Malaysia dan Jepun: Perspektif Sejarah, Politik, Ekonomi dan Sosiobudaya memberi jawapannya dengan menggabungkan kajian-kajian berkaitan hubungan antara kedua-dua buah negara yang telah berlangsung sejak beratus-ratus tahun dahulu. Pelbagai perspektif telah dianalisis dan diterjemah dalam buku yang bertajuk Malaysia dan Jepun: Perspektif, Sejarah, Politik, Ekonomi dan Sosiobudaya. Buku yang memuatkan sembilan artikel ini adalah kombinasi kajian oleh pakar-pakar pengajian Jepun dari Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan. Buku ini sarat dengan maklumat terkini, dianalisis secara kritikal dan diolah dalam bahasa yang mudah difahami. Diharapkan dengan penerbitan buku ini dapat dijadikan rujukan penting dan menambah pemahaman kepada mereka yang dahagakan pengetahuan terutamanya dalam hubungan Malaysia-Jepun.
Kumpulan artikel ini membincangkan perspektif sejarah perhubungan kedua-dua buah negara yang bermula dari migrasi nelayan Ryukyu ke Tanah Melayu, imigran Jepun di Sabah tahun 1880-1942 dan kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu kepada kesedaran nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Turut termuat adalah dari perspektif sosiobudaya yang mengangkat tema difusi budaya popular Jepun di Malaysia. Manakala bab kelima hingga terakhir bertemakan politik dan ekonomi. Bab kelima mendedahkan tentang jatuh bangun parti politik pemerintah Jepun yang boleh dijadikan pengajaran kepada Malaysia. Penulis-penulis turut menyentuh perihal Bantuan Pembangunan Rasmi Jepun (ODA), eksport Malaysia ke Jepun 1980-2105, peranan Malaysia dan Jepun dalam proses regionalisme Asia Timur dan perihal Keselamatan Insan dan dasar luar Jepun yang menjadikan kajian kes Grant Assistance for Grass-Roots Human Security Projects di Sabah.
Reviews
There are no reviews yet