Anak Titiwangsa merupakan sebuah karya fiksyen oleh Sasterawan Negara Keris Mas yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1967. Keris Mas melalui novel Anak Titiwangsa membawa pembaca menghayati kisah perjalanan hidup seorang anak remaja yang sedang giat tumbuh membesar dalam mengenal erti kehidupan yang sebenarnya. Sudin dan Karim adalah dua orang rakan karib. Dari kampung yang sama, membesar dan melakukan aktiviti berdua sehingga mereka menjadi akrab. Namun keduanya mengalami nasib yang berbeza.
Sudin digambarkan sebagai seorang anak muda yang memiliki cita-cita dan impian yang besar, iaitu untuk menjadi seorang petani moden seperti idolanya, Francisco Rabat. Tetapi berlainan pula dengan Karim. Kehidupannya tidak menentu. Perpindahannya ke ibu kota telah mengakibatkan jalan hidupnya berliku dan kerana tidak mampu untuk melawan godaan-godaan di Kuala Lumpur itu, maka dia terus tersesat dengan arus kemaksiatan dan jenayah.
Kedua orang sahabat itu pun menjalani dan mendepani lorong kehidupan yang berbeza. Sudin lebih bernasib baik kerana dia tinggal bersama dengan pak ciknya di Kuala Lumpur. Yang mana dengan adanya pak ciknya itu, telah menjadikan Sudin seorang yang berdisiplin, dan menjadi orang baik-baik.
Karim pula, kerana tersalah memilih kawan dia terus-menerus melakukan jenayah dan kehidupannya sering tidak tenang dengan setiap dosa yang telah dilakukannya itu.
Melalui Anak Titiwangsa, Keris Mas menunjukkan sebab dan akibat mengapa soal pemilihan kawan itu menjadi sangat penting dalam hal mendidik diri kita sendiri untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Mesej yang cuba disampaikan Keris Mas melalui novel ini cukup mudah untuk difahami. Penceritaannya begitu langsung tanpa perlu untuk pembaca menyelak-nyelak lapisan kulit untuk mengerti perkara isi yang cuba disampaikan penulisnya. Betapa peri pentingnya untuk kita mencari dan memilih kawan yang baik akhlaknya, yang akan membawa kita bersama ke arah kebaikan itu. Peranan ibu bapa juga harus dimainkan dalam memastikan dengan siapa anak-anaknya sering bermain, berkeliaran.
Selain daripada itu, novel ini juga menarik kerana Keris Mas seorang sasterawan yang bijak bermain dengan mata penanya. Meliuk-liuk madah sehingga terkesan oleh pembaca. Karim yang sudah jauh tersasar dengan segala kejahatan yang dilakukan itu telah menghilangkan diri di Kuala Lumpur sehingga mengakibatkan kebimbangan kepada ahli keluarganya. Dan Sudin sebagai seorang rakan yang akrab, telah mengorbankan masa dan tenaganya berusaha untuk mencari Karim sehingga berjumpa dan membawanya kembali ke pangkal jalan dan menjalani hidupnya yang masih muda sebagai seorang manusia yang berguna.
Sepanjang pencarian Sudin itulah dia telah banyak belajar dari keragaman kehidupan orang-orang yang ditemuinya. Dia menjadi dewasa dan matang dengan pengalaman hidupnya itu.
Reviews
There are no reviews yet