau faktor pertumbuhan syair-syair di Penyengat pada keseluruhannya.

Weight0.564 kg
Dimensions22.8 × 15.1 × 2.1 cm
Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.