100 Tahun Majalah Pengasuh: Peranan dan Sumbangan (1918-2018) menghimpunkan 10 orang penulis dari pelbagai disiplin ilmu bagi mengetengahkan peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh majalah Pengasuh sepanjang satu abad ini (1918-2018). Buku setebal lebih 600 halaman ini berkisar tentang sejarah penerbitan MAIK, termasuklah penerbitan majalah Pengasuh itu sendiri, kandungan majalah Pengasuh dari tahun 1918 hingga 1937, tema-tema pemikiran Islam pasca Merdeka (1960-2016), fatwa dan penfatwaan dalam majalah Pengasuh dan seputarnya.
Semenjak pertama kali menemui khalayak ramai di Kelantan khususnya, dan di Tanah Melayu amnya, 100 tahun yang lalu, majalah Pengasuh menjadi satu-satunya majalah atau disebut juga pada zaman awal penerbitannya (1918) sebagai sebuah akhbar yang masih lagi diterbitkan sehingga ke hari ini. Ia merupakan majalah yang pertama diterbitkan di Kelantan dan masih lagi diterbitkan sehingga ke hari ini (secara dwi-bulanan) serta masih mengekalkan tulisan jawi sebagai medium perantaraan dengan pembaca.
Apa yang penting untuk dicatatkan di sini ialah bagaimana majalah ini boleh bertahan dan berterusan diterbitkan dalam tempoh yang begitu lama. Tiga faktor utama yang menjadikan majalah ini dapat terus diterbitkan selama satu abad ialah pertama kerana kesungguhan para ulama dan tokoh tempatan untuk melihat terbitnya sebuah majalah atau akhbar bagi menjadi bahan bacaan yang bermanfaat kepada masyarakat. Antara tokoh tersebut seperti Tok Kenali, Dato’ Paduka Raja Perdana Menteri dan Dato’ Laksamana.
Faktor kedua pula ialah kerana kesanggupan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengeluarkan perbelanjaan yang besar setiap tahun dalam menerbitkan majalah ini sepanjang 100 tahun ini tanpa memikirkan soal keuntungan. Majalah ini yang diterbitkan dalam tulisan jawi tentunya mempunyai pelanggan yang agak terhad pada hari ini, memandangkan arus tulisan rumi yang sudah berakar umbi dalam negara kita sejak sekian lama. Hal ini sudah tentu tidak memungkinkan Pengasuh memonopoli khalayak pembaca secara keseluruhannya. Namun Pengasuh tetap diterbitkan oleh MAIK sebagai satu usaha mempertahankan warisan ulama terdahulu serta menyemarakkan penggunaan dan pembacaan tulisan jawi di negara kita pada hari ini.
Ketiganya ialah kerana kesediaan penulis-penulis yang berkaliber sepanjang satu abad ini yang terus menyumbangkan tulisan mereka kepada Pengasuh. Tulisan-tulisan mereka adalah kekuatan bagi Pengasuh kerana tanpanya Pengasuh mungkin tidak mampu untuk terus bertahan. Ketiga-ketiga faktor inilah yang menatijahkan kesinambungan para pembaca Pengasuh yang silih berganti, dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Tanpa salah satu faktor-faktor ini, Pengasuh mungkin sudah lama ditelan zaman sepertimana yang berlaku kepada akhbar-akhbar atau majalah-majalah lain yang seangkatan dengannya.
Masyarakat mungkin ramai yang tidak menyedari tentang ‘usia tua’ majalah Pengasuh, namun tidak bagi peminat setianya yang sentiasa mengikutinya sepanjang masa sama ada sebagai pembaca mahupun sebagai penulis yang terus menyumbang tulisan kepada majalah ini.
Tahun 2018 merupakan tahun genapnya Pengasuh telah menempuh perjalanan penerbitannya selama 100 tahun. Tentu sekali sepanjang tempoh yang begitu lama bagi penerbitan sebuah majalah, begitu besar peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh majalah ini. Bagi melihat kembali sejarah penerbitannya, termasuk dari aspek peranan dan sumbangannya sepanjang satu abad ini, buku ini melalui gabungan seramai 10 orang penulis yang berpengalaman cuba menggali dan mengetengahkan kepada para pembaca, peranan dan sumbangannya dalam pelbagai disiplin ilmu. Dari bidang sejarah tempatan hinggalah ke bidang pendidikan, masing-masing telah sedaya upaya cuba menonjolkan peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh majalah Pengasuh sepanjang satu abad.
Melalui 10 tulisan yang dimuatkan dalam buku ini, diharap dapat membawa para pembaca kepada dunia penerbitan Pengasuh serta peranannya dalam bidang-bidang pemikiran tempatan, fatwa, kesusasteraan, al-Qur’an, al-Hadith, tasawuf, akhlak, dan pendidikan. Bidang-bidang ini merupakan antara bidang utama yang menjadi fokus penerbitan majalah Pengasuh sepanjang satu abad. Ada beberapa bidang lain lagi yang tidak sempat dimuatkan dalam buku ini atas sebab-sebab tertentu.
Melalui 100 Tahun Majalah Pengasuh: Peranan dan Sumbangan (1918-2018) juga, diharap pembaca semakin jelas tentang fakta-fakta yang berkaitan dengan majalah Pengasuh kerana ia sudah menjadi satu sejarah yang begitu menarik perjalanannya untuk ditatap oleh generasi hari ini dan akan datang. Sejarah sudah tentu tidak boleh terbabas daripada fakta-fakta yang tepat seupaya mungkin. Lebih-lebih lagi sejarah Pengasuh turut diperkatakan dalam pelajaran sejarah, biarpun sepintas lalu, di institusi pendidikan di negara kita. Sejarah Pengasuh seharusnya dimaklumi oleh setiap mereka yang terlibat dengan sejarah Kelantan serta sejarah tanah air amnya.
Reviews
There are no reviews yet