Pabila Hujan Turun

SHAHNON AHMAD (13 Januari 1933 – 26 Disember 2017) adalah seorang penulis Malaysia yang mendapat gelaran Sasterawan Negara pada 1982 serta merupakan bekas Ahli Parlimen. Beliau juga merupakan seorang Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

DBP (Cetakan Pertama 2015)
312 halaman

RM25.00

In stock

Pabila Hujan Turun adalah himpunan tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam kolum Dewan Sastera yang tersiar sejak Januari 2005 hingga Januari 2009. Tulisan-tulisan ini mengisi ruang pendek yang memuatkan sisi-sisi pemikiran Shahnon Ahmad baik dalam menanggapi dunia kepengarangan beliau mahupun dunia kesusasteraan tempatan dan sejagat.

Kata-kata boleh diumpamakan seperti sungai ceper atau seperti bilah-bilah hujan yang turun menghujani bumi. Ia memberikan pelbagai cerita sekaligus mewarnai kehidupan manusia. Seperti sungai, seperti hujan, malah seperti embun mengalir, mencurah dan melekat dalam jiwa dan pemikiran pembaca. Shahnon menjadikan kata-kata adalah kehidupan itu sendiri; yang bernafas, mengalir seperti darah yang dipamkan dari jantung dan berdenyut seperti nadi yang menandakan hidup manusia.

Dalam ruangan ini, Shahnon menghidupkan sebuah dunia kepengarangan yang dipenuhi liku pengalaman hidup, pemikiran dan sejarah dunia kesusasteraan yang luas melangkaui sempadan politik serta geografi. Adakala Shahnon melihat kehidupan seperti dipenjara oleh hujan yang turun seperti batang-batang lembing menjunam menikam belulang bumi dan memenjarakan kehidupan manusia.

Adakala Shahnon melihat kehidupan seperti urutan kisah yang sulit seperti sungai ceper yang berliku-liku tidak kesampaian tiba di kuala kerana tersekat oleh lumpur dan sampah sarap yang membaluti ceper.

Adakala Shahnon melihat kehidupan adalah kesementaraan seperti embun yang menggerapal di pinggir daun dan tiba-tiba pergi tanpa kesan. Kiasan dan lambang-Iambang yang diberikan Shahnon Ahmad tidak lain daripada memaknakan kehidupan manusia yang tertakluk kepada kuasa Allah Azza Wa Jalla.

Pabila Hujan Turun bukan sahaja memuatkan pengalaman dan pemerhatian Shahnon Ahmad dalam melihat kehidupan yang dipenuhi lambang dan tanda; tetapi juga menghuraikan aliran dan gerakan kesusasteraan dunia yang mencorakkan sejarah. Maka ia menggabungkan sebelah tubuh Shahnon Ahmad sebagai sasterawan dan manakala sebelah tubuh lagi sebagai sarjana, seniman dan pemikir.

Pergerakan sastera tempatan dari ASAS 50 sehingga persoalan antara novel pop dan novel sastera dihurai untuk mencari makna inti pati sastera tempatan. Shahnon turut melihat dunia sastera yang besar dan luas dengan huraian tentang pergerakan sastera dunia dari sejarah anugerah-anugerah sastera sehingga kebangkitan aliran-aliran dan gerakan sastera dunia yang menjadi inti pati sastera dunia hari ini.

Kebangkitan generasi “boom” di Amerika Latin, Nouveau Roman di Perancis, Generation 1898 di Sepanyol, Chicago Literary Renaissance di Amerika Syarikat, Angry Young Man, Beat Genaration, Angkatan 45, Angkatan 66, ASAS 50 ditelusuri oleh Shahnon Ahmad dalam melihat warna jagat sastera. Tidak ketinggalan, Shahnon membicarakan isme-isme pemikiran termasuk yang dikemukakan Rene Descartes, Francis Beacon, Thomas Hobbes, Kant, Heidegger, Hegel, Nietzsche, Freud, Sartre dan sebagainya.

Menerusi Pabila Hujan Turun, Shahnon kemudian melihat kedirian karya sastera yang terisi oleh “agon” iaitu perlawanan atau pertarungan yang ditelusuri bukan sahaja dalam karya klasik seperti Mahabharata, Odyssey, Sohrab dan Rustum, atau Hikayat Hang Tuah tetapi juga dalam karya-karya besar dunia; One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez, The Old Man and the Sea oleh Ernest Hemingway sehinggalah kepada Seorang Tua di Kaki Gunung oleh Azizi Hj Abdullah. “Agon” bukan sahaja pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan, tetapi juga antara kebenaran dengan kebenaran dan kepalsuan dengan kepalsuan.

Sebuah metafora kehidupan yang menarik diangkat oleh Shahnon daripada karya Richard Bach berjudul Jonathan Livingston Seagull, tentang burung camar yang percaya hidup hanya untuk makan dan hanya mampu terbang rendah tanpa mempunyai cita-cita untuk menjelajah angkasa yang maha tinggi. Namun kemunculan Jonathan si burung camar yang percaya bahawa hidup adalah lebih daripada kebiasaan. Kisah ini diasosiasi dengan kehidupan menerusi Pabila Hujan Turun oleh Shahnon untuk melihat makna dan pengertian kehidupan di bumi Allah Azza Wa Jalla.

Metafora kehidupan yang dipenuhi lambang tersirat juga dapat dilihat pada perjuangan Santiago, si nelayan tua yang sebatang kara di tengah lautan berhempas-pulas untuk menarik ikan ke daratan yang akhirnya hanya berupa sisa-sisa yang dimakan jerung. The Old Man and the Sea oleh Ernest Hemingway pemenang Hadiah Nobel pada tahun 1954 juga adalah metafora kehidupan yang dihurai oleh Shahnon dengan penuh kesedaran tentang kehidupan. Begitu juga pencerobohan masuk Marlow ke dalam kegelapan rimba Afrika, sekaligus menyirat makna pencerobohan ke dalam kegelapan jantung insan yang diwakili oleh watak Kurtz dalam novel Heart of Darkness oleh Joseph Conrad.

Semua cerita ini memberi metafora kehidupan yang penuh siratan makna untuk ditelusuri. Dalam menjelajah kesusasteraan dunia yang luas, Shahnon tidak lupa kepada teman-teman beliau yang membentuk tubuh sastera tempatan. Gelora daripada buah tangan Arena Wati dilihat setara dengan karya dunia dalam memperlihatkan perjuangan manusia di dunia lautan. Begitu juga dengan Azizi Hj Abdullah yang dilihat Shahnon dalam karya Seorang Tua di Kaki Gunung adalah sekuat The Old Man and the Sea.

Sasterawan yang banyak diulas oleh Shahnon ialah A. Samad Said, teman sastera dua tahun lebih muda daripada beliau yang sentiasa menghadiahi buku-buku kepadanya. Menurut Shahnon dua buah buku yang dihadiahkan oleh A. Samad Said tanpa sedar telah begitu hebat mempengaruhi daya cipta beliau. Pertama buku berkenaan “The Angry Young Man” tulisan John Osborne tentang ‘orang muda marah-marah’ telah menjadikan sebahagian besar karya beliau sejak awal 60-an dipengaruhi oleh keradangan dan keberangan, umpamanya Patriarch, Igauan, Seluang Menodak Baung, Shit, Tunggul-tunggul Gerigis, Muntah dan sebagainya.

Buku kedua yang dihadiahi A. Samad Said ialah As I Lay Dying oleh William Faulkner, pemenang Hadiah Nobel tahun 1949, yang dimanfaatkan oleh Shahnon untuk menulis novel Tok Guru, terutama teknik langgam penceritaannya. Akhir sekali Shahnon memuji buku Al-Amin tulisan A. Samad Said yang dilihat oleh Shahnon sebagai antara karya agung A. Samad Said; yang menceritakan tentang riwayat hidup Rasulullah SAW dalam bentuk puisi yang panjang. Bagi Shahnon sesuatu yang unik tentang A. Samad Said ialah gaya bahasanya, yang bukan sekadar tersurat dan tersirat tetapi mempunyai aras makna dan ungkapan yang berlapisan tindih-menindih; umpamanya dalam novel Daerah Zeni dan Cinta Fansuri.

Pabila Hujan Turun juga adalah nostalgia kaya seorang sasterawan yang puluhan tahun bergelumang dalam dunia kesusasteraan. Sungai Ceper juga adalah kenangan Shahnon kepada arwah ibunya; menceritakan cerpen beliau “Ibu dan Ceper“, di dalamnya Shahnon bernostalgia mengingati kembali kasih sayang dan cintanya kepada ibu. “Embun” pula menjadi gerbang nostalgia Shahnon kepada suasana kampungnya di tanah berbukit dan bergunung dengan pokok-pokok merimbun.

Kenangan-kenangan ini segera mengingatkan kita tentang kehidupan dunia yang sementara; kesementaraan yang menjadi persoalan penting, kesementaraan yang menjadi juzuk yang bakal ditempuhi semua. Dunia ini hanya sementara sahaja, sekadar tempat untuk bermain dan berolok-olok serta beruji-uji sesama manusia. Ketika hujan turun, Shahnon terasa seperti terpenjara dalam teratak tuanya bagaikan terkurung dalam penjara lembing-lembing hujan yang menjunam turun.

Ketika itu beliau terkenang kepada Kampung Banggul Derdap; sekaligus bernostalgia tentang Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) yang ditulisnya ketika berusia 32 tahun. RSJ pernah dikatakan oleh Kassim Ahmad, seorang kawan yang sama-sama bersekolah pada tahun 1947; sebagai novel yang pelik dan ganjil, yang tidak masuk akal, yang luar biasa dan jauh larinya daripada gambaran realiti masyarakat.

Setelah 40 tahun Shahnon kembali memikirkan apa yang dikatakan oleh Kassim Ahmad. Shahnon kemudian mengembalikan zaman awal penulisan beliau pada hujung tahun 1950-an. Cerpen pertama Shahnon berjudul “Kawan-kawan dan Pangkat-pangkat” tersiar di Utusan Zaman pada 6 April 1958. Ketika itu Utusan Zaman dan kebanyakan media yang menyiarkan tulisan sastera di bawah tokoh-tokoh ASAS 50 yang memperjuangkan ‘Seni untuk Masyarakat’. Mereka menggunakan cerpen, sajak, drama dan novel untuk memperjuangkan nasib rakyat bawahan dan mengkritik golongan yang dianggap sebagai “borjuis”.

Sebuah lagi cerpen awal Shahnon iaitu “Borang G. 147” tersiar di Utusan Pemuda pada 15 Oktober 1960 yang mengkritik karenah birokrasi yang menyakitkan hati. Nostalgia ini muncul sebagai cerita-cerita yang segar dalam Pabila Hujan Turun.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.410 kg
Dimensions 13.9 × 1.8 × 21.4 cm
Edition

Format

ISBN

9789834617332

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Pabila Hujan Turun”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You may also like…