Seni Bina dan Seni Halus: Warisan Melayu Sepanjang Zaman menyentuh berkenaan aspek-aspek kebudayaan, kepercayaan, nilai-nilai tradisi, identiti dan juga kelestarian warisan yang terkandung dalam seni bina dan seni halus di alam Melayu. Amat jelas daripada himpunan penulisan para akademik dan para penyelidik yang menyumbangkan bab masing-masing di dalam buku ini bahawa seni bina dan seni halus warisan Melayu adalah saling berkait dan berhubung rapat di antara satu sama lain dalam menyempurnakan kelangsungan tatacara dan nilai kehidupan masyarakat serta budaya bangsa yang unik, unggul dan bertamadun. Menyoroti sepuluh bab yang terkandung dalam buku ini, seni bina dan seni halus warisan Melayu merangkumi disiplin kesenian di peringkat mikro hinggalah makro—dari sekecil elemen hiasan, susun atur ruang dalaman, reka bentuk bangunan hinggalah persekitaran alam bina dan seumpamanya. Di sebalik himpunan kesenian-kesenian ini terkandung korpus keilmuan warisan Melayu yang tinggi serta perlu dikupas untuk penghayatan umum.
Bahagian pertama iaitu seni bina memerihalkan keunikan dan manfaat bangunan warisan yang terdiri daripada bangunan milik persendirian sehingga kepada infrastruktur awam seperti bangunan masjid dan wakaf yang menjadi ruang rehat dan perhentian para musafir suatu ketika dahulu. Mengambil kira kepelbagaian isu dalam memelihara struktur warisan yang mempunyai nilaian teknologi dan budaya yang tinggi, buku ini berperanan sebagai rujukan penting yang memerihalkan fungsi bangunan dan struktur yang dikaji para penyelidik. Terdiri daripada bangunan yang telah melalui proses pemuliharaan seperti Masjid Lama Nilai dan Istana Puteri Bongsu, buku ini turut berperanan mendidik dan memberi pemahaman secara jelas keunikan struktur bangunan di samping melebarkan perspektif pembaca terhadap potensi bagaimana bangunan warisan ini dapat dikembangkan selari dengan pembangunan teknologi dari sudut multimedia dan promosi bangunan.
Bahagian yang kedua pula menyoroti aspek kesenian yang tertera pada bangunan warisan yang ada di sekitar kita. Banyak butiran seni bangunan yang belum sempat difahami selama ini ditawarkan penjelasannya di bahagian kedua buku ini. Butiran seperti ukiran, perletakan mahkota atap serta makna di sebalik lukisan yang menjadi media yang mewakili ideologi dan budaya Melayu turut dihidangkan kepada pembaca buku ini. Buku ini diharapkan dapat mencetus satu idea baru yang merumuskan bahawa ilmu kearifan tempatan tidak akan pudar dan habis. Setiap warisan seni bina dan seni halus masing-masing merupakan bukti penguasaan keilmuan tempatan masyarakat terdahulu yang seharusnya disambung serta dilestarikan oleh masyarakat hari ini dan generasi akan datang. Setiap bab yang ada dalam buku ini dilihat seiring dengan tafsiran evolusi kontemporari dalam bidang seperti teknologi dan kelestarian persekitaran.
Reviews
There are no reviews yet