Teknologi Warisan Alam Melayu memerihalkan aspek penting bidang sosiobudaya dan teknologi alam Melayu yang dibahagi kepada tiga tema utama, iaitu teknologi, bandar dan sosioekonomi, dan seni bina warisan. Penempatan dan bandar tradisional adalah aset reka bentuk dan teknologi pembangunan penting yang mempunyai nilai keistimewaan dari sudut sejarah, adat, budaya dan seni bina yang berupaya membangunkan identiti sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara. Namun, kecenderungan semasa dalam pembangunan dan pertumbuhan bandar baru di Malaysia merupakan faktor yang melenyapkan reka bentuk fizikal penempatan tradisional yang menyimpan pelbagai khazanah warisan budaya dan teknologi Alam Melayu.
Namun demikian, pendedahan terhadap fungsi landskap budaya yang merangkumi aspek manusia sebagai pelaku dan persekitaran sebagai platform dan kebijakan ahli dan kelestarian sosial terbentuk masih kekurangan hingga saat ini. Pengabaian ilmu homogenisasi budaya dan teknologi vernakular Melayu yang beterusan telah mengakibatkan warisan sedia ada sedang melalui fasa keusangan dan hakisan ilmu kearifan tempatan yang serius. Walaupun terdapat kesedaran dalam pemuliharaan tapak warisan di Malaysia sejak tahun 2008 berikutan pengisytiharan Melaka Bandaraya bersejarah dan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO, namun usaha penerbitan yang memerihalkan aspek kualiti yang dimiliki serta pemuliharaan hanya tertumpu kepada pemuliharaan bangunan dengan pemilihan aset terbaik bangunan kolonial tanpa memberi penekanan kepada pemuliharaan warisan ketara di Alam Melayu yang sememangnya terbukti memainkan peranan besar dalam pembangunan sosial dan budaya.
Malah, dalam banyak kajian terdahulu menyatakan bahawa polisi pemuliharaan warisan di Malaysia tidak menyenaraikan pemuliharaan terhadap tapak warisan landskap budaya. Akibatnya, sesebuah lokaliti perlahan-lahan akan kehilangan nilai kelestarian sosial dan budaya sekiranya landskap fizikal tidak dipelihara. Memandang berat terhadap cabaran dan isu yang dinyatakan, buku ini memerihalkan aspek penting bidang sosio-budaya dan teknologi alam Melayu yang dibahagi kepada dua tema utama, iaitu (i) sosioekonomi dan landskap budaya di penempatan Melayu; dan (ii) perbandaran dan seni bina alam Melayu. Setiap bab mempunyai latar dan skop pelbagai yang mencakupi aspek sejarah dan perkembangan terkini yang terkait dengan amalan harian dan usaha penting dalam memajukan masyarakat Melayu di Malaysia.
Seiring dengan perkembangan pembangunan lestari yang diangkat sebagai satu indikator penting dalam perancangan dan pembangunan semasa, penulisan buku yang merupakan hasil dapatan daripada geran dalam negara dan universiti dilihat berupaya menjadi rujukan dalam mendepani isu dan cabaran yang berlaku di penempatan dan bandar tradisional di Malaysia. Kompilasi ilmu berguna tentang pencapaian teknologi dan warisan bermula sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka ini dilihat selari dengan usaha kerajaan dalam mencapai pelbagai dasar negara yang terkait dengan pembangunan fizikal dan pemerkasaan modal insan. Selain itu, setiap dapatan yang dipersembahkan turut berpotensi diangkat sebagai salah satu sumbangan dalam merealisasikan aspirasi negara bagi mengukuhkan daya huni penduduk bandar dan desa terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Reviews
There are no reviews yet