Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi

MOHAMAD RASHIDI PAKRI berkelulusan dari Universiti Wisconsin, Milwaukee, Amerika Syarikat. Beliau telah menyambung pengajiannya pada peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Malaya. Kini, beliau berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang sejarah kolonial dan sastera. Antara buku terkini beliau adalah The Fiction of Colonial Malaya (2014) terbitan Penerbit USM.

NIK HASLINDA NIK HUSSAIN merupakan pensyarah kanan dalam bidang sejarah di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau berkelulusan Sarjana Sejarah Sosioekonomi (Pembangunan Tanah) dari USM dan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sejarah sosioekonomi (hak milik tanah) oleh Universiti Malaya pada tahun 2006.

Senarai penulis:
AZIZAN TALIB
MOHD. ZAMBERI A. MALEK
ROSLELAWATI ABDULLAH

Penerbit USM (Cetakan pertama, 2017)
184 halaman, termasuk Indeks

RM34.00

Only 1 left in stock

Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi membawa pembaca menelusuri sejarah perlombongan bijih timah dan sosioekonomi Klian Intan pada tahun 1900-an, dan perkembangan ekonomi di kawasan tersebut. Tatkala pengguna Lebuh Raya Timur Barat melepasi pekan kecil bernama Klian Intan, Perak sekitar tahun 1970-an hingga awal tahun 1980-an, mereka tentunya terpegun dengan pemandangan sekitar Gunung Paku yang dihiasi aktiviti pergerakan bucket yang mengandungi bijih timah bergerak di atas aerial ropeway. Pergerakan aerial ropeway tersebut, iaitu kira-kira 100 meter di udara merentasi lebuh raya berkenaan untuk ke kilang pemprosesan yang terletak di seberang jalan.

Walau bagaimanapun sekitar tahun 1982, aerial ropeway ini telah dirobohkan oleh pihak pengurusan Rahman Hydraulic Tin Sendirian Berhad atas faktor keselamatan dan proses mengangkut bijih timah untuk diproses digantikan dengan penggunaan lori dan jentolak hinggalah ke hari ini.

Namun begitu, pekan kecil ini tetap mempunyai sejarah uniknya yang tersendiri. Bab-bab di dalam buku ini cuba menghimpunkan hampir kesemua kisah dalam lipatan sejarah Klian Intan seawal abad ke-16 bermula dari kawasan ini terkenal dengan perlombongan bijih timah hinggalah ke era pemerintahan Inggeris yang telah berjaya meletakkannya sebagai sebahagian daripada daerah di dalam kawasan Utara Perak. Pada awalnya, daerah ini pernah menjadi sebahagian daripada taklukan kerajaan Patani dan Siam. Walau bagaimanapun, ia jatuh ke tangan Inggeris setelah termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909.

Justeru, seluruh perjalanan cerita Klian Intan ini akan diungkapkan satu persatu menerusi Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi dalam setiap bab bermula dengan asal kewujudan daerah Klian Intan hinggalah ke zaman pemerintahan Jepun dan akhirnya jatuh semula ke tangan Inggeris. Dalam bab ‘Industri Bijih Timah’, Roslelawati Abdullah menyoroti semula asal usul kewujudan nama Klian Intan dan seterusnya perbincangan akan ditumpukan kepada sejarah perlombongan di kawasan tersebut dengan mendedahkan kepada pembaca mengenai penubuhan syarikat Rahman Hydraulic Tin Limited (RHTL) yang menjadi tonggak utama kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Perak.

Dalam bab seterusnya, Mohd. Zamberi A. Malek akan menyingkap saat kegemilangan dan kejatuhan Klian Intan di persada dunia. Disebabkan Klian Intan mempunyai sumber galian yang bernilai tinggi yang masih belum diterokai, ia telah menarik minat banyak pihak untuk menguasai daerah tersebut, khususnya Patani. Patani melihat bahawa kekayaan bijih timah di daerah tersebut akan memberikan masa hadapan yang cerah kepada negara mereka sekiranya tempat tersebut di miliki oleh mereka sepenuhnya. Lantaran itu, wujud pertikaian antara kerajaan Patani dengan Perak sehingga meletusnya beberapa siri peperangan untuk membolot kekayaan hasil bumi di kawasan berkenaan. Pertikaian antara kedua-dua buah kerajaan tersebut telah membuka peluang kepada pihak British yang sudah lama mencari peluang untuk campur tangan dalam pentadbiran politik di Tanah Melayu. Kerumitan ini akhirnya diselesaikan apabila Perak jatuh ke tangan British dan peluasan kawasan sempadan telah dilaksanakan dengan lebih sistematik. Segala percaturan yang dinyatakan ini akan diungkapkan dalam bab ‘Pertikaian Kawasan Perlombongan di Hulu Perak.’

Seterusnya, Nik Haslinda Nik Hussain dan Azizan Talib dalam tulisan mereka yang bertajuk ‘Evolusi dan Perubahan Sosioekonomi’ akan meneruskan rentetan pengkisahan daerah kecil ini dengan membongkarkan evolusi sosioekonomi di daerah tersebut pada zaman pendudukan Jepun. Syarikat Rahman Hydraulic Tin Limited yang pada masa itu merupakan sumber rezeki bagi penduduk sekitar Perak mula merosot setelah Jepun menguasai Tanah Melayu sekitar tahun 1942 hingga 1945. Jumlah pengeluaran bijih timah semakin menurun ekoran daripada kebanyakan pekerjanya mula melarikan diri kerana bimbang keselamatan mereka terancam. Disebabkan Jepun kurang berpengalaman dalam mengendalikan syarikat perlombongan, maka pengeluaran bijih timah tidak dapat diuruskan sebaik mungkin. Penduduk mula beralih kepada aktiviti penanaman padi bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka yang kian terdesak. Namun begitu selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu tamat, perusahaan perlombongan bijih timah mula dipulihkan semula.

Pada masa tersebut, penduduk tempatan kembali bekerja di lombong RHTL yang bukan sahaja membabitkan penduduk Cina, malah lebih menarik lagi apabila orang-orang Melayu turut berminat menyertai perusahaan perlombongan di situ. Atas kecekapan British mengendalikan perusahaan perlombongan tersebut, akhirnya syarikat tersebut berjaya dibangunkan semula.

Nik Haslinda Nik Hussain dan Azizan Talib dalam tulisan mereka yang bertajuk ‘Perkembangan Sosial di Rahman Hydraulic Tin Limited, Klian Intan’ akan meneruskan rentetan pengkisahan daerah kecil ini dan evolusi sosioekonomi di daerah tersebut dalam tempoh 1909 hinggalah 1957.

Syarikat RHTL yang pada masa itu merupakan sumber rezeki bagi penduduk sekitar Perak telah memainkan peranannya dengan melakukan pelbagai pembaharuan daripada aspek sosial yang meliputi konteks pendidikan, kesihatan, kemudahan sistem perhubungan dan infrastruktur. Segala pembaharuan yang telah diusahakan ini ternyata telah membawa perubahan besar kepada masyarakat yang tinggal di Klian Intan khasnya dan masyarakat di sekitarnya secara amnya. Malah, usaha ini merupakan satu inisiatif yang berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan berkenaan ke arah yang lebih baik.

Seterusnya bab ‘Personaliti Sejarah’ yang ditulis oleh Mohamad Rashidi Pakri akan mendedahkan kepada pembaca kisah sebenar personaliti tempatan yang terselindung di sebalik turun naik perusahaan perlombongan di Klian Intan yang selama ini tidak diketahui umum. Sememangnya sejarah menyaksikan kehebatan British menggerakkan kemajuan perusahaan lombong tersebut, namun di sebalik kejayaan itu wujud watak bisu yang selama ini tidak diangkat kehadirannya dalam mana-mana tulisan. Justeru, penulisan ini akan mendedahkan secara langsung tentang peranan penting yang telah dimainkan oleh watak tersebut dalam mengangkat Syarikat RHTL hingga terkenal di persada antarabangsa.

Bab seterusnya daripada penulis yang sama, iaitu Mohamad Rashidi Pakri menjadi penutup kepada pengkisahan daerah Klian Intan yang telah melalui peta sejarah yang panjang dan penuh berliku telah dicitrakan kembali dalam ‘Sketsa Kehidupan Masyarakat Kampung di ‘Kawasan Hitam’ Utara Scmenanjung.’ Pengkisahan ini secara implisitnya akan merungkai segala kepahitan yang membelenggu kehidupan masyarakat setempat yang begitu tragis dalam meniti hidup pada zaman komunis. Kesusahan hidup, keluh kesah dan kemiskinan yang tiada penghujungnya sering melewati kehidupan mereka sejak sekian lama. Malah lebih malang lagi apabila ada dalam kalangan keluarga mereka yang terkorban sewaktu peperangan antara komunis dan askar Melayu. Ikuti kesudahan kisah ini dalam bab terakhir Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.308 kg
Dimensions 24 × 16.5 × 1.5 cm
Edition

Format

ISBN

9789674611415

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Klian Intan: Perlombongan Bijih Timah dan Perkembangan Sosioekonomi”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.