Bunga Rampai Alam Melayu (Siri 2) adalah koleksi pelbagai hasil kajian pelbagai bidang ilmu Alam Melayu hasil usaha Institut Alam Dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk disampaikan kepada masyarakat Alam Melayu dewasa ini. Usaha carigali ini memberi garis panduan jatidiri bangsa dan kehidupan, dan seterusnya melanjutkan pengembangan acuan pemikiran Tamadun Alam Melayu.
Alam Melayu memiliki banyak khazanah yang perlu dikaji. Selain dari Bahasa Melayu, terdapat pelbagai disiplin ilmu yang perlu diterokai. Terdapat pelbagai usaha dalam melakukan penyelidikan oleh Kerajaan Malaysia dan kerajaan lain serta badan antarabangsa, seperti UNESCO untuk mendokumen, memulihara dan mengkaji khazanah ilmu Alam Melayu tersebut, usaha masih tidak memadai oleh kerana ia memakan masa serta melibatkan kos yang tinggi dan tenaga mahir yang ramai.
Dalam “Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah Malaysia: Sejarah dan Organisasi”, kajian membincangkan mengenai tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah di Malaysia dari segi sejarah dan organisasinya. Kajian ini meliputi asas ajaran utama disiplin ilmu tarekat rohani, iaitu cara mempelajarinya dan juga kaedah asas pengamalannya. Tujuan kajian ini adalah mengemukakan panduan kepada para peminat secara umum dan pengamal tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah di seluruh Alam Melayu secara khusus terhadap aliran perjalanan (tarekat) rohani ini.
Seterusnya, dalam “Suku Penan Muslim di Tanjung Belipat: Aspek Identiti dan Penghayatan Agama”, pengkaji menelusuri asal usul suku Penan Muslim dan menerangkan beberapa terminologi yang mengelirukan tentang “Penan” di Sarawak. Susulan itu, perbincangan tertumpu pada identiti etnisiti mereka setelah memeluk agama Islam. Satu bahagian khusus juga diagihkan untuk membincangkan penghayatan agama di salah sebuah kampung Penan Muslim, iaitu Kampung Tanjung Belipat. Kesemua hasil kajian ini dilakukan dengan metodologi wawancara bersemuka dengan tokoh tempatan yang diakui mewakili komuniti.
Perbincangan dalam “Tarjuman Al-Mustafid Tafsir Syeikh Abdul Rauf Al-Singkili, Murshid Tarekat Syattariyyah Alam Melayu” menelusuri tafsir bahasa Melayu pertama, iaitu Tarjuman al-Mustajid karya agung Syeikh Abdul Rauf Singkel, mufti (Qadi al-Malik al-Adil) sekaligus mursyid tarekat Syattariyah dari abad ke-l7. Ketika kitab ini ditulis, Kerajaan Aceh Darussalam sedang dilanda krisis politik tentang wanita sebagai pemimpin dan polemik ulama terhadap wujudiyyah. Pergolakan ini telah melibatkan seluruh rakyat Aceh dan juga kerajaan-kerajaan Melayu naungannya.
Dalam bab “Zawiyah Tanoh Abee dalam Kenangan”, kajian menelusuri sebuah institusi ilmu yang bernama Zawiyah Tanoh Abee, terletak di Kecamatan Seulimeum, Aceh Besar, iaitu kira-kira 11 Kilometer dari Banda Aceh dalam perjalanan menuju ke kota Medan, Sumatera Utara. Zawiyah Tanoh Abee ini dibina dari abad ke 17 Masihi dan aktif memainkan peranan dan memberi sumbangan kepada masyarakat sampai ke dewasa ini. Perbincangan ini menemukan pelbagai cabaran dan tentangan dilalui oleh Zawiyah Tanoh Abee dalam sejarah. Kini pemegang amanah sanad telah diberikan kepada orang luar daripada jurai keturunan al-Farusi.
Sebagai titik permulaan usaha di atas, Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia turut memberi tumpuan lebih banyak kepada penyelidikan pelbagai bidang manuskrip, seperti yang boleh dinikmati oleh pembaca menerusi Bunga Rampai Alam Melayu (Siri 2).
Reviews
There are no reviews yet