Sejarah Johor

BUYONG ADIL (1907–1976) adalah sejarawan dan guru yang bertugas di Maktab Perguruan Sultan Idris sekitar tahun 1930-an. Beliau menghasilkan Sejarah Alam Melayu Penggal IV dan Penggal V, dan menjadi buku teks di sekolah-sekolah Melayu sebelum merdeka.

DBP (Edisi semakan, 2020)
424 halaman termasuk Indeks dan Bibliografi

Siri Sejarah Nusantara

RM45.00

In stock

ISBN: 9789834922405 Product ID: 21933 Subject: Sub-subjects: , ,

Sejarah Johor ialah sebuah buku sejarah karya Buyong Adil yang pertama daripada Siri Sejarah Nusantara. Dalam kebanyakan sejarah Semenanjung Tanah Melayu yang telah ditulis, terutama yang telah ditulis oleh orang-orang Barat, apabila Kerajaan Melayu Melaka jatuh ke tangan orang-orang Portugis (pada tahun 1511) hingga kepada masa Melaka diambil pula oleh orang-orang Belanda (pada tahun 1641), sejarah Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu biasa disebut sejarah “Zaman Portugis”. Padahal, yang sebenarnya pada masa itu bukanlah orang-orang Portugis yang telah mengambil bahagian utama dalam peristiwa-peristiwa bersejarah di negeri-negeri Melayu; hanya Melaka itu sahajalah yang telah dapat ditakluki oleh orang-orang Portugis; lain-lain negeri di Semenanjung Tanah Melayu masih dalam perintah Raja-raja Melayu, dan orang-orang Melayu-lah yang telah memainkan peranan utama dalam negeri mereka sendiri.

Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang telah dikalahkan oleh orang-orang Portugis itu pun, setelah baginda keluar meninggalkan Melaka, baginda telah berkerajaan pula di negeri Johor (1511-1528); baginda bersemayam di Pagoh (dalam daerah Muar), di Bentan dan akhirnya baginda pindah ke Kampar (di Sumatera) lalu mangkat di sana (1528). Pada masa Sultan Mahmud Shah berkerajaan di negeri Johor itu, tidak putus-putus orang Portugis yang memerintah di Melaka terancam oleh serangan-serangan daripada angkatan perang Sultan Mahmud yang selalunya dibantu pula oleh angkatan-angkatan perang dari lain-lain negeri Melayu yang telah mencuba hendak mengambil balik negeri Melaka itu daripada tangan Portugis tetapi tidak berjaya. Lucutnya Kerajaan Melayu Melaka daripada tangan Raja-raja Melayu, telah digantikan pula oleh bangunnya Kerajaan Melayu Johor yang diwarisi oleh raja-raja keturunan daripada Raja-raja Melayu Melaka.

Pada masa orang-orang Belanda memerintah di Melaka (1641-1795; 1818-1824) biasa disebut dalam sejarah kita sejarah “Zaman Belanda” pula; padahal pada masa itu bukanlah juga orang-orang Belanda yang terutama menerbitkan peristiwa-peristiwa bersejarah di Tanah Melayu, bahkan dalam kurun Masihi yang ke-l7, Kerajaan Melayu Acheh-lah yang telah mengambil beberapa bahagian dalam peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di negeri Johor; dan dalam kurun yang ke-18 pula, sedang Belanda berkuasa di Melaka dan telah menduduki beberapa buah negeri di Gugusan Pulau-pulau Melayu (Indonesia sekarang), orang-orang Melayu Bugis pula yang telah menjalankan tindakan-tindakan cergas merupakan peristiwa-peristiwa bersejarah di negeri Johor hingga telah membentuk “Kerajaan Johor” yang meliputi seluruh Johor-Riau-Lingga-Pahang-Singapura dengan mempunyai beberapa buah negeri jajahan takluknya di pantai timur Sumatera, serta kait-mengait pula dengan kejadian-kejadian bersejarah yang telah berlaku di Linggi, Rembau, Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Terengganu dan lain-lain.

Setelah Belanda dan British berlumba-lumba dalam hal perniagaan sambil menjalankan tindakan-tindakan penjajahan mereka di Nusantara dengan berlunaskan dasar “pecah dan perintah”, pada suku pertama dalam kurun Masihi yang ke-l9, kerajaan Johor itu telah dipecah-pecahkan oleh Belanda dan British sehingga Riau-Lingga-Pahang-Singapura terkeluar daripada ikatan “Kerajaan Johor” yang luas itu; daerah Muar yang sekarang sebuah daripada daerah dalam negeri Johor itu pun hampir-hampir hendak menjadi sebuah negeri kecil yang berasingan akibat dari dasar penjajahan Barat itu.

Raja-raja Melayu keturunan daripada Raja-raja Melayu Melaka yang memerintah di Johor itu pun, kemudiannya telah bertukar tangan kepada raja-raja keturunan Bendahara Johor; dan kemudiannya lagi berpindah pula ke tangan raja keturunan Temenggung Kerajaan Johor yang lama itu. Dalam masa penukaran keturunan raja-raja memerintah di negeri Johor itu, orang-orang Melayu Bugis yang berasal dari Tanah Bugis (Sulawesi sekarang) telah mengambil bahagian utama dalam politik pemerintahan di negeri itu. Dan pada masa British hendak mencengkamkan kuku penjajahannya ke negeri Johor, dapatlah pula dilihat betapa raja-raja dan ‘orang-orang besar’ Johor berhadapan dengan British walaupun Pulau Singapura telah dicekup oleh British daripada tangan Raja-raja Melayu dengan cara yang curang mengikut pandangan sejarah orang-orang Melayu. Demikianlah sejarah yang telah dialami oleh negeri Johor.

Pada keseluruhan sejarah Johor yang diceritakan dalam buku ini, dan juga dalam sejarah negeri-negeri Melayu lainnya dalam penerbitan Siri Sejarah Nusantara ini, dapatlah dirasai bahawa perasaan kemelayuan orang-orang Melayu pada zaman sebelum tanah air mereka dibahagi-bahagikan oleh penjajahan Barat dahulu, didapati menyeluruh dan meluas ke segenap Nusantara di Asia Tenggara; tidaklah berperasaan kemelayuan yang sempit dan terbatas dalam lingkungan suatu daerah yang kecil. Dalam sejarah ini, boleh kita ambil sebuah misalan kepada pengalaman Raja Haji Marhum Telok Ketapang. Walaupun almarhum itu orang Melayu Bugis, tetapi bukanlah tanah airnya, bumi yang diperjuangkannya, terhad di tanah Bugis sahaja. Dengan hanya menggunakan perahu atau perahu layar, beliau telah menjelajah ke merata-rata tempat di Nusantara: Siantan, Riau, Lingga, Jambi, Siak, Inderagiri, Kalimantan, Johor, Pahang, Melaka, Linggi, Rembau, Selangor, Perak, Kedah dan lain-lain, bahkan telah beristeri dan beranak pinak pula di beberapa buah tempat yang disebutkan itu. Demikian jugalah halnya Raja Kecil Siak, Daing Perani, Kelana Jaya Putera, Daing Kemboja, Raja Ismail Siak, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan lain-lain yang ada disebutkan cerita mereka dalam buku sejarah ini.

Dalam Sejarah Johor ini didapati pula beberapa kisah sejarah yang telah berlaku di negeri Pahang, Selangor, Linggi, Rembau, Perak, Kedah dan Terengganu yang ada perhubungannya dengan Johor-Riau-Lingga. Kandungan sejarah Johor yang dihidangkan dalam buku ini dari mula hingga ke akhirnya, dipusatkan di sekeliling peristiwa-peristiwa yang berlaku mengikut zaman masing-masing. Raja Melayu yang memerintah negeri itu, iaitu bermula dari Sultan Mahmud Shah (I) yang datang dari Melaka sampailah kepada Sultan Johor yang ada sekarang ini (1970).

Kata Pengantar
Kata Alu-aluan
Pendahuluan

Johor Sebelum Awal Kurun Masihi ke-16
Sultan Mahmud Shah I (1511 — 1528)
Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528 — 1564)
Sultan Muzaffar Shah (1564 — 1570)
Sultan Abdul Jalil Shah 1 (1570/71)
Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (Raja Umar) (1570/71 — 1597)
Sultan Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur) (1597 — 1615)
Sultan Abdullah Ma’ayat Shah (1615/16 — 1623)
Sultan Abdul Jalil Shah III (Raja Bujang) (1623 — 1677)
Sultan Ibrahim Shah (1677 — 1685)
Sultan Mahmud Shah II (1685 — 1699)
Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699 — 1718)
Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil) (1718-1722)
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1722 — 1760)
Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah (1760 — 1761)
Sultan Ahmad Riayat Shah (1761)
Sultan Mahmud Shah III (1761 — 1812)
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (1812 — 5 Februari 1819)
Sultan Husain Shah (1819 — 1835)
Tengku Ali dan Temenggung Tun (Daing) Ibrahim
Temenggung Ibrahim Seri Maharaja Johor dan Sultan Ali Iskandar Shah
Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor (1862); Maharaja Abu Bakar (1868); Sultan Abu Bakar (1885 — 1895)
Sultan Ibrahim (1895 — 1959)
Sultan Ismail (1959 — 1981)
Sultan-sultan dan Raja-raja Pemerintah Johor

Bibliografi
Indeks

Weight0.496 kg
Dimensions21.5 × 14 × 2 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.

More from this Author